Ulasan Buku : Pillow Fight

Nama buku: Pillow Fight

Penulis: Yussamir Yusof

Muka surat: 185

Penerbit: Must Read

Tahun terbit: 2016

Cetakan: Pertama

Berkahwin dengan seseorang yang menjadi pilihan hati kita, adalah sebahagian kecil daripada impian yang ingin kita tunaikan. Melihat pasangan lain berpimpinan tangan dan membalas senyuman, bukankah ia boleh mendesak kita ingin turut serta merasai manisnya sebuah perhubungan yang halal?

Orang-orang tua selalu berpesan, kalau sudah mampu untuk menikah, jangan sesekali dilambat-lambatkan. Boleh jadi, mengundang sesuatu bala yang tidak diinginkan. Tapi percayakah anda, bahawa perkahwinan bukan sekadar soal kemampuan. Sebenarnya banyak lagi faktor yang wajib diambil kira dan dipertimbangkan oleh semua pihak, baik dalam kalangan lelaki dan juga wanita.

Judul buku Pillow Fight, pemilik buku oleh Yussamir Yusof ini merupakan buku yang sesuai dibaca oleh lelaki dan perempuan yang sedang bercita-cita hendak menjalinkan hubungan yang diberkati Allah.

ini ialah buku yang menghidangkan sekali pengalaman penulis dalam melayari bahteranya sebagai suami kepada isteri yang dicintainya dan situasi-situasi tertentu yang berlaku di persekitaran penulis.

Penulis melihat realiti hendak menubuhkan perkahwinan pada hari ini banyak menyusahkan ataupun menyukarkan kedua bakal mempelai. Ditambahkan pula kecetekan dan kekurangan ilmu, mengakibatkan ramai yang tidak serius menjalankan tanggungjawab selepas diijab kabul.

Pada bahagian permulaan lagi, penulis mengulas serba sedikit fenomena yang berlaku dalam kalangan masyarakat melayu yang banyak menyekat kehendak anak-anak yang mahu berkahwin di usia muda. Sebab-sebab yang menghalang ikatan suci ini termasuklah seperti belum habis menamatkan pengajian dan meninggikan hantaran.

Walau bagaimanapun, penulis berpendapat tembok halangan ini seharusnya diruntuhkan bagi mengelak berlakunya sesuatu yang lebih memudaratkan seperti zina dan sebagainya sehingga boleh mencemarkan kesucian agama dan memalukan nama baik ahli keluarga.

Selain daripada itu, penulis berkongsi tip yang luar biasa bagi menjadi suami terbaik sepanjang perkahwinan. Dengan berbekalkan pengalaman penulis yang dilihat boleh tahan dalam menguruskan emosi isteri dan anak-anak, ia mampu menjadikan kita untuk mengambil contoh daripada penulis sendiri bagi mengukuhkan lagi tanggungjawab kepada pasangan sendiri.

Buku ini sekali gus membawa pakej yang lengkap buat isteri-isteri sekalian. Yang mana terdapat formula hebat bagi menambat hati suami kita di rumah. Mungkin dahulunya, sebahagian isteri kekurangan ilmu, tidak pandai berhias dan tidak tahu cara yang tepat untuk memancing pandangan suami. Untuk itu, buku ini ada jawapan bagi memastikan suami senantiasa tidak sabar pulang ke rumah.

Perkahwinan bukan sekadar hendak memuaskan keperluan seksual pasangan masing-masing. Terdapat tujuan yang lebih penting dan utama, antaranya ingin mewujudkan rumah tangga yang bahagia dan direda Allah Taala. Inilah yang cuba penulis perjuangkan.

Oleh kerana itu, penulis berusaha membuka mata kita dengan membentangkan beberapa langkah yang jelas di sisi Islam sebelum dan selepas berumah tangga untuk diamalkan dengan sebaik-baiknya.

Memahami sikap dan perangai para pasangan dalam buku ini membolehkan kita yang telah berkahwin mengambil inisiatif terbaik bagi menjauhi raut wajah yang mencuka dan masam pada setiap detik.

Memastikan kita untuk tidak sesekali mencemari perasan cinta dengan melakukan hal-hal yang dibenci dan diharamkan oleh agama. Cari dan ikatlah perasaan ini ke dalam tali perkahwinan yang lebih selamat dan mendatangkan pahala dalam melampiaskan kenikmatan.

Karya yang santai dan digarap cukup bersahaja. Tambahan pula, sedikit dialog-dialog yang menghidupkan pembacaan boleh katakan buku ini adalah rujukan buat yang sedang dilamun percintaan.

Tuntasnya, buku ini sangat disarankan kepada yang hendak mendalami asam rumah tangga sebagai persiapan awal. Baik yang telah berkahwin mahupun bukan, dengan membaca kisah-kisah perjuangan wanita-wanita hebat yang mekar dalam sejarah, ia justeru mendidik kita menjadi wanita yang teguh dan kuat.

“Sesebuah rumah tangga itu harmoni dan bahagia kerana suami dan isteri tahu peranan masing-masing. Mereka bukan sekadar tahu hak mereka, malah tahu apa peranan mereka bagi memenuhi hak-hak tersebut.” Petikan dalam Pillow Fight, hal. 146.

 


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Syuhara Suriati
Syuhara Suriati

Penulis artikel, antologi dan anekdot.🌷Isteri suri membaca dan menulis 🌷

Articles: 67