Ulasan Buku : S.E.M.P.U.R.N.A

Ketahuilah, ketidaksempurnaan yang kau ada itu bukan kelemahan kau. Tetapi, ia adalah kelebihan. Itulah ‘sempurna’ yang kau miliki. Lesung pipit adalah satu kecacatan. Begitu juga dengan tahi lalat pada wajahmu. Dan ia dipanggil KECANTIKAN. Ia sangat INDAH. Air mata dan tangisan kau itu bukan sia-sia. Sesudahnya, tidakkah kau memperolehi kelegaan dan semangat bagi mencapai apa yang kau mahu?

Jadi jangan bimbang. Ketidaksempurnaan itu adalah ‘kesempurnaan’. Yakin dan bersyukur kepada Tuhan. Dia tidak pernah menjadikan kau memiliki ‘TIADA APA-APA’. Yang tidak sempurna tidak semestinya tidak bahagia.

Membaca ‘blurb’ yang tertulis di kaver belakang buku itu membuatkan saya jatuh cinta untuk membacanya. S.E.M.P.U.R.N.A adalah sebuah buku motivasi dan inspirasi terbitan Mustread Sdn.Bhd. Buku gaya motivasi santai dan tulisan secara sempoi adalah karya tiga penulis muda berpotensi besar iaitu Syazana Samsul, NF.Amira Salleh dan Miza Ramli. Saya menyedari kehadiran buku ini apabila ia tersenarai dalam carta bestseller MPH.

Persembahan gaya penulisan ketiga penulis mudah menarik minat pembaca untuk menyelak helaian demi helaian naskah. Hanya dua jam, buku setebal lebih kurang 180 muka surat itu dapat dihabiskan. Buah tangan mereka tidak mengecewakan pembaca. Walaupun dikatakan sebagai buku motivasi umum, namun gaya mereka tidaklah berat dan terlalu mendesak pembaca.

bmd

Tajuk-tajuk yang disentuh juga kebanyakan isu segar yang sangat dekat dengan masyarakat. Adakalanya cerita tentang pengalaman sebenar yang dapat menyentuh hati dan jiwa para pembaca. Anekdot yang diceritakan disampaikan dengan gaya menarik dan diselitkan dengan dalil untuk menguatkan jalan cerita.

Antara tajuk dan coretan yang menarik dalam buku S.E.M.P.U.R.N.A adalah seperti Indah Pada Waktunya, Angkuhnya Si Watak Putih, ‘Tidak Sempurna’ Lebih Sempurna, Sebelum Jadi Yang Terpilih, Rezeki Kita Tak Sama dan Sesekali Pandanglah ke Belakang.

Kepelbagaian perkongsian isu menjadikan buku ini sebagai bahan bacaan sempurna untuk semua golongan baik golongan muda mahupun dewasa. Malah, persembahan ilustrasi helaian dalaman buku yang berwarna menjadikan buku ini tidak membosankan untuk dibaca. Ilustrasi warna yang segar menangkap mata untuk terus membacanya.

Walaupun karya penulis baru, namun buku ini sesuai dijadikan pilihan bahan bacaan seisi keluarga. Tulisan penulis insya Allah dapat membangunkan jiwa yang sedang berduka dan mengejar bahagia. Justeru itu, secara peribadinya saya menantikan kemunculan buku-buku seterusnya daripada para penulis.  Selamat membaca untuk semua!


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Farihah Farzana Ismail
Farihah Farzana Ismail
Articles: 1