Selamat Datang Ke Laman Web Konfess Buku
Ulasan Buku : 365 Tip Didik Gaya Nabi
Nama buku: 365 Tip Didik Anak Gaya Nabi
Penulis: Ustazah Isfadiah Mohd Dasuki
Muka surat: 208
Penerbit: PTS Publication
Tahun terbit: 2018
Cetakan: kedua
Kebelakangan ini, kita melihat dunia berada dalam genggaman manusia sehingga bab pengurusan anak-anak dipandang enteng kepentingannya dari segi akhirat. Apabila, anak-anak kerap didedahkan kepada habuan dunia, ia boleh mengakibatkan iman mereka tenggelam dan menjadi anak yang tidak mendengar kata.
Kegagalan dalam memikul amanah ini menyebabkan ibu bapa di hadapkan ke mahkamah Allah dan dipersoalkan seluruh kecuaian kerana membiarkan anak-anak tanpa asuhan yang benar.
Pendidikan anak bermula daripada kedua ibu bapa yang mencoraknya. Bagaimana mahu memulakannya? Sudah tentu menggali lebih banyak ilmu berkaitan keibubapaan dan pendidikan kanak-kanak.
Membelek buku yang dikarang oleh Ustazah Isfadiah Mohd Dasuki sangatlah baik dalam membantu ibu bapa mengendalikan anak-anak di rumah.
Buku ini merupakan buku yang menyediakan tip-tip asas pendidikan anak di rumah mengikut gaya junjungan Nabi kita yakni Rasulullah SAW. Dalam buku ini menghimpunkan 365 tip yang boleh diamalkan setiap hari yang mana ibu bapa boleh mengambil satu tip untuk satu hari diajarkan kepada anak-anak.
Bab yang terkandung dalam buku ini sebanyak 140 pedoman yang boleh diterapkan keseluruhannya. Keistimewaan karya ini didatangkan dalam bentuk yang cukup ringkas dan mudah difahami pengurusannya. Tambahan lagi, terdapat sokongan daripada dalil al-Quran, hadis dan pendapat ulama yang membincangkan topik-topik berkenaan yang sangat sesuai buat ibu bapa yang bertindak sebagai pembimbing.
Apa yang lebih menarik ialah terdapat cadangan-cadangan aktiviti yang dimuatkan oleh penulis bagi melatih kemahiran anak-anak yang kian membesar. Ini juga sangat membantu anak-anak supaya aktif mengenal pasti kebolehupayaan dalam bermain sesuatu aktiviti yang bermanfaat.
Kelainan yang didatangkan dalam buku ini sedikit sebanyak mengasah kebolehan ibu bapa sendiri memberi asas maklumat melalui dapatan ilmu pendidikan kanak-kanak. Ini bukan sahaja mengajak ibu bapa pergi jauh meneroka, tetapi menjadi pempengaruh yang baik kepada anak-anak.
Buku ini layak menjadi pilihan buat ibu bapa yang masih mencari rujukan khusus yang menolong ibu bapa sendiri mengamalkan ilmu-ilmu praktikal kerana,
1. Ilmu pendidikan yang sebenarnya adalah datang daripada ajaran murni Islam. Dalam Islam sendiri telah memuatkan petunjuk bagaimana hendak mengasuh anak-anak yang masih kecil sehinggalah menginjak ke alam dewasa. Dalam buku inilah, pembaca menemukan mutiara-mutiara ilmu tersebut.
2. Asas kepada pembentukan jati diri seorang anak adalah lahir daripada nilai-nilai tauhid yang diajarkan oleh orang tuanya. Oleh hal yang demikian, ibu bapa berperanan membekalkan anak-anak dengan ilmu agama sebagai pertahanan agar tidak tumbuh dalam suasana yang merosakkan.
3. Buku ini juga, menambahkan input-input yang terbaik apabila dibawakan pula mesej-mesej dalam al-Quran dan hadis yang ada memetik perihal kehidupan para orang-orang soleh yang hebat dalam mendidik. Semestinya, kisah mereka ini memberi pedoman yang berkekalan sehingga ke akhir zaman.
4. Terakhir, karya ini dihadirkan bonus berkaitan cara menangani sikap anak yang ketagih terhadap gadjet yang sememangnya alat ini menjadi satu ‘racun’ yang merbahaya sekiranya ibu bapa tidak bijak dalam mengendalikannya.
Dengan adanya buku yang bertindak sebagai panduan, ibu bapa tidak perlu bimbang mencari pengasuh bagi menjaga anak-anak. Tetapi, tip yang cukup mudah ini boleh melatih kita sendiri menjaga anak masing-masing disertai info-info yang menarik.
Di samping itu, karya ini menolong menguasai kemahiran yang sepatutnya dilaksanakan oleh ibu bapa seperti bersikap adil dan memberi pengajaran tanpa menghukum secara berlebih-lebihan.
Pengisian dalam buku ini juga, menitipkan nasihat-nasihat yang baik untuk kita menjadi ibu bapa yang diredai oleh Allah. Jadi, usahakan membaca buku-buku seperti ini bagi membantu perkembangan si manja dan memimpin kita menjadi pemimpin yang bertanggungjawab dan berjiwa penyayang.
Berminat untuk siarkan ulasan buku anda ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.
Jangan lupa untuk Like / Follow Konfess Buku di :
Facebook : Facebook.com/konfessbuku
Instagram : Instagram.com/konfessbuku
Twitter : Twitter.com/konfessbuku
#konfessbuku
#MalaysiaMembaca