Ulasan Buku : Trio

Judul Buku: Trio
Penulis: Hanani Natasya
Kategori: Fiksyen
Penerbit: Buku Fixi
Jumlah Halaman: 284

‘Trio’ yang bermakna tiga menjadi judul pilihan penulis bagi karya versi fiksyen ini.  Simbolik tiga yang ingin ditafsirkan oleh penulis ialah mengenai tiga watak utama yang mengunggahi setiap plot cerita, di samping watak-watak sampingan lain yang berperanan sebagi sendi kisah agar penyampaiannya lebih difahami oleh pembaca. Naskhah ini berdiri dengan 40 bab yang mana mengarah kepada siri tragedi yang agak misteri pada klimaks dan puncak cerita. Pada prolog bab, karya ini sudah memberi gambaran awal yang pasti membibit titik-titik ingin tahu di dalam minda pembaca. Maka tidak hairanlah sekiranya saya sendiri yang telah menelaah buku ini mampu untuk menghadamkannya dalam tempoh tiga hari, sebagai cabaran kepada diri ini sebagaimana mengambil tajuk buku yakni nombor tiga. Meskipun jumlah halaman yang terkumpul agak panjang, namun dengan stail atau gaya penceritaan berdimensikan urban yang digarap oleh penulis, saya amat yakin bahawa pembaca akan berusaha untuk melunaskan pembacaan sehingga tuntas. Bukan itu sahaja, komentar saya mengenai pengaplikasian struktur ayat dan bahasa selanga yang digunakan juga sangat seiring dengan tutur perkataan yang menjadi bualan masyarakat Malaysia era global kini.

            Menurut persepsi peribadi saya, buku ini telah menyerlahkan banyak karakter bagi watak-watak yang tertera pada setiap bab. Ini menunjukkan bahawa, bukan gerangan utama sahaja yang memberi fokus pengajaran kepada pembaca. Bahkan watak-watak sampingan lain turut menyampaikan mesej tersirat dan tersurat yang penting untuk dijadikan pedoman. Mengenai judul tajuk iaitu ‘Trio’, trio adalah sandaran kepada persahabatan yang erat antara tiga jejaka bekerjaya dan berkarisma iaitu Joe, Sam dan Andy. Maka proses cerita ini akan merungkai akan siapakah sebenarnya tiga sekawan ini. Selain itu, orang-orang sekeliling mereka telah berjaya menyerikan jalan cerita dengan karakter yang bervariasi seperti rakan pejabat yang metroseksual, isteri curang yang mati kemalangan, ibu angkat yang pilih kasih, perosak rumah tangga yang angkuh, pelayan kafe yang peramah dan banyak lagi.

            Imput pertama yang sangat sesuai untuk disinonimkan dengan sikap umum generasi zaman ini ialah ‘body shaming’ atau suatu bentuk perbuatan mengejek atau menghina seseorang yang mana boleh menjatuhkan maruahnya. Rata-rata tidak menyedari bahawa tindakan seumpama ini merupakan suatu bentuk buli secara verbal atau berunsur perkataan negatif yang menyumbang implikasi yang teruk kepada mangsa. Namun pelaku tidak merasakan bahawa dirinya merupakan pemangsa, bahkan tidak menganggap bahawa tindakan tersebut adalah salah. Inilah yang berlaku terhadap Alicia, gadis cantik yang telah memanipulasikan keindahan semulajadinya demi memperoleh markah yang cemerlang dalam assignment atau tugasan sewaktu menjadi mahasiswi di sebuah universiti. Kaedah licik yang digunakan adalah dengan mendekati lelaki bijak yang bernama Adlan atau Andy. Namun setelah Andy mencurahkan impian hati untuk melamar Alicia, Alicia membalasnya dengan ejekan dan hinaan. Pada Alicia, Andy tidak sepadan dengannya dek kerana tidak memiliki ketampanan yang selayaknya untuk disuaikan dengan dirinya. Ternyata, dendam air mata tidak mampu dipadam dengan garis masa panjang yang berjalan laju. Tohmahan dan nista yang dilemparkan oleh Alicia, Fahmi dan rakan kuliah Andy dibalas dengan pembunuhan kejam dan rakus oleh Andy. Alicia dan Fahmi meninggal dunia akibat binasa lidah yang tidak bertulang.

