Ulasan Buku : Ustaz

Assalam dan salam sejahtera untuk semua. Baik, kali ini aku nak tulis sedikit tentang sebuah karya lama yang baru dicetak kembali. Sebuah cerita ringkas yang rinci kalau nak dikatakan sekilas tentang buku ini. Kenapa aku katakan begini? Nanti aku beritahu. Hehe. Okay, judul buku yang berkesempatan aku baca dan tulis sedikit tentangnya pada kali ini bertajuk Ustaz. Simple sahaja kan tajuknya. Karya ini ialah penulisan yang dikarang oleh S. Othman Kelantan; seorang Sasterawan Negara Malaysia yang ke-9. Aku sebenarnya tertarik nak baca buku ini setelah aku tonton dan dengar sedikit sinopsisnya dalam satu temu bual yang diadakan dengan anak penulis buku ini iaitu S.M. Zakir. Bila beliau ceritakan tentang buku ini, terus aku teringat dengan realiti semasa kita iaitu lambakan ustaz-selebriti di media pada hari ini. Aku tidak ada apa-apa masalah dengan ustaz-selebriti ini semua. Ilmu yang bermanfaat itu sewajarnya dihormat dan diangkat. Cuma aku lihat, masyarakat kita terlalu mudah dalam memberikan gelar ustaz kepada seseorang. Sebab bagi aku, ustaz itu amanahnya agak berat. Jadi, bertitik tolak dari itulah aku teringin merasa apa yang nak disajikan oleh Sasterawan Negara kita dalam karya beliau ini. Berkenaan genre buku ini, aku tak pasti sama ada banyak atau tidak buku dan novel seperti Ustaz ini dikarang pada zamannya dahulu. Tetapi bagi aku yang kurang membaca, ini novel yang baik dalam memerikan watak seorang pemuka agama yang wajar kita selami demi iktibar diri masing-masing.

Karya Ustaz ini telah diterbitkan pertama kali pada tahun 1991 dulu. Dan buku yang ada pada aku ini ialah cetakan baru yang diusahakan oleh penerbit Nusa Centre. Ia baru sahaja diterbitkan pada tahun 2021 ini. Tema yang diangkat melalui buku ini bagi aku ialah berkenaan pergelutan jiwa dalam menjaga kemurnian niat pada diri seseorang. Tema ini majoritinya terrefleksi dalam diri watak utama novel ini yang bergelar seorang ustaz. Tentang betapa getirnya konflik jiwa yang melanda ustaz ini ketika beliau diamanahkan dengan suatu tanggungjawab yang sepatutnya telah biasa dilakukan dan mengakar dalam dirinya. Melalui penceritaan novel ini, aku melihat bahawa latar yang digunakan oleh penulis amat simple. Ia tidak melibatkan terlalu banyak watak dan tempat. Kita sebagai pembaca akan dapat menikmati bacaan ini secara santai. Dan bagi aku, penekanannya memang bukan pada latar-latar yang mengitari kisah ini, tetapi lebih kepada pergolakan jiwa dan perasaan yang bermain dalam diri setiap wataknya. Penulis sangat cemerlang dalam menonjolkan watak SEORANG MANUSIA yang memainkan peranannya sebagai seorang ustaz sekali gus pendakwah kepada pihak yang didakwahnya.

Sedikit sinopsis yang boleh aku kongsikan; novel ini berkisarkan seorang ustaz lepasan Universiti al-Azhar yang telah diamanahkan untuk meluruskan sebuah keluarga yang diberitakan telah jauh daripada pelabuhan agama. Jadi, ustaz berusia awal 30-an inilah yang bertindak memainkan peranannya sebagai pendakwah khusus kepada keluarga tersebut. Keluarga itu pula terdiri dari sepasang suami isteri hartawan dengan anak-anak mereka yang sudah agak remaja-belia, namun masih belum boleh mengaji dengan baik. Maka, melalui pengajian Quranlah tugas ustaz ini bermula. Dalam kalangan muridnya di rumah hartawan tersebut pula, perhatian ustaz ini telah ditarik oleh seorang gadis sunti yang diibaratkan seperti seekor kijang emas yang lincah dengan segala kecantikan dan keindahannya. Di sinilah timbulnya konflik jiwa dalam diri seorang lelaki yang sedang memposisikan dirinya sebagai seorang ustaz. Jika keinginan itu dapat diumpamakan sebagai seorang pemburu, bagaimanakah getirnya ustaz ini bilamana kijang emas itu sendiri yang berjinak-jinak dengannya?

Ketika membaca buku ini, aku tidaklah merasa terlalu janggal dengan penggunaan bahasanya. Mungkin kerana tahun 1991 tidaklah terlalu jauh beza penyusunan ayatnya dengan zaman-zaman akhir tahun 90-an. Atau mungkin penulis sendiri bijak dalam menyusun rangka ayatnya sehingga terasa ‘ngam’ dibaca walau karya ini sudah jauh melangkah ke tahun 2021. Cuma yang terlihat kurang di mata aku ialah kesalahan ejaan patah-patah perkataan dan sedikit keterbalikan frasa dalam sesuatu ayat yang berlaku di sepanjang pembacaan novel ini. Jadi, harapnya jika novel ini kekal mendapat tempat di pasaran buku sehingga memerlukan ulang cetak, semoga kesalahan-kesalahan tersebut dapat diperbetulkan terlebih dahulu agar pembacaan terasa lebih selesa dan lancar.

Sebagai penutup, apa yang dapat aku simpulkan daripada novel Ustaz karangan S. Othman Kelantan ini ialah jalan cerita yang disajikan kepada khalayak pembaca memang kelihatan simple. Tetapi, perincian penulis dalam memerikan perasaan yang bermain dalam jiwa setiap wataknya sangat menarik. Ada kejujuran dalam pengolahan watak seorang manusia dalam sebuah cerita yang direka. Bila dibaca, sekali gus dapat dikatakan inilah manusia. Sangat complicated. Bukan sekadar hitam dan putih, tetapi penuh warna-warni. Cumanya, suasana yang disuguhkan penulis melalui novel ini tak tahulah sama ada masih boleh berlaku dalam kalangan masyarakat kita zaman moden ini atau tak; iaitu kemurnian niat yang dijaga dengan bersungguh tika melakukan sesuatu perbuatan.

Sekian.


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Khairul Anuar Abdul Razak
Khairul Anuar Abdul Razak

a noob reader, therefore a noob writer ✌🏼

facebook: https://www.facebook.com/profile.php?id=100001328036465

Articles: 10