Ulasan Buku : Patah Untuk Tumbuh

Nama buku: Patah Untuk Tumbuh

Penulis: Faraa Musa

Muka surat: 200

Penerbit: White Coat

Tahun terbit: 2022

Cetakan: Pertama

Hidup yang selalu berputar ibarat roda ini cukup membuktikan kepada kita bahawa tidak selalunya kita dihinggapi oleh perasaan gembira yang sentiasa. Ada waktunya, kita diranap oleh kesedihan yang menyakitkan jiwa. Ada tentangan yang mesti di lalui bersama.

Saat menyelak halaman-halaman indah ini, terasa hilang segala beban-beban yang pernah hampir menembusi jasad yang lemah. Terasa ringan bahu memikul keresahan yang hampir menewaskan kehidupan.

Patah Untuk Tumbuh ini dihadirkan kepada pembaca untuk memimpin insan-insan yang pernah melalui kejatuhan. Baik dalam kehidupan yang melibatkan soal hubungan, ambisi, kerjaya, hati yang kerap dibohongi ataupun jiwa yang kosong memberontak tetapi tidak tahu apakah penawar yang sebaiknya.

Kita semua meniti fasa-fasa yang menyugulkan sehingga meninggalkan bekas-bekas kedukaan. Melintasi aneka ragam manusia yang datang mendampingi ruang hidup kita. Tidak tahu buruk baik mereka yang singgah.

Ada kalanya, kita melihat sinar, ada waktunya kita menyaksikan kegelapan. Kita buntu dalam memandu arah hidup. Terlalu jauh memikirkan masa hadapan tanpa kita tahu Dia juga memiliki perancangan.

Buku ini membuatkan rasa hendak bangun daripada lena yang terlalu lama. Lena yang menjadi asbab kepatahan hidup dan kian dekat menutup pintu-pintu cahaya yang boleh menolak kita ke jurang kerapuhan yang lebih dalam.

Kekecewaan yang kita lalui ini mungkin kerana kewujudan seseorang yang mendekati, mungkin kerana tercipta dari tangan kita sendiri yang lalai. Mungkin juga kita tidak mengenal kebolehan diri kita yang sebenar-benarnya.

Usai membaca buku ini ia seolah-olah memberi harapan baharu untuk terus teguh bertahan daripada mengenang nasib yang pernah gagal. Gagal yang hampir menemukan kematian tetapi tersedar untuk bangkit setelah membaca ungkapan penulis yang menyedarkan.

Benar sekali keseluruhan tinta penulis, tidak ada lagi manfaat bagi berlama-lama mengalirkan air mata sehingga banjir membentuk empangan. Seperti buku ini, berpesan kepada kita untuk segera mencari jalan daripada terus duduk memeluk keparahan. Mencari langkah-langkah untuk menyembuhkan supaya beroleh kekuatan.

Keperitan yang kita lewati selama ini, biarkan ia berlalu sebagai pengalaman kelam yang mematangkan kita. Jika dikenang dan diimbas kembali, ia tetap tidak akan pulang tetapi lantas boleh memusnahkan segala senyuman yang hendak kita bina.

Penulis membawakan tulisan yang ringkas dan ringan sekali untuk dibaca. Tambahan lagi, buat mereka yang mengalami “depression” dan yang berkaitan, sedang mahu menewaskan kepatahan untuk segera tumbuh dengan sihat, buku ini barangkali diperlukan bagi mengatasi masalah-masalah yang saban hari membuat dada semakin terasa sesak.

Kepada yang mahu bersungguh-sungguh untuk sembuh seperti insan yang bahagia dan ingin membalut seluruh luka-luka, buku ini ialah titipan buat anda yang sedang mencari tempat perawatan.

Terima kasih kepada Faraa Musa kerana menghadiahkan buku bertemakan motivasi ini. Kelunakan kata-katamu terasa nyaman ketika mulai membacanya. Keasyikan nada-nada yang dicoretkan mengenyahkan kekesalan untuk tidak berhenti memperjuangkan sebuah kesembuhan.

Pimpinlah hati kita menuju Ilahi yang satu. Saat sementara belajar mengikhlaskan dan menerima keputusan dengan reda. Dengan banyaknya self healing daripada penulis, moga-moga ia dapat melahirkan perubahan yang positif dan meyakinkan kita.

Semoga yang sakit kembali pulih,

semoga yang pernah patah kembali tumbuh bertemu ketenangan hakiki.

Selamat membaca.

“Tetaplah bergerak dan bertumbuh setiap waktu, setiap hari. Sampai akhirnya nanti, kita tak menyedari bahawa ternyata kita sudah tiba ke destinasi yang kita tujukan keadaan hidup yang lebih baik dan bahagia.”

[Patah Untuk Tumbuh, hal. 169. Faraa Musa]

 


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Syuhara Suriati
Syuhara Suriati

Penulis artikel, antologi dan anekdot.🌷Isteri suri membaca dan menulis 🌷

Articles: 67