Nilai murni yang boleh dijadikan ikutan pula ialah sifat kasih sayang terhadap insan lemah seperti kanak-kanak dan wanita. Sesungguhnya, perempuan bukan untuk difahami tetapi untuk disayangi. Watak utama kedua dalam Trio ialah Sam. Jejaka tampan bernama Sam sangat menyantuni dan menghargai isterinya, Ana dan begitu halnya juga dengan anak mereka, Nia yang sangat dimanjakan dan dilindungi. Meskipun di ambang perceraian, Ana tetap menjadi prioriti baginya walhal Ana telah berpaling kasih dengan meniduri bekas teman lelakinya sewaktu masih menyandang status isteri kepada Sam. Sikap menyanjung tinggi akan seorang wanita tanpa mengasarinya walaupun telah dicurangi yang dimiliki oleh Sam wajar dijadikan tauladan bagi golongan pria yang mudah mempamerkan baran dan amarah terhadap wanita. Sememangnya hati dan karakter wanita sukar untuk diduga, namun bukan menjadi alasan untuk dibiarkan atau dikasari andai salah faham menjadi punca bertelagah dan bermusuh. Sebarkanlah kesejahteraan dan kasih sayang terhadap sesiapa sahaja tanpa mengira gander dan kedudukannya dalam hierarki masyarakat. Dengan demikian, ketenangan abadi akan menyelimuti segenap alam fikiran kita dan membentuk acuan diri kita menjadi lebih impresif dan optimis.

Watak ketiga dalam Trio adalah Joe. Joe seorang lelaki yang mempunyai vision atau bayangan masa depan. Kelebihan yang dimiliki ini dimanfaatkan demi membantu insan-insan yang menjelma dalam sekilas mimpinya bagi membantu mereka yang sedang terpalit oleh kesusahan. Sifat sebegini harus ada dalam akhlak seorang manusia yang mengaku bahawa dirinya berpakaian dengan empati dan nilai manusiawi. Ini bertepatan dengan sabda Nabi Muhammad s.a.w yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, “Barang siapa yang melepaskan satu kesusahan seorang mukmin, pasti Allah s.w.t akan melepaskan darinya satu kesusahan pada hari kiamat. Barang siapa yang menjadikan mudah urusan orang lain, pasti Allah s.w.t akan memudahkannya di dunia dan di akhirat”. Ibrah dari hadis ini harus direnungi untuk dijadikan tindakan spontan dalam diri kita saat orang lain menagih kudrat kita secara tiba-tiba. Hulurkanlah bantuan dengan hanya mengharapkan balasan keredhaan dan cinta dari Allah s.w.t. Bukan itu sahaja, naskhah ini turut menghadirkan watak orang halus yang bernama Matius. Bagaimanakah susuk tubuh dan pola tindakan Matius sehingga mampu mempengaruhi Trio sekawan? Apakah epilog dari kisah Trio dan Matius?

Segala bentuk tanda tanya ini saya tinggalkan buat pembaca seterusnya. Saranan saya, karya hebat yang mana muatannya sarat dengan tribulasi kehidupan aneka ragam manusia ini sangat sesuai dibaca oleh warga remaja dan orang dewasa lantaran pengolahan yang bersahaja dan intipatinya penuh dengan pengajaran berguna. Usai menokhtahkan fiksyen ini, saya menyimpulkan bahawa, tidak kira sesiapa sahaja yang kita gauli dan temui, luaskan spektrum pengamatan dan tanggapan terhadapnya kerana melalui salah pandangan sahaja mampu merosak jiwa dan memusnahkan ikatan. Simbiosis atau keharmonian sajalah yang menjadikan setiap watak insan sebagai kepelbagaian yang indah untuk menaluki minda dan mentaliti kita sendiri. Dengan demikian, akal akan memproses cerminan yang baik terhadap orang lain, sekali gus menerima mereka dengan seadanya.


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


.Atiqah Abd Rahim.
.Atiqah Abd Rahim.

Penuntut UKM Bangi, jurusan Usuluddin & Falsafah.

Articles: 20