Selamat Datang Ke Laman Web Konfess Buku
Ulasan Buku : Untuk Hari Ini
Nama buku: Untuk Hari Ini
Penulis: Zaharoh Fajar Nina
Muka surat: 264
Penerbit: Rimbunan Publishing House
Tahun terbit: 2021
Cetakan: Pertama
Masa telah memudahkan proses gerak kerja manusia ditunaikan mengikut waktu yang dijangkakan. Walau bagaimanapun, penggunaan masa yang tidak efektif boleh menyebabkan manusia sukar merancang, hidup terumbang-ambing dan masalah kucar-kacir. Penyediaan masa yang kurang sesuai juga boleh mengakibatkan seluruh pekerjaan berantakan.
Umat Islam dikurniakan masa bagi mengatur pengabdiannya kepada Allah SWT. Namun, jika dihitung berapa banyakkah waktu yang benar-benar dimanfaatkan untuk beramal soleh dan beribadah? Kemungkinan, lebih banyak dilaburkan dalam urusan duniawi yang tidak menjamin kemenangan di akhirat.
Judul buku Untuk Hari Ini karangan saudari Zaharoh Fajar Nina ialah buku yang menuntun pembaca memanfaatkan ruang waktu dan masa yang ada. Tema Untuk Hari Ini bertujuan mendorong kepada kita agar tidak melengah-lengahkan kebaikan yang hendak ditunaikan tanpa harus menunggu hari keesokannya.
Buku ini disusun oleh penulis dalam bentuk penceritaan dan motivasi. Berkongsi pengalaman sepanjang menjadi penuntut ilmu dan pendidik. Berbahagi rasa menghafal al-Quran, cerita dalam kelas bersama para pelajar, rajin menghadiri kuliah serta ujian-ujian kecil yang ditempuhi. Membaca gerak geri penulis menunjukkan bahawa beliau amat tekun memelihara masa mengerjakan sesuatu perkara yang berfaedah.
Dalam buah pengalaman penulis ini, ia disimpul mengikut kisah-kisah sesetengah individu yang menitipkan ibrah kepada penulis sendiri. Justeru itu, penulis mencoretkan kisah beliau bersama mereka yang sangat berkait rapat dengan masa untuk kita sama-sama menggali hikmah di sebalik kepentingan masa yang diperjuangkan oleh penulis.
Berdasarkan dialog atau perbualan penulis bersama mereka yang terpilih, ada sesuatu mesej tersembunyi untuk kita terokai lebih jauh lagi. Cara penulis memuhasabah dalam buku ini, menzahirkan lagi kasih sayang kepada sesama muslim betapa Islam ialah agama nasihat bukan agama kekerasan.
Karya ini cuba mengingatkan kita sebagai umat Islam terhadap satu surah pendek dalam al-Quran yang ada berbicara tentang masa. Surah Al-Asr ialah surah yang membahaskan perihal masa yang realitinya manusia sia-siakan. Hanya 3 potong ayat sahaja, namun impaknya besar jika kita mentadabburi maknanya secara berfikir.
Apa yang pasti, karya penulis ini telah mengetuk jasad kita dengan usaha menyedarkan masyarakat yang kini kian dihakis oleh kelalaian dan kealpaan. Antara poin-poin penting untuk kita telusuri daripada penulis sendiri iaitu,
Pertama, sesekali buku ini bagaikan tamparan kepada sekalian manusia yang kelihatan kurang menghargai detik-detik yang ada. Rugilah, sekiranya ia disi oleh perkara-perkara lagha sedangkan terdapat banyak lagi hal-hal yang mendatangkan pahala.
Kedua, penulis kelihatan lembut tapi bertegas ketika menegur segelintir sikap manusia yang tidak cakna terhadap anugerah masa berdasarkan situasi-situasi yang sedang berlaku di sekeliling.
Ketiga, masa ialah waktu yang tetap akan berjalan dan berubah. Bertukar hari dan bersilih ganti. Kita tidak akan mampu memutarkan masa mengikut rentak keinginan hati. Jika semalam, kita bergelumang dengan dosa-dosa hitam, hari ini ialah hari untuk ubah dan bertaubat kembali.
Keempat, manfaatkan setiap hari yang kita miliki dengan mengerjakan aktiviti ataupun hal-hal yang memperolehi kebaikan kepada diri sendiri, agama dan masyarakat.
Buku ini sangat bagus menjadi penasihat kepada kita yang sering mengabaikan masa dan mengajar kita agar bijak mempergunakan masa. Kejadian tertentu dalam buku ini menghubungkan kita sekali gus kepada pencipta masa, Allah SWT.
Usia muda akan di akhiri oleh usia tua. Selagi jantung masih berdetak, isilah kekosongan waktu dengan kebaikan tanpa menunda-nunda. Usah menunggu matahari terbit di hari esok, kerana hari ini adalah peluang bagi menikmati segala hal yang terindah. Belum pasti esok kita boleh menjamin menghirup udara segar.
Bacalah dengan kerendahan hati. Semoga bingkisan penulis mampu membuahkan teladan hakiki.
Tutur penulis dalam halaman hal 242,
“Masa tidak menanti kita,
ia akan terus berlalu pergi,
usia tidak menunggu kita,
yang hidup pastinya mati.”
Berminat untuk siarkan ulasan buku anda ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.
Jangan lupa untuk Like / Follow Konfess Buku di :
Facebook : Facebook.com/konfessbuku
Instagram : Instagram.com/konfessbuku
Twitter : Twitter.com/konfessbuku
#konfessbuku
#MalaysiaMembaca