Ulasan Buku : Angin Timur Laut

Assalam dan salam sejahtera untuk semua. Alhamdulillah syukur kerana aku masih diberi rezeki untuk menulis di sini. Baik, ulasan baru untuk buku yang baru. Kali ini aku baru sahaja menghabiskan satu lagi buku lama yang dikatakan mahakarya bagi penulisnya. Sebelum ini, aku sudah menulis ulasan mengenai sebuah buku yang bertajuk Ustaz yang dikarang oleh Sasterawan Negara kita yang ke-9; iaitu S. Othman Kelantan. Dan buku kali ini juga adalah karya yang aku pilih dari penulis yang sama. Judulnya ialah Angin Timur Laut. Angin Timur Laut sebagaimana  tajuknya, akan membawa kita para pembaca ke sebuah penempatan yang amat dekat dengan fenomena ini. Ya, negeri Pantai Timur atau yang lebih spesifiknya negeri Kelantan. Macam mana aku boleh tertarik dengan dengan buku ini? Aku tertarik bila mana anak penulis (S.M. Zakir) dalam satu wawancara mengenai beberapa buah buku milik Sasterawan Negara ini telah menyebutkan bahawa buku Angin Timur Laut telah dianggap sebagai mahakarya bagi S. Othman Kelantan. Ini menurut pandangan yang diberikan oleh Tan Sri Johan Jaafar; seorang bekas Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP). Bagi aku simple, mereka yang minat dengan buku apalagi orang yang punyai nama dan pernah terlibat bekerja dengan syarikat yang berkaitan buku, wajar diselidik bahan bacaannya. Jadi, di sinilah aku mulai kepingin untuk mencicipi buku Angin Timur Laut.

Mengenai buku ini, Angin Timur Laut telah mula diterbitkan buat pertama kalinya pada tahun 1969 iaitu 50 dekad yang lalu. Dan sehingga sekarang, setelah 52 tahun berlalu ia diterbitkan sekali lagi oleh anak penulis melalui penerbitan Nusa Centre pada tahun 2021. Menurut pembacaan aku, tema yang mungkin ingin diangkat di dalam buku ini ialah mengenai kesusahan hidup para nelayan pesisir pantai dalam meneruskan kehidupan. Tema ini bagi aku adalah suatu tema yang sudah agak biasa atau klise. Kita semua sebagai manusia pasti akan menghadapi kesusahan dalam tempoh-tempoh tertentu dalam fasa kehidupan kita. Tetapi itulah apa yang membuatkan berbaloinya pembacaan ke atas buku ini. Melihat jerih perih orang lain dapat menimbulkan suatu kesedaran dalam diri kita. Lebih-lebih lagi ketika dunia hari ini dilanda wabak pandemik Covid-19 dan mata pencarian sesetengah orang menjadi sempit. Ia memberikan kita peluang untuk merenung kembali segala apa yang telah diusahakan selama ini. Kesusahan hidup para nelayan di dalam buku ini juga bukanlah sesuatu yang boleh dipandang sebelah mata sahaja. Ia kesusahan hidup yang melibatkan institusi keluarga dan rintangan yang perlu dihadapi oleh ketua keluarganya adalah melibatkan risiko kematian. Kita juga disuakan dengan contoh-contoh kecelakaan yang berlaku melibatkan profesi nelayan.

Apa yang aku perhati dari proses pengkaryaan buku ini, aku rasakan Angin Timur Laut bukanlah ditulis secara kronologi dari satu titik cerita berkembang ke titik cerita tertentu hingga ke penghabisannya. Sebaliknya, ia hanya terlihat seperti pemaparan fasa-fasa hidup seharian para nelayan dalam menempuhi dugaan sepanjang tahun apalagi ketika tibanya musim tengkujuh di bulan-bulan terakhir dalam kitaran setahun. Kita dapat melihat rintangan kehidupan para nelayan pesisir pantai dalam buku ini ialah fenomena Angin Timur Laut itu sendiri. Dan bagi aku, ini hanyalah aspek luaran sahaja. Ini kerana rintangan dari fenomena Angin Timur Laut adalah apa yang terjadi khusus kepada nelayan di negeri Pantai Timur Malaysia termasuk nelayan Sabah dan Sarawak. Mungkin bagi nelayan Pantai Barat lain pula rintangannya kerana secara geografinya mereka tidak begitu terdedah dengan efek buruk Angin Timur Laut. Manakala musuh atau rintangan sebenar yang mencekik dari dalam adalah kemiskinan itu sendiri. Seperti mana kata penulis buku ini; kemiskinan adalah sebuah lubang gelap yang tiada jalan keluar darinya. Sebagai contoh, kemiskinanlah yang memaksa Saleh; watak utama cerita ini menjatuhkan egonya untuk berjumpa dengan Jeragan Jusoh walaupun peribadinya sendiri tidak menyetujui perbuatannya. Selain itu, kemiskinan juga mampu menukarkan watak manusia menjadi haiwan melalui keterdesakan hidup. Melalui buku ini, kita didedahkan dengan wajah-wajah peribadi manusia yang mampu berubah ketika dihadapkan dengan keterdesakan. Antara lain yang turut menarik minat aku dalam Angin Timur Laut ialah sistem kemasyarakatan yang dipupuk oleh penduduk kampung Sabak. Kerukunan yang diamalkan ketika sesuatu pihak ditimpa musibah sangat jelas dipaparkan melalui buku ini. Tragedi Mat Dolah Butut dan Pasca-Bah Besar antara scene yang sangat efisien dalam mengaplikasikan nilai yang satu ini. Dan sebenarnya, pelbagai lagi isi menarik yang boleh diketengahkan dari buku ini, cuma aku sahaja yang tak berapa pandai nak kupas. Haha, maaflah ya 😅.

