Ulasan Buku : Bangkitlah Jiwa

Nama buku: Bangkitlah Jiwa
Penulis: The Bingkisan Hati & Azura Zamri
Muka surat: 136
Penerbit: Galeri Ilmu
Tahun terbit: 2020
Cetakan: Pertama

Setiap kali membaca sebuah buku pasti ada sesuatu yang pembaca mahukan. Seperti saya sendiri antaranya mahu merasai keindahan bahasa yang dialunkan oleh penulis buku masing-masing.

Buku di hadapan para pembaca berjudul Bangkitlah Jiwa merupakan susunan kata oleh dua penulis wanita yang cukup hebat dalam penulisan buku-buku bergenre motivasi. Azura Zamri dan The Bingkasan Hati. Kedua-dua mereka ialah penulis yang kini saya gemar ikuti.

Ini ialah buku yang menghimpunkan nukilan kata-kata ataupun lebih mudah kita fahami disajikan dalam bentuk qoutes. Sungguh, ia sangat berlainan malahan sesuatu yang amat baharu saya kira dalam seni penulisan dan pasaran buku.

Kebiasaannya, saya jumpai himpunan kata-kata sering dipahat dalam catatan diari. Ditutup rapat, dikenang segala rahsia. Ada amukan, jeritan, laungan dan tangisan bermacam gaya. Namun, agak kehairanan dan teruja apabila mendapati ada karya seperti ini diperkenalkan kepada pembaca. Yang pastinya, ini bukanlah buku diari yang selalu kita kunci dan lakarkan.

Tulus dikatakan bahawa membaca qoutes dan juga menulis qoutes adalah minat dan kegemaran saya sejak dahulu. Apabila digandingkan jiwa penulis dan pembaca, ia menambahkan lagi kesempurnaan dan seri menikmati melodi tinta.

Karya ini diadun penuh dengan hati. Digarap mengikut situasi. Bertujuan membawa masyarakat bangkit saking desakan ujian yang tidak ada henti.

Membuka lembaran demi lembaran ia sesekali mengubati jiwa yang pernah sakit bagai katak ditimpa kemarau. Dua penulis yang cukup dikagumi ini telah memukau saya sebagai pembaca. Lontaran suara yang bergema melalui pena menembusi cuping telinga hingga ke minda.

Apabila ditulis oleh wanita dan dibaca pula oleh wanita, ia seolah-olah menggambarkan ada magnet yang mendekatkan hati sesama wanita yang dulu berduka bangun bersatu mengumpul kegagahan, kesabaran dan kecekalan.

Pada bahagian awal lagi, penulis telah menyatakan hasrat ingin menyampaikan karya ini dalam bentuk puitis. Memuatkan pesanan mesej yang membenihkan kerinduan dan kecintaan kepada Rabbul Izzati.

Apa yang boleh saya katakan, membaca buku-buku bertemakan qoutes ini sedikit sebanyak memberi impak positif kepada pembaca kerana,

1. Kata-kata adalah alat untuk memotivasikan kita saat tidak ada manusia sudi menolong menyedarkan kita. Ia boleh menjadi teman paling akrab dalam menasihati kita secara diam tanpa luka.

2. Kata-kata adalah pembakar semangat kepada insan-insan yang pernah tewas. Buku ini boleh mendorong seseorang bangkit saat pernah jatuh dan tersadung oleh musibah atau apa saja momen-momen pahit yang sulit untuk ditinggalkan.

3. Kata-kata dalam karya ini juga bertujuan hendak menegur kita sebagai umat Islam secara berilmu dan berhikmah. Kata-kata yang disalut dengan kemanisan dakwah akan mencantikkan lagi lenggok bicara dan akhir sekali mampu membimbing pembaca ke jalan kebenaran.

Saya percaya bahawa kata-kata boleh menjadi pisau paling tajam menembusi jiwa-jiwa nan lembut. Kendatipun begitu, kata-kata itulah juga yang mengeluarkan kita daripada terowong kekhilafan dan membantu kita memperbaiki mutu kehidupan.

Tahniah diucapkan dan syabas kepada dua penulis yang amat disegani kerana mengambil langkah berani menghasilkan karya terbaik seperti ini. Moga terus tumbuh dan menyuburkan kami dengan bacaan-bacaan segar pada setiap hari.

Buat yang pernah diuji asbab pandemik yang tidak berkesudahan, buku ini sangat disyorkan. Moga wajah yang suram, ceria hendaknya. Tubuh yang rebah, kembali aktif, cergas dan bertenaga.

Di akhiri satu petikan qoutes yang menarik dalam halaman 27,

“Meski dirimu tidak dihargai,

tetaplah berdiri teguh dan kukuh.

Tidak tumbang saat ditolak,

tidak lemah saat dipijak.

Walau jutaan makhluk cuba menjatuhkanmu,

kukuhkanlah kebergantunganmu,

Hanya kepada Allah,

Tuhan Seisi Alam.”

Selamat membaca.


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Syuhara Suriati
Syuhara Suriati

Penulis artikel, antologi dan anekdot.🌷Isteri suri membaca dan menulis 🌷

Articles: 67