Ulasan Buku : Bahagia Cara Kita

Nama buku: Bahagia Cara Kita

Penulis: Syira Lokman

Muka surat: 192

Penerbit: Rimbunan Publishing House

Tahun terbit: 2022

Cetakan: Pertama

Memang benarlah bahawa bahagia ini Allah hadirkan pelbagai macam urnanya. Di  antara kita masing-masing ada cerita bahagianya dan ia pastinya berbeza dan tidak serupa. Tidak ada seorang pun di muka bumi ini yang tidak mahukan kebahagiaan kerana ia adalah tanda bahawa kita berada dalam ketenangan jiwa dan bukan berada dalam ketenatan hidup yang mencemaskan dada.

Bahagia Cara Kita merupakan karangan seorang penulis muda, Syira Lokman. Buku ini membawa pembaca terjun memahami makna bahagia menurut kaca mata penulis yang dilihat sangat subjektif di sisi masyarakat. Bahagia yang selalu disalah ertikan dan wajar diperbetulkan semula keistimewaannya.

Sesetengah dalam kalangan kita barangkali ada yang menganggap bahawa material, pangkat dan harta adalah tiket utama bagi mengecapi kebahagiaan di dunia. Tidak kurang juga ada yang sanggup menyimpan emas berlonggokan dan memiliki lebih daripada satu rumah banglo sebagai satu kepuasan. Semua ini boleh dihitung sebagai sumber kebahagiaan menurut sesetengah pihak yang kaya raya.

Akan tetapi, benarkah ia mampu menjana kebahagiaan yang kekal hingga ke akhir hayat hidup kita? Adakah ini definisi bahagia yang wajar dikaut oleh semua pihak tanpa mengira status kerjaya dan pekerjaan? Buku ini santai mengajarkan kepada pembaca erti bahagia yang harus dinikmati tanpa perlu mengikuti gaya orang lain.

Ini adalah hal-hal yang dibicarakan oleh penulis secara halus untuk membuka mata kita terhadap definisi bahagia yang dipunyai oleh seseorang. Meskipun, kita mempunyai tafsiran bahagia yang berlainan tetapi tidak semuanya boleh membahagiakan kita selama-lamanya.

Untuk itulah, penulis sebenarnya mahu pembaca menyelami tentang bahagia yang dicari-cari setulusnya. Tentang cara manusia menyantuni bahagia yang baik diterima tanpa membanding-bandingkan dengan seikhlas-ikhlasnya. Tanpa mewajibkan syarat bahagia itu mengikut aspek yang sekian-sekian sahaja.

Setelah melumat titipan penulis buku ini, karya ini mendorong kita memahami lima perkara,

Pertama, bahagia ada pada diri kita. Buat yang masih meneropong keberadaan bahagia dari jarak jauh, bahagia itu sejujurnya datang dari dalam diri kita sendiri. Mencari sesuatu hal yang mengembirakan kita ia juga boleh memberi sinar bahagia dalam hidup kita. Maka, hargai diri kita agar ia mampu kekal bahagia.

Kedua, belajar untuk baiki kelemahan. Kelemahan bukan petanda kita berada dalam ambang kekalahan, ia adalah latihan untuk memanjat puncak kejayaan di samping tidak luput berusaha dan berdoa. Kita akan rasai kebahagiaan itu usai kita telah menyerahkan urusan hidup kepada Dia.

Ketiga, terima hakikat kehidupan masing-masing. Orang yang ada kereta mewah, ada rumah besar tak perlu kita mengikuti ‘cara’ mereka dalam keadaan kita tidak berkemampuan. Belajar untuk mensyukuri apa adanya supaya tidak diselubungi oleh keresahan dan kesugulan yang tiada hentinya.

Keempat, selalu tanamkan sifat bersangka baik. Kerap menyalahkan takdir hidup tidak seperti orang lain inilah yang menutup pintu-pintu kebahagiaan. Tinggikan sangka baik kita kepada Allah, kerana bahagia anda dan mereka sudah ditakdirkan berbeza-beza.

Kelima, menyibukkan diri sendiri. Menyibukkan diri dengan sesuatu pekerjaan yang berfaedah dapat membina sebuah kebahagiaan. Fikiran juga aman dan damai daripada bercelaru memikirkan harapan yang tidak tahu bila akan terlaksana.

Buku ini digarap cukup santai dan penuh makna mendalam dalam setiap cebisan kata-kata yang dititipkan penulis kepada pembaca. Disalurkan pula, warna-warna bak bianglala dan penyelesaian tuntas kepada yang sedang buntu memburu bahagia.

Sebagai penutup bicara, tak perlu cari apa yang ada pada orang lain. Kadang kala, ‘kemenangan’ yang dilihat daripada orang lain boleh menyebabkan iri dan berduka cita. Biarkan saja, teruskan menyelami bahagia seperti biasa dengan cara membersihkan hati kita, barulah hidup akan beroleh bahagia.


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Syuhara Suriati
Syuhara Suriati

Penulis artikel, antologi dan anekdot.🌷Isteri suri membaca dan menulis 🌷

Articles: 67