Dalam buku Angin Timur Laut ini, penulisan penulis amat menakjubkan pada pandangan aku. Kalau novel Ustaz yang diterbitkan pada tahun 1991 itu memperlihatkan kematangan S. Othman Kelantan dalam membawakan ceritanya secara santai. Novel Angin Timur Laut ini memperlihatkan sisi beraninya penulis ketika zaman mudanya dalam membawakan cerita serius seperti ini. Kebanyakan ayat-ayat yang digunakan dalam novel ini juga dapat aku istilahkan sebagai ayat ‘cakap lepas’. Kalau nak dimaki, diguna sahaja ayat makian. Jika nak disindir tak kira siapa, anak sendiri pun kena. Kadang-kadang lucu aku membaca sindiran-sindiran Saleh terhadap fizikal Jamal; anaknya. Paduan kata penulis amat hebat malah penggunaan katanya juga sangat meluas. Jenuh aku nak kena buka-tutup kamus sepanjang pembacaan buku ini. Kita pula dah memang jenis tak banyak kosa kata 😅. Imaginasi penulis pula sangat kreatif. Visi yang cuba dipaparkan dalam menggambar suasana dalam sesuatu keadaan dapat membuatkan aku takjub ketika membayangkannya sendiri. Contohnya seperti ayat;

Dia hanya dapat melihat tangan ‘Izrail yang kasar dan ganas terapung-apung di atas permukaan laut.

Sekali dibaca dapat dirasai kegerunannya. Angin Timur Laut juga tidak ketinggalan dalam menyelitkan kritikan halusnya terhadap sikap pegawai kerajaan seperti mana kejadian Saleh dan mangsa Bah Besar di pusat pengumpulan mangsa banjir. Dari sudut bahasa pula, perkataan-perkataan yang digunakan penulis sangat sukar untuk aku fahami sehingga terpaksa berkali-kali berhenti untuk membuka kamus. Akibatnya, kelancaran pembacaan aku jadi terganggu. Tapi itu kelemahan dari pihak aku. Gaya bahasa penulisan juga berbeza dengan gaya bahasa zaman 90-an. Dan kelemahan buku ini sama seperti yang aku sebutkan di ulasan buku Ustaz. Kesalahan ejaan banyak terjadi dan pengulangan ayat yang berturutan juga berlaku dari semasa ke semasa. Walau bagaimanapun, bagi aku ini hanyalah sekadar kelemahan teknikal yang masih boleh diperbaiki oleh editor yang menyemak tatabahasanya. Tapi aku tidaklah tahu proses editor dalam menerbitkan buku macam mana. Dan aku harap ianya dapat diperbaiki lagi.

Kesimpulan yang dapat aku katakan tentang novel Angin Timur Laut ini ialah; ia merupakan sebuah cerita yang wajar dibaca oleh setiap generasi. Ini kerana kesusahan hidup adalah fasa yang pasti berlaku pada setiap manusia. Apalagi ketika zaman pandemik seperti sekarang. Dan kisah Angin Timur Laut ini berjaya menonjolkan sisi kehidupan para nelayan pesisir pantai yang berjuang dan bertarung hidup dalam mencari sesuap rezeki untuk anak bini. Dugaan demi dugaan yang menimpa disusun dengan seni oleh penulis bagi menampakkan hidupnya jalinan cerita. Paduan kata yang dipilih penulis melalui Angin Timur Laut pula sangat mencabar minda, terutamanya bagi aku yang kekurangan kosa kata. Ini sekali gus memaksa aku menjadikan kamus sentiasa terletak di sisi sebagai teman yang memberi erti.

Sekian.


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Khairul Anuar Abdul Razak
Khairul Anuar Abdul Razak

a noob reader, therefore a noob writer ✌🏼

facebook: https://www.facebook.com/profile.php?id=100001328036465

Articles: 10