Selamat Datang Ke Laman Web Konfess Buku
Ulasan Buku : Hidup Berpesan-Pesan
Nama buku: Hidup Berpesan-pesan
Penulis: Rizal Azman
Muka surat: 240
Penerbit: Rimbunan Publishing House
Tahun terbit: 2022
Cetakan: Pertama
Menyaksikan fenomena sosial di akhir zaman ini, seolah-alah ada dalam kalangan manusiawi yang kini leka pada urusan akhiratnya. Tidak lagi memikirkan soal agama. Meminggirkan Tuhan dan bertuhankan kepada hedonisme. Betapa anak-anak muda di era modenisasi ini, lebih banyak mengagihkan waktu di luar berbanding memenuhkan ruang masjid untuk menunaikan solat berjemaah.
Buku tulisan saudara Rizal Azman ini adalah buku yang memuatkan pesan-pesan hidup untuk diamalkan oleh seluruh umat Islam. Pesanan yang mengandungi hikmah kehidupan dan mencakupi pelbagai aspek yang biasa berlaku di persekitaran kita baik meliputi isu sosial, akidah, negara dan agama.
Daripada pandangan penulis, beliau membuktikan bahawa kerosakan sedang berlaku dengan cukup berleluasa sehingga mengakibatkan masyarakat mudah dilalaikan oleh kenikmatan dunia yang menggiurkan.
Hal ini turut menimbulkan kebimbangan penulis dan membuatkan penulis tampil berani memujuk masyarakat kembali semula kepada jalan-jalan Islam yang kini semakin lama ditinggalkan kewajipannya.
Keseriusan penulis mengkaji situasi kebanyakan orang ramai yang kian meremehkan soal agama dan kehilangan sifat kemanusiaan ini mendorong beliau mengutuskan pesanan-pesanan tulus dalam buku ini. Justeru itu, karya ini menghimpunkan 35 bab dan dibahagikan mengikut empat bahagian.
Bahagian pertama penulis membawakan tema HabluminaAllah yang mana penulis sebenarnya mahu pembaca menanamkan sifat cinta kepada Allah dan Rasul-Nya. Mengambil tahu langkah-langkah sebenarnya bagi membentuk mukmin yang sejati melalui ibadah dan amalan yang wajib ditunaikan oleh seorang hamba.
Bahagian kedua, menampilkan tajuk Habluminannas yang bertujuan hendak memelihara hubungan baik di antara sesama manusia. Di sini penulis, menunjukkan panduan membina silaturahim seperti yang diperintahkan dalam Islam dan tanggungjawab seorang muslim terhadap sekeliling yang wajar dititikberatkan di samping ia membuahkan pahala kebaikan yang berlipat ganda.
Bahagian ketiga, diikuti dengan tajuk Pengajaran Buat Umat yang mana penulis hendak mendidik sikap seorang muslim daripada kelakuan yang tidak elok kepada yang lebih baik. Menjaga tutur kata daripada terlanjur mengucapkan sesuatu yang kurang beradab. Sikap mulia yang dimiliki oleh seseorang adalah sikap yang amat disayangi oleh Tuhan.
Bahagian keempat, Cemerlang Dunia Dan Akhirat bab terakhir yang disentuh oleh penulis menyuntik mengenai pemantapan sahsiah seorang muslim adalah datang daripada ilmu yang dituntut, berakhlak mulia, membudayakan amalan membaca, menghidupkan suasana harmoni bersama jiran tetangga, bersedekah dan hal-hal yang berkaitan.
Setiap pertuturan penulis ada kritikan-kritikan halus untuk menegur kepincangan tingkah laku segelintir umat Islam pada waktu kebelakangan ini. Apa yang diperjuangkan oleh penulis ada benarnya kerana tanpa benteng iman yang kuat seseorang boleh terjerumus ke lembah maksiat dan kemungkaran.
Sebagai seorang muslim, kita amat memerlukan satu kata-kata dorongan bagi mengukur kesilapan yang pernah kita lakukan secara sedar mahupun sebaliknya. Buku ini ialah ‘suara’ yang membantu memimpin segala perbuatan agar dapat melahirkan sifat takwa dan takut kepada Allah Taala.
Menarik sekali, apabila penulis mencantumkan kisah-kisah teladan yang berlaku pada zaman Nabi SAW dan sahabat untuk kita menghayati perjuangan mereka ini yang penuh inspirasi dan pelajaran sebagai motivasi diri yang semakin alpa dari hari ke hari.
Seperti biasa buku-buku keluaran penerbit ini, selalu memukau pembacaan kita kerana warna dan ilustrasi yang dipaparkan dalam setiap halaman cukup indah.
Akhirul kalam, buku ini disarankan untuk diterokai oleh semua pembaca yang mahu melintasi kehidupan ini berbekalkan iman bukan kejahilan. Semoga karya ini terus tumbuh memandu umat Islam kembali ke pangkal jalan dengan selamat.
Berminat untuk siarkan ulasan buku anda ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.
Jangan lupa untuk Like / Follow Konfess Buku di :
Facebook : Facebook.com/konfessbuku
Instagram : Instagram.com/konfessbuku
Twitter : Twitter.com/konfessbuku
#konfessbuku
#MalaysiaMembaca