Ulasan Buku : Islam Itu Rahmah Bukan Marah

Nama buku: Islam Itu Rahmah Bukan Marah
Penulis: Irfan Amalee
Muka surat: 160
Penerbit: Puteh Press
Tahun terbit: 2021
Cetakan: Pertama

Islam merupakan agama yang penuh dengan kelembutan, kesejahteraan bahkan juga memperjuangan kedamaian. Islam bukan agama yang mempromosikan kekerasan dan juga permusuhan.

Tahukah kita bahawa dalam sirah Nabi Muhammad SAW, baginda dikerumuni oleh musuh-musuh yang amat membenci Islam. Mereka tidak berhentinya mengganggu baginda. Sedikit pun baginda tidak pernah mengambil hati apatah lagi hendak membalas cacian dan makian.

Judul buku Islam Itu Rahmah Bukan Marah cukup sarat menjelaskan kepada kita betapa agama yang dipimpin oleh Rasulullah SAW ini ialah agama yang menginginkan keamanan. Bukan agama yang mendidik penganutnya untuk bertuhankan kepada hawa nafsu dan mengapi-apikan orang ramai sehingga boleh mencetuskan kemarahan.

Kandungan buku ini meliputi 28 bab yang cuba menangkis pemikiran sesetengah masyarakat yang dihujani oleh salah faham ke atas ajaran Islam. Mengganggap bahawa Islam agama yang ekstrem, suka pada perpecahan dan sering berbalah kerana perbezaan mazhab dan sebagainya.

Kesucian Islam mulai luntur apabila mereka yang bukan muslim mulai menilai kebaikan agama ini lahir dari segi sikap buruk yang diamalkan oleh kaum muslim. Justeru itu, penulis tampil memberi pendedahan umum dan membetulkan kesilapan sesetengah pihak  bahawa Islam ini bukanlah agama yang berpuak-puak. Sebaliknya, ini berlaku berpunca daripada sikap pengamal ajaran Islam itu sendiri yang tidak memiliki nilai etika dalam menerapkan ajaran Islam yang sebenar-benarnya.

Penulis buku kelahiran Indonesia ini memuatkan banyak fakta-fakta dunia seperti isu Palestin-Israel, Amerika dan sekutunya untuk mengupas secara tuntas mengapa ada dalam kalangan musuh ini sangat membenci Islam.

Kerana kebencian yang berakar umbi, pelbagai provokasi yang dilakukan oleh pihak-pihak lain yang untuk mencemarkan kemuliaan Islam. Antaranya contohnya, menggunakan cara yang halus seperti menghasilkan filem The Innocence of Muslim oleh Nakoula, seorang penganut Kristian Kubti, Mesir.

Dia beranggapan Islam merupakan penyebab terhadap penyakit yang dihidapinya. Maka, dengan menghasilkan filem sebegini ia kononnya dapat melangsaikan dendamnya ke atas Islam. Subhana-Allah.

Sebenarnya ini bukan pertama kali para pengkhianat ini membuat sesuatu yang membutakan pandangan orang lain mengenai keluhuran Islam. Banyak lagi taktik kotor yang berselindung tanpa kita sedari akan penghinaan yang ditularkan untuk membinasakan Islam.

Kalau anda tanya, berkaitan ulasan ke atas keseluruhan isi buku ini, ia sebenarnya menghendaki pembaca memahami tiga perkara,

Pertama, anggapan buruk musuh ke atas Islam adalah berpunca daripada sikap yang meluluh dan tidak mengkaji lebih mendalam berkaitan ajaran murni ini. Bukan cuma sedikit yang memeluk Islam, ramai kerana mereka ini benar-benar bertindak sebagai pengkaji.

Sebagai contohnya, seperti kisah Imam Suhaib Webb yang dinyatakan dalam buku ini. Kisah beliau dahulunya seorang gengster dan rapper yang sangat digeruni di Amerika telah memilih Islam sebagai agama rahmahnya.

Kedua, anggapan buruk orang di persekitaran kita termasuklah bukan muslim boleh berlaku disebabkan sikap yang gemar berkelompok-kelompok dan kerap menimbulkan pergaduhan sesama umat Islam.

Terlalu sempit dalam soal mazhab, sehingga menyalahkan pihak tertentu yang berpegang kepada salah satu mazhab yang empat. Ini hanya akan membantutkan perkembangan Islam sekiranya umat Islam sendiri terlalu berfikiran kolot.

Ketiga, Nabi Muhammad SAW adalah contoh teladan yang membuktikan bahawa Islam menghormati kaum yang lain tanpa harus membalas dengan kata-kata yang jelik. Perhatikanlah ibrah di sebalik kisah baginda yang dikasari oleh orang yahudi lalu Umar bertindak hendak membalas perbuatannya.

Namun apa yang Nabi lakukan, baginda tetap berlemah lembut kepada orang yahudi tersebut. Hilm ataupun kelembutan yang ada dalam diri Rasulullah SAW inilah yang penulis cuba menjentik kita untuk menerapkan.

Baik dalam sistem pendidikan, kehidupan, organisasi pentingnya bagi kita sebagai umat Islam menunjukkan contoh terbaik seperti yang ditonjolkan oleh pesuruh Allah SWT dalam berdakwah.

Ayuh, rungkai sendiri dengan membacanya lebih lanjut. Buku yang terbaik perbahasannya.


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Syuhara Suriati
Syuhara Suriati

Penulis artikel, antologi dan anekdot.🌷Isteri suri membaca dan menulis 🌷

Articles: 67