Ulasan Buku : Hiduplah Untuk Hari Ini

“Jaddid Hayatak”

‘Hiduplah Untuk Hari Ini’ asalnya adalah sebuah buku Bahasa Arab bertajuk ‘Jaddid Hayatak’(Perbaharuilah Hidupmu) yang mempunyai 26 bab dan 421 halaman. Atas usaha penterjemahan daripada Iman Publication, buku ini berjaya diterbitkan dalam Bahasa Melayu. Penulis, iaitu Syeikh Muhammad Al-Ghazali(1917-1996) ialah seorang ilmuan,pemikir Islam yang berasal dari Mesir dan juga merupakan seorang pensyarah di Universiti Al-Azhar. Sepanjang hayat beliau banyak dikerahkan dengan sumbangan dakwah dan beliau aktif dalam bidang penulisan sehingga menelurkan pelbagai karya buku yang bukan sahaja berkisar keagamaan yang dikaitkan dengan skop ekonomi, sejarah dan politik seperti Fiqh Sirah, Fiqh Al-Usrah dan Khuluq Al-Islam.

“How to Stop Worrying and Start Living”

Menariknya, buku ini adalah sebuah ilham dari karya seorang penulis Barat iaitu Dale Carnegie dengan bukunya yang bertajuk How to Start Worrying and Start Living (1948). Dale Carnegie(1888) bukanlah sosok yang asing dalam dunia keilmuan kerana keahliannya tentang pembangunan manusia telah banyak mencetus idea serta mempengaruhi pemikiran orang Barat. ‘How to Win Friends and Influence People’ adalah antara karya beliau yang menjadi pilihan Warren Buffett, iaitu pelabur saham terbesar Amerika Syarikat. Saya begitu kagum dengan penulis kerana memiliki keluasan pembacaan dengan menghadam buku-buku karya motivasi dan ‘self help’ dihasilkan dunia Barat yang akidah mereka memegang panji Kristian.

Kita mungkin berfikir bahawa konsep ilmu dari perspektif Barat dan Timur itu saling berseteru. Hakikatnya, jika kita ingin menggeledah persamaan Barat dengan Timur, ya, sudah tentu titik persamaan itu ditemui pada pengamatan ilmu psikologi. Panduan wahyu Al-Quran dan As-Sunnah (ilmu wahyu) didapati selalu selari dengan penemuan teori-teori(ilmu akal) oleh ahli cendikiawan Barat. Hal ini kerana tidak sedikit juga ungkapan Dale Carnegie yang tidak kontradiktif dan bertepatan dengan ajaran Islam. Nukilan beliau seakan mentafsirkan erti kandungan Al-Quran dan As-Sunnah itu sendiri. Cuma di dalam buku ini ada beberapa coretan Carnegie yang memberikan solusi kehidupan berorientasikan keduniaan kemudian dimurnikan dengan prinsip-prinsip bernafaskan keagamaan oleh penulis.

“Hiduplah Untuk Hari Ini”

Tahukah kita bagaimana umur seseorang dicuri? Iaitu ketika seseorang melalaikan hari ini kerana merisaukan hari esok. Dia terus tenggelam dalam risau dan gelisah sehingga kematian datang, sementara tangannya kosong daripada kebaikan. Dale Carnegie telah melakukan sejumlah eksperimen yang membabitkan beberapa orang berjaya, iaitu mereka yang tidak mahu terikat oleh hari esok yang belum pasti. Mereka ini lebih memilih menyelami hari yang sedang dijalani dan berusaha semaksima mungkin untuk berusaha menyelesaikan masalah yang berlaku pada hari ini sahaja. Kalau kita selami hadis Rasulullah saw ‘Orang yang bijak ialah mereka yang mengingati kematian’, selain peringatan menginsafkan ini erti tersirat hadis seperti meminta kita untuk memanfaatkan kehidupan dengan sebaiknya seolah-olah hari tersebut adalah hari terakhir untuk kita hidup.

“Self Help versi Islamik”

Melalui buku ini kita boleh memerhatikan parameter pemikiran Barat dan Timur itu mempunyai tujuan yang sama tetapi dengan resolusi yang berbeza. Mungkin buku Dale Carnegie hanya sebatas lingkungan kajian, pembacaan buku dan pengalaman peribadi sahaja. Seandainya Dale Carnegie mengenali Islam,sudah tentu beliau tidak teragak-agak memetik dalil-dalil Al-Quran dan As-Sunnah sebagai rujukan bagi menguatkan lagi fakta-fakta dan hasil eksperimen yang dilakukannya. Meskipun penyelidikan penulis pula hanya merenung lingkungan persekitaran negara Arab ketika itu, tetapi buku ini sangat intim dengan jiwa pembaca Muslim kerana pemikiran penulis yang lebih ketimuran. Bahkan, gaya bahasa yang digunakan tidak kaku dan tidak berlebih-lebihan serta dialek penyampaian lebih berbentuk dialog dan pembaca pasti tidak jemu membacanya.

Selain itu penulisan buku ini tidaklah tehad dengan merujuk buku Dale Carnegie sahaja. Terdapat petikan rujukan buku lain seperti buku Emerson bertajuk The Power Of See It Through dan Qut al-Qulb karya Abu Talib Al-Makki yang membuktikan penulis melakukan penyelidikan dengan tekun dan teliti. Di samping mengutarakan hujah berlandaskan Al-Quran, hadis dan menyingkap sirah terdahulu, penulis menghidangkan bait-bait syair pujangga Arab yang puitis serta kata-kata mutiara yang indah bahasanya seperti dari kitab Al-Hikam, tulisan Syeikh Ibnu Ati’ullah.As-Sakandary. Petikan syair tersebut menambahkan lagi pakej ia sempurna sebagai buku self help versi islamik terbaik yang pernah dinukilkan. Buku ini juga tidak kurang hebatnya kerana menginspirasi Dr Aidh Al-Qarni untuk menulis buku bertajuk ‘La Tahzan’( Jangan Bersedih).

Sebagai seorang yang cenderung kepada buku bergenre tarbiah, pada hemat saya buku ini bukan sekadar buku tarbiah stereotaip kerana ia mengajak pembaca mengembara lebih jauh bukan dalam konteks Islam sahaja bahkan menuntun kita menerokai alam teori dan perspektif dunia Barat. Istimewanya buku ini menampilkan gabungan pengalaman peribadi,hasil pemerhatian dan kajian manusia dengan panduan wahyu daripada Allah swt dengan lengkap. Sekaligus, membuat kita berfikir-fikir ruang mana lagi dalam hidup ini yang harus kita baiki. Dalam fasa pandemik yang semakin rencam ini kita mungkin mula hilang semangat motivasi dan risau bagaimana keadaan perkara-perkara mendatang kelak. Segala perancangan yang diatur dengan baik dan harapan yang menggunung sepertinya masih tertangguh.Oleh yang demikian kita memerlukan sesuatu pemangkin agar terus menjadi efektif walau dalam apa jua situasi. Maka dengan itu saya kira buku ini wajib ada dalam ‘bookshelves’ para bibliofil yang meminati buku pembangunan diri malah memang sangat sesuai untuk bacaan masyarakat umum.


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Maisaratul
Maisaratul

Watashi no namae wa 'Shiawase' desu

Articles: 3