Ulasan Buku : Men Are From Mars, Women Are From Venus

Bismillah…

Bagi yang mengikuti ulasan buku Men Are From Mars, Women Are From Venus tempoh hari, seperti yang dijanjikan saya mahu berkongsi tinta penulis di bahagian penutup buku.

Walaupun ada yang belum membaca buku tersebut, nasihatnya masih boleh difahami dan saya kira ia boleh mengubah sesuatu dalam diri; mungkin persepsi, boleh jadi pemikiran atau idea tentang buku ini dan bisa juga membuat kita mahu memiliki buku ini.

Saya tidak menukilnya dari awal perenggan, hanya mengambil perenggan yang di pertengahan. Selamat merenungkannya.

“…..Bagi mendirikan rumah tangga yang bahagia, kita perlu menerima dan memahami setiap musim cinta yang berbeza. Kadangkala cinta itu terbit dengan sendirinya secara automatik, dan kadangkala ia memerlukan sedikit usaha. Kadangkala hati kita terasa penuh dengan perasaan cinta kepada pasangan kita, dan kadangkala ia ketandusan cinta. Tidak wajar kita mengharapkan pasangan kita sentiasa menyayangi kita ataupun ingat bagaimana cara menyayanginya. Kita juga tidak wajar berharap kita mampu ingat semua yang kita pelajari mengenai cinta ini.

Proses pembelajaran memerlukan bukan sahaja kita mendengar dan mengaplikasikan apa yang dipelajari, tetapi juga melupakan dan mengingat kembali apa yang dipelajari. Menerusi buku ini, kita mempelajari perkara yang ibu bapa kita sekalipun tidak pernah ajarkan kepada kita. Ini bukan salah mereka. Mereka pun tidak tahu. Tetapi sekarang kita perlu bersikap realistik. Banyak pendedahan baru yang kita pelajari di sini pasti akan kita lupakan.

Teori pendidikan menyatakan bagi mempelajari suatu ilmu baru, kita perlu mendengarnya sebanyak dua ratus kali. Jadi tidak mungkin kita (atau pasangan kita) mampu ingat setiap pendedahan baru yang terdapat dalam buku ini. Kita perlu bersabar dan menghargai setiap langkah kecil yang diambil. Menerima idea-idea baru ini dan mengintegrasikannya dalam hidup kita akan mengambil masa.

Bukan sahaja kita perlu mendengarnya dua ratus kali, tetapi kita juga perlu melupakan semua yang sudah kita pelajari mengenai komunikasi antara suami isteri. Kita bukannya kanak-kanak yang baru pertama kali mendengar bagaimana cara mendirikan rumah tangga yang berjaya. Kita semua sudah diprogramkan dahulu oleh ibu bapa, budaya sekeliling dan semua pengalaman pahit kita sendiri. Mengintegrasikan idea-idea baru ini ke dalam hubungan kita adalah suatu cabaran. Kita semua adalah perintis. Kita sedang bergerak ke kawasan yang belum pernah diterokai sebelum ini. Jika tidak mustahil kita tersesat atau menyimpang daripada jalan sekali sekala. Begitu juga pasangan kita mungkin menyimpang. Gunakan panduan ini sebagai peta bagi membimbing kita.

Selepas ini, jika kamu kecewa dengan pasangan kamu, ingat! Lelaki berasal daripada Marikh, dan perempuan berasal daripada planet Venus. Sekalipun kamu lupa perkara-perkara lain yang kamu pelajari dalam buku ini, mengingati yang kita memang sepatutnya berbeza akan membantu kamu bersikap lebih memahami dan menyayangi. Dengan beransur-ansur melupakan seluruh prasangka dan sentiasa meminta apa yang kita perlukan, kita mampu mencipta rumah tangga yang kita impikan dan perlukan.

Banyak yang dapat kamu lakukan dan banyak juga hasil yang patut kamu harapkan. Semoga ilmu, cinta dan kasih sayang antara kamu dan pasangan kamu sentiasa berkembang. Terima kasih kerana membenarkan saya membawa perubahan kepada kehidupan kamu berdua.”

Nur Mustika Adriena

23 Jun 2018 | Alor Setar


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Nur Mustika Adriena
Nur Mustika Adriena

Perempuan yang membaca.

Articles: 22