Ulasan Buku : Diagnosis Apokalips

Buku Diagnosis Apokalips merupakan sesebuah kompilasi pelbagai genre yang ditulis oleh beberapa orang penulis. Genre yang diketengahkan mempunyai kepelbagaian di mana ia terdiri daripada fiksyen, bukan fiksyen dan puisi. Walau bagaimanapun, cerita-cerita yang ditulis masih berpaksikan konsep yang sama iaitu profesion seorang doktor.

Sebelum membincangkan isi kandungan buku, mengapa buku ini dinamakan Diagnosis Apokalips? Diagnosis menurut Dewan Bahasa dan Pustaka bermaksud perbuatan mengenal pasti sesuatu penyakit daripada tanda dan gejalanya. Sedia maklum, mendiagnosis merupakan cabang ilmu seseorang doktor. Apokalips pula tidak mempunyai istilah rasmi dalam Bahasa Melayu, namun jika diambil kata apocalypse daripada Bahasa Inggeris, ia membawa maksud malapetaka yang besar. Malapetaka yang dimaksudkan ialah kejadian banjir pada tahun 2014 hingga 2015 yang telah menyebabkan lebih 200 ribu penduduk terkesan di hampir kesemua negeri. The Malay Mail pada 5 Januari 2015 menyifatkan ia sebagai banjir terteruk dalam sejarah Pantai Timur Malaysia. Maka yang dimaksudkan dengan Diagnosis Apokalips ialah kerja-kerja seorang doktor ketika menghadapi bencana banjir yang besar pada ketika itu.

Menyoroti isi kandungan buku, ia terdiri daripada rencaman 14 buah cerita hasil garapan 14 orang penulis yang berbeza. Setiap cerita mempunyai keistimewaan tersendiri yang cuba diketengahkan oleh setiap penulis mengikut idea dan pengalaman masing-masing. Tulisan Dr Lutfi Fadhil merupakan kisah yang menarik perhatian saya. Liku hidup seorang doktor yang masih darah setampuk pinang dalam suasana menghadapi banjir di negeri Kelantan. Mengendalikan banjir tanpa prasana yang canggih dan mencukupi adalah pengalaman yang menyukarkan. Kelekaan yang sementara akan membawa padah yang berkekalan. Selain itu, jargon yang digunakan di dalam penulisan buku ini tidaklah keterlaluan dan masih mudah difahami. Kebanyakan digunakan untuk menggambarkan istilah-istilah medikal secara tidak langsung mengajar pembaca terma-terma baharu terutamanya mereka yang tidak berlatar belakangkan bidang perubatan. Terdapat juga kisah yang diungkapkan dalam bentuk puisi ditulis dengan baik dan tersusun cantik.

Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan mesej dan pengajaran yang ingin disampaikan oleh penulis. Buku ini bersesuaian sebagai bahan bacaan semua peringkat umur khususnya mereka yang berprofesion perubatan. Pandemik Koronavirus mengajar kita sistem kesihatan merupakan tunjang kepada sesebuah  negara. Sekiranya lumpuh sistem kesihatan maka lumpuhlah negara terbabit. Hargailah pengorbanan yang telah dilakukan oleh barisan doktor bukan sekadar ketika dunia dilanda wabak tetapi sepanjang masa. Ingatlah, kita hanya membayar kerja-kerja yang mereka lakukan, namun kita akan sentiasa berhutang akan kebaikan dan jasa mereka.


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


ArifHai
ArifHai

Bibliofil, pelajar dan penulis artikel.

Articles: 4