Ulasan Buku : Berjuang Urus Emosi

Nama buku: Berjuang Urus Emosi

Penulis: Fatimah Syarha

Muka surat: 432

Penerbit: PTS Publication

Tahun terbit: 2021

Cetakan: Pertama

Permulaan mendakap buku ini sudah menjangka bahawa ia adalah buku yang membantu merawat emosi seorang ibu yang membesarkan anak-anak. Apabila karya ini digarap mengikut situasi-situasi yang saban hari menimpa para wanita, sesekali juga ia menjadi rawatan sempurna membaik pulih mental kita.

Alhamdulillah, membaca buku karangan Ustazah Fatimah Syarha sedikit memujuk hati dan menurunkan ‘depress’ yang tengah kacau bilau. Ia mengingatkan saya pada momen dahulu yang pernah melalui detik-detik cemas melahirkan anak sulung secara pembedahan. Meskipun kini anak semakin mendewasa, ilmu-ilmu baharu berkaitan keibubapaan tetap perlu ditambah dari semasa ke semasa.

Buku ini memuatkan panduan yang sangat efektif dalam menolong seorang wanita menguruskan emosi sebelum dan selepas melahirkan anak. Bermula daripada fasa-fasa mengandungkan anak, yang mana kebanyakan ibu-ibu kebelakangan ini berhadapan dengan kesusahan dan tekanan mental menanti kelahiran cahaya mata yang bakal dilahirkan. Dengan ini, penulis menawarkan jalan-jalan terbaik bagi mengatur stress yang dihadapi oleh ibu-ibu yang tidak tahu bagaimana hendak memulakan kehidupan baharu bersama si kecil.

Usai selepas melahirkan anak pula, emosi ibu-ibu juga diganggu oleh rengekan anak, tidak cukup tidur dan ujian saat berpantang sangatlah mencabar dugaannya. Situasi ini boleh membawa kepada kemurungan yang parah lantas boleh membunuh nyawa sesiapa sahaja. Meroyan? Benar, ini mungkin kebiasaan berlaku dengan teruk dan pastinya ada wanita yang pernah melaluinya dalam sejarah.

Hadirnya buku ini ia bagaikan penawar yang bertindak merawat emosi wanita yang sedang berjuang. Untuk itulah, penulis mengadun buku ini mengikut usaha-usaha penting yang boleh diamalkan bagi setiap wanita agar kesihatan fizikal dan fikiran wanita juga boleh terpelihara daripada mengerjakan suatu perkara di luar kewarasan akal.

Antaranya, Ustazah Fatimah Syarha berkongsi pengalaman sengit beliau sepanjang mengandungkan anak-anak. Anak yang ramai bukan penghalang dalam meneruskan kerjaya sebagai pendakwah. Namun, ketekunan dan ketinggian tawakal daripada penulis boleh menjadi ikutan buat semua. Penulis juga berbahagi pengalaman bersama orang ramai yang mengajukan persoalan-persoalan berkaitan kehamilan untuk rujukan bagi seluruh pembaca yang turut sama melalui saat-saat terindah ini.

Pada bahagian lain, terdapat kupasan info-info menarik seperti ilmu kesihatan berkaitan pemakanan, ubat-ubatan, senarai hidangan terbaik ketika berpantang, ilmu penyusuan yang harus dititikberatkan informasinya sebagai langkah-langkah proaktif bagi memastikan tubuh badan seorang ibu yang baru melahirkan anak mendapat tenaga yang cukup dari sumber berkhasiat. Pemakanan yang mengandungi kelengkapan vitamin dan diamalkan oleh seorang ibu mampu membantu mengekalkan nutrisi kepada si manja yang sedang aktif membesar.

Sebagai penulis yang menjadi rujukan masyarakat atau public figure, Ustazah juga memberi penekanan utama dari segi aspek keagamaan dan hubungan seorang manusia yang sebenarnya amat bergantung kepada pertolongan Rabb-Nya. Oleh kerana itu, ia sarat menghimpunkan doa-doa baik dalam al-Quran dan hadis untuk dijadikan sandaran bagi mendekatkan diri kita kepada Allah. Hanya kepada Dia kita meminta pertolongan dan kemudahan dalam urusan mengeluarkan nyawa seorang manusia ke dunia.

Buku ini penuh dengan tip-tip berguna, disokong oleh kajian psikologi dan menjadi perisai seorang wanita dalam membangunkan rumah tangga yang bahagia. Meninggalkan kepada pembaca mengenai kisah-kisah pedoman dan inspirasi lain seperti Maryam binti Imran yang bertarung melahirkan Isa dapat membimbing kita menguruskan perasaan mengikut petunjuk-Nya.

Sebagai penutup, adalah lumrah buat para isteri dan ibu diselubungi emosi yang bertukar-tukar warna serta menanggung kesakitan yang berbekas. Bantu diri dengan mendapatkan karya ini, mudahan-mudahan pembaca menemukan solusi yang meningkatkan kualiti diri sebagai seorang mukmin. Moga-moga emosi kita juga dipandu mengikut wahyu Ilahi.

Pembacaan buku ini bukan dihadkan untuk wanita sahaja tetapi juga buat lelaki yang bergelar bapa adalah elok membaca karya ini demi memperhalusi tanggungjawab yang sebetulnya sekali gus memahami jiwa wanita yang menjadi peneman hidupnya.


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Syuhara Suriati
Syuhara Suriati

Penulis artikel, antologi dan anekdot.🌷Isteri suri membaca dan menulis 🌷

Articles: 67