Selamat Datang Ke Laman Web Konfess Buku
Ulasan Buku : Pulau Mas Kahwin

Ulasan Buku : Pulau Mas Kahwin

“Bukankah sejarah itu kisah orang mati sebagai panduan kepada orang hidup? Mereka pergi, namun cita-cita mereka tidak mati. Kitalah penerus cita-cita tokoh terdahulu.”

Travelog Inderasakti – Pulau Mas Kahwin – Jejak Sejarah Johor-Riau ditulis oleh Syed Azharul Asriq terbitan Jejak Tarbiah Publication. Yang menarik perhatian saya untuk membeli buku ini walaupun pada ketika itu telah habis duit seratus lebih membeli buku di Big Bad Wolf ialah, saya terbaca sinopsis buku ini di facebook bahawa dalam sejarah kita, ada seorang sultan menikahi seorang puteri yang maharnya ialah sebuah pulau. Oh, kerana itulah tajuk buku ini Pulau Mas Kahwin! Ia sesuatu yang belum saya pernah dengar, jadi saya terus menempahnya melalui penulis sendiri.

Pulau Mas Kahwin yang dimaksudkan ialah Pulau Penyengat yang dulunya sebahagian dari Tanah Melayu di bawah empayar Johor-Riau, tetapi sekarang ia milik Indonesia. Pulau inilah menjadi mahar kepada Raja Hamidah, puteri Raja Haji Fi Sabilillah oleh Sultan Mahmud Syah III sebagai isteri keempat. Berat tanggungjawab Raja Hamidah. Dahulu sejarahnya hebat, sekarang hanya perkampungan nelayan, malah sejarahnya turut biar dilupakan. Dalam lipatan sejarah yang panjang, pulau ini dianugerahkan sultan-sultan yang hebat berdaulat, sekarang sudah tiada lagi sultan di pulau ini.

 

Yang bertanda merah itu ialah Pulau Penyengat, Indonesia.

Pulau Penyengat. Kecil sahaja pulaunya tetapi mempunyai sejarah yang hebat.

187 muka surat dari buku ini menceritakan empat hari perjalanan penulis menjejak hikmat sejarah di Pulau Penyengat. Antara tinggalan bukti sejarah yang dilawati ialah makam-makam lama, tugu, tapak istana, tinggalan kubu dan masjid. Satu-satunya kebanggaan sejarah di pulau ini ialah Masjid Raya Sultan Riau yang sudah berusia 200 tahun dan masih digunakan hingga ke hari ini. Inilah tinggalan sejarah yang masih utuh, ia tinggalan sejarah bangsa bukan tinggalan penjajah! Masjid ini dibina oleh Yang Dipertuan Muda ke-7 Raja Abdul Rahman untuk rakyatnya supaya rakyatnya tidak lagi solat di kubur pada ketika itu. Gambar latar belakang kepada tulisan di ruangan atas itulah Masjid Raya Sultan Riau.

Peristiwa sejarah dalam buku ini digabung jalinkan dengan baik. Bahasanya juga mudah untuk difahami, berserta sisipan gambar-gambar tempat yang dilawati menjadikan buku ini buku cerita sejarah yang menarik. Ia sesuai dibaca oleh sesiapa sahaja yang mahu mengetahui serba sedikit tentang peristiwa sejarah negara bangsa yang dilupakan, yang tidak diceritakan dengan terperinci dalam buku teks Sejarah.

Di bahagian akhir buku, satu lagi kejutan buat saya iaitu tentang Kelab Rusydiah yang wujud di pulau ini. Saya tidak pernah mendengar tentangnya. Kelab ini ialah kelab untuk orang ilmuan Pulau Penyengat yang seterusnya menjadi gerakan politik menentang penjajahan Belanda melalui pemikiran dan gagasan idea. Syed Syeikh al-Hadi ialah antara tokoh yang lahir dari kelab ini. Terima kasih kepada penulis kerana meriwayatkan semula sejarah Pulau Penyengat untuk renungan generasi ini. Saya bersetuju dengan penulis bahawa, “… dalam usaha hendak memahami bangsa, haruslah kita mudik sungai sejarah  sehingga ke hulu. Apa yang berlaku, tidak boleh diubah lagi, namun kita masih boleh mengubah masa depan, dengan memperbaik masa sekarang.”

Buku ini boleh dapatkan dari Jejak Tarbiah atau penulisnya sendiri, Syed Azharul Asriq.

Semoga bermanfaat.


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca