Ulasan Buku : Psikologi Si Kecil

Buku Psikologi Si Kecil ini ditulis oleh Dr Rozanizam Zakaria iaitu seorang pakar psikiatri kanak-kanak dan remaja.

Apa maksud psikologi? Psikologi ialah kajian tentang proses mental dan pemikiran, terutamanya berhubung dengan per­lakuan manusia dan haiwan atau pola pemikiran dan perlakuan seseorang atau sesuatu kum­pulan tertentu. (Sumber: DBP)

Mental ialah yang melibatkan akal, pemikiran dan proses intelektual, yang kita tidak dapat lihat secara zahir keadaan kesihatannya. Cederakah? Lukakah? Bengkak? Calar? Tidak seperti keadaan fizikal yang kita dapat lihat luka, berdarah, lebam, calar dan bengkaknya, yang kita tahu hujung pangkalnya. Mungkin kerana terjatuh, terhantuk dan sebagainya. Lalu dengan segera kita dapat merawat untuk menghilangkan kesakitannya.

Tidak seperti kelukaan pada mental, kita hanya akan dapat lihat apabila kesannya telah muncul dengan tidak semena-mena, bukan sebab terjatuh atau terhantuk. Kesannya mengaitkan peristiwa demi peristiwa yang mungkin sudah berlalu berbulan bahkan bertahun. Seperti mana kelukaannya mengambil masa untuk memperlihatkan kesan, seperti itu jugalah untuk merawat bagi menghilangkan ‘kesakitannya’.

Seramai 424,000 kanak-kanak mengalami masalah kesihatan mental di Malaysia. – National Health and Morbidity Survey (NHMS) 2019

Antara perkara yang mempengaruhi kesihatan mental seseorang ialah corak asuhan atau didikan. Oleh itu, pentinglah sebagai ibu bapa untuk kita mengambil tahu serba sedikit tentang ilmu psikologi dalam membesarkan anak. Buku Psikologi Si Kecil, ditulis oleh orang yang ahli sudah tentu ia sangat membantu. Buku yang mempunyai 288 muka surat ini mengandungi 50 pesan psikologi anak-anak kecil dan remaja untuk ibu bapa.

Buku ini memberitahu bagaimana kita dapat membantu perkembangan setiap bahagian otak anak. Ya, setiap bahagian otak ada cara ransangannya. Sebagai contoh, membaca, bercerita, bernyanyi bersama, memeluk, bermain dengan pelbagai suasana dapat membantu perkembangan bahagian otak sisi atas anak. Dengan membiarkan anak bergerak, meneroka, berguling, melompat, meniarap dan merangkak membantu perkembangan bahagian otak belakang anak.

Juga bagaimana permainan seringkas cak-cak (peekaboo) membuat sel-sel otak anak berhubung diterangkan. Menarik bukan? Pernah tahu sebelum ini?

Seterusnya, melalui buku ini Dr Rozanizam menitipkan pesan kepentingan peranan seorang bapa kepada anak dengan membuatkan anak berasa bapa sentiasa ada untuknya. Sudah tentu dengan tidak hanya membelikan susu, permainan, baju dan sebagainya. Keperluan untuk seorang bapa benar-benar hadir dalam kehidupan anaknya tidak boleh diganti dengan kebendaan apatah lagi wang ringgit. Seperti kata Puan Ilyani Munsarikh, bapa yang baik bukan yang belikan banyak mainan tapi yang bermain dengan anak walaupun tanpa alat permainan.

Bagaimana jika anak itu tidak berbapa (kematian atau perceraian)? Bagaimana jika bapa yang berkerja jauh? Semuanya diperincikan dalam buku ini.

Buku ini juga menekankan untuk ibu dan bapa membiasakan quality time bersama setiap anak sejak anak kecil sehingga remaja, dewasa pada masa yang berbeza. Maksudnya, seorang anak satu masa. Jika tiga anak, ibu dan bapa perlu peruntukkan tiga masa berbeza. Kelihatan seperti menyusahkan kita? Hayati ini.

“Bila anda biasakan anak-anak dengan ‘moment’ ini sejak dari kecil, anda tidak akan berasa janggal apabila pelru ‘slow-talk’ dengan anak bila mereka remaja untuk bercerita soal emosi, perasaan, cinta, perkembangan personaliti, masalah peribadi yang akan makin kompleks bila mereka remaja. Ini kerana mereka ada ‘daddy-son, mommy-daughter, daddy-daughter, mommy-son moment’ mereka sendiri untuk mereka gunakan.

Bila kita sentiasa sediakan bahu untuk mereka bersandar, harapnya tidaklah mereka mencari bahu lain untuk bersandar bila ada masalah ketika dewasa kelak. Apatah lagi kalau bahu itu bahu yang haram untuk mereka sentuh.”

Buku ini juga mengandungi pesan tentang kesalahan dalam mendisiplinkan anak, menangani anak suka berbohong, bergaduh, mengatasi cabaran emosi hari pertama persekolahan, bantu anak lebih focus dan pelbagai isu lain lagi.

Kita yang menjadi ibu bapa zaman ini sangat beruntung. Ilmu keibubapaan di mana-mana. Hanya tinggal kita yang membuat sedikit usaha dengan membaca buku atau menghadiri seminar keibubapaan. Semoga corak asuhan dan didikan kita kepada anak bukan berdasarkan percubaan atau kitaran cara kita dididik tetapi berdasarkan ilmu pengetahuan. Semoga bermanfaat.

Buku Psikologi Si Kecil boleh dapatkan di sini.


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Nur Mustika Adriena
Nur Mustika Adriena

Perempuan yang membaca.

Articles: 22