Ulasan Buku : Ummahat Al-Mu’minin

Nama buku: Ummahat Al-Mu’minin

Penulis: Dr. Muhammad Rozaimi Ramle

Muka surat: 208

Penerbit: The Sunnah Press

Tahun terbit: 2021

Cetakan: Pertama

Kalau anda mencari buku yang sesuai untuk menggali keaslian kisah isteri-isteri Nabi Muhammad SAW, buku berjudul Ummahat Al-Mu’minin, tulisan Dr. Muhammad Rozaimi Ramle ialah bahan bacaan yang disarankan kepada semua pembaca.

Buku ini memuatkan kisah 11 orang isteri Nabi Muhammad SAW yang digarap cukup sederhana dan tidak terlalu padat. Malahan, sesuai dibaca bagi orang-orang awam yang kurang gemar membaca kitab-kitab yang membahaskan kisah para isteri Nabi yang terlalu tebal.

Antara 11 orang isteri Nabi SAW yang disebutkan biografinya ialah Khadijah binti Khuwailid, Saudah binti Zam’ah, A’ishah binti Abu Bakr, Hafsah binti Umar al-Khattab, Zaynab binti Khuzaymah, Ummu Salamah, Zaynab binti Jahsh, Juwayriah binti Al-Harith, Ummu Habibah Ramlah, Safiyyah binti Huyay dan Maymunah binti Al-Harith.

Bermula daripada nama dan nasab keturunan yang disebutkan. Kemudian, diikuti kelebihan bagi setiap isteri-isteri baginda. Yang mana, masing-masing isteri Rasulullah dikurniakan keistimewaan yang berlainan.

Contohnya, seperti Aishah binti Abi Bakar, beliau merupakan isteri baginda yang sangat faqih di usia muda. Kepakarannya telah membuatkan ramai para sahabat datang meminta fatwa selepas kewafatan baginda. Zaynab binti Jahsh pula sangat dikenali keluhuran keperibadiannya sehinggakan dia menjadi wanita yang rajin bersedekah.

Kisah hidup para ummahat al-mukminin dalam buku ini sebenarnya turut menjadi perdebatan dalam kalangan ulama. Termasuklah dari segi tarikh kewafatan, perkahwinan dan nama yang menjadi perbezaan pandangan. Contohnya seperti nama sebenar Ummu Habibah binti Abi Sufyan turut mendapat perhatian alim ulama.

Walaupun buku ini berkisarkan mengenai sejarah hidup isteri-isteri Nabi SAW, ada ketikanya penulis mengulas lebih lanjut mengenai hadis-hadis yang dimasukkan dalam buku ini. Ini membawa kita mendalami ilmu hadis secara asas di samping memastikan bahawa kisah mereka ini adalah benar dan bukan dinukil daripada kisah palsu dan dusta.

Membaca kisah ummahat al-mukminin adalah kewajipan kita. Lebih-lebih lagi buat wanita muslimah, adalah satu kebaikan untuk membacanya kerana mereka adalah wanita terulung untuk kita mencontohi keperibadian, perjuangan, adab dan tingkah laku dalam keadaan Islam sedang berkembang perlahan-lahan.

Untuk itu buku ini elok menjadi rujukan buat seluruh umat Islam kerana,

1. Karya ini sangat ringan dan tidak berat meskipun ia buku agama dan sesuai oleh semua lapisan umur kerana penggunaan bahasa yang mudah untuk difahami sebagai pembaca.

2. Dalam kisah ibu-ibu kaum muslim ini banyak perkara yang boleh kita teladani sebagai anak, isteri, ibu dan wanita yang mempunyai fungsi dalam masyarakat.

3. Dengan menghayati setiap jalan cerita, kita dapat menyaksikan bahawa mereka ialah wanita yang berjiwa tabah, cekal dan penyabar. Oleh sebab itu, Nabi SAW amat menyayangi keseluruhan isteri-isteri baginda SAW.

4. Buku ini membekalkan sekali nota kaki dan rujukan bibliografi sebagai bahan rujukan kita sekiranya mahu menyemak maklumat berkaitan sejarah kehidupan isteri-isteri Nabi SAW.

Kesimpulan ringkas, buku ini patut menjadi salah satu buku yang perlu berada dalam