Ulasan Buku : Tenanglah Hati

Nama buku: Tenanglah Hati
Penulis: Reyna Ibrahim
Muka surat: 340
Penerbit: Rimbunan Publishing House
Tahun terbit: 2021
Cetakan: Pertama

Judul buku Tenanglah Duhai Hati ialah pilihan bacaan buku motivasi baru-baru ini.

Buku ini merupakan buah pengalaman hidup penulis yang telah diuji dengan penceraian, kehilangan abah kandung dan orang-orang yang disayangi di sekitarnya.

Perlahan-lahan musibah datang menjengah dan menyebabkan penulis terpaksa teguh meredahnya demi membesarkan anak-anak. Penulis yang telah merasai kegagalan dalam rumah tangga nekad mencari insiatif sendiri untuk kembali pulih selepas bertemu pakar psikiatri.

Antaranya, mulai mendekatkan diri kepada Tuhan, mengubah apa yang perlu, mendapatkan khidmat nasihat dan sokongan daripada ulama seperti Datuk Dr. Haron Din.

Buku ini juga diwarnai kisah-kisah perjuangan mereka yang pernah melawan arus tekanan oleh serangan emosi yang berpanjangan sehingga mencetuskan inspirasi kepada penulis.

Penulis yang hampir hanyut dalam gelora ujian kini bangkit membukukan seluruh kisahnya untuk diteladani oleh masyarakat pada hari ini. Walau bagaimanapun, ia bukanlah buku cerita dan merekodkan kisah hidup penulis semata-mata.

Akan tetapi, karya ini justeru menitipkan ibrah dan meninggalkan bekas untuk kita belajar menghapus segala badai yang bertebaran berdasarkan pengalaman kelam penulis yang lepas dan amat menginsafkan.

Setiap daripada kita, masing-masing ada episod kesedihan, tawa dan gembira. Cumanya, ia terselindung jauh dari dalam jiwa dan tersembunyi daripada tatapan manusia. Yang jelas, kita adalah hamba yang tetap ada roda ujiannya.

Sesetengah dalam kalangan kita ada yang tersungkur dari landasan yang lurus kerana tiada kekuatan mendepani ujian yang turun. Bila ujian datang, kadang-kala kita rasa terbeban dan buntu mencari jalan keluar.

Kemungkinan, kita terlalu lembik dan lemah kerana tidak meletakkan Tuhan sebagai satu-satunya tempat penyelesaian. Kita mengadu kepada manusia, namun sebetulnya Allah lah yang layak tempat kita adukan dan sandarkan.

Di usia 40-an, penulis membawa para pembaca menyantuni ujian dengan cara menanam sifat-sifat terbaik seperti sabar, pasrah dan reda. Mengajak pembaca memperkemaskan jati diri agar lapang dalam menjemput ketenangan yang dikejar selama ini.

Buku ini juga menyedarkan kita tentang pentingnya ilmu ketuhanan supaya apabila ujian itu tiba, kita telah bersiap sedia memasang peluru kekuatan dengan urusan takdir yang telah Dia aturkan. Kita tidak akan mudah kecewa disebabkan keyakinan kita kepada pencipta telah menutup pintu-pintu kegelisahan.

Sebagai pembaca yang telah mengakhiri nota hati penulis ini, buku ini wajar menjadi teman di sisi di kala duka kerana,

1. Penulis buku ini cukup jujur dan berani dalam bercerita berkenaan dirinya yang dulu kurang baik. Namun, ini bukan bererti pembaca perlu bersikap sinis kepada beliau melainkan penulis cuba mengingatkan bahawa kita ada pilihan untuk berubah lebih baik berbanding terus terjelopok di atas kesilapan-kesilapan yang lalu.

2. Terdapat tip-tip bertenang yang dikongsikan oleh penulis dalam buku ini. Antaranya, membaca buku-buku yang disenaraikan bagi menyembuhkan hati, mendalami ilmu, bersedekah, qanaah, berbuat baik kepada orang tua dan lain-lain. Ia sangatlah berkait rapat dalam membantu kita untuk kuat dalam berjuang menegakkan kebaikan.

3. Dilengkapi ayat-ayat Al-Quran dan hadis yang sangat bersesuaian dengan keadaan dan situasi seseorang yang sedang diburu oleh kesusahan. Ini membuktikan lagi bahawa al-Quran adalah penawar hati dan hadis adalah penguat langkah dalam menguruskan rohani dan fizikal kita secara baik.

4. Untuk mengecapi sebuah ketenangan, penulis mengajarkan kita untuk mengikhlaskan apa yang telah berlaku dan mengubah cara pandang kita terhadap ujian.

5. Buku yang berwarna, saiz seperti buku novel dan sedikit carta dipaparkan memperindahkan lagi isi kandungan dan memperluaskan lagi mata yang mengembara.

Melalui garapan penulis juga, ia mendidik kepada semua untuk memperbetulkan keadaan diri yang hampir tumbang dek derita yang dianggap tidak menemukan titik penyelesaian agar cekal dan pasrah mampu dipasakkan.

Teguran dan tinta penulis menjentik pembaca untuk belajar bersyukur, memanfaatkan kudrat untuk cintakan ibadah, tidak mudah mengeluh dan meyakini bahawa ujian tersebut bertujuan hendak menyedarkan kita yang sedang leka kepada-Nya.

Di samping itu, wajar bagi kita menjauhi hal-hal yang boleh menyebabkan kita merungut dan bersedih. Membina semula kegagahan dan menghilangkan semangat yang pernah down mengikut gaya ataupun metod penulis dalam naskhah ini.

Usai membaca buku ini, saya percaya bahwa tiada lagi sikap menyalahkan takdir, yang ada hanyalah reda kepada ketentuan ilahi. Didesak, ditinggalkan itulah yang di lalui oleh penulis untuk kita dalami sebagai hamba yang turut sama mengharungi.

Pun begitu, bagaimana hendak bertenang menghadapi ujian demi ujian yang bertandang?

Jawapannya ada dalam naskhah ini.

Tutur penulis dalam pendahuluan,

“Bacalah naskhah ini dengan kerendahan hati. Bacalah isinya dengan rasa untuk mengubah diri menjadi lebih baik daripada sebelumnya. Bacalah untuk kita lebih bersedia menerima apa juga dugaan dunia. Bacalah dengan keinginan untuk meraih ketenangan di celah-celah ujian. Benar, ujian itu pahit tetapi ada manis yang terbungkus di dalamnya!”


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Syuhara Suriati
Syuhara Suriati

Penulis artikel, antologi dan anekdot.🌷Isteri suri membaca dan menulis 🌷

Articles: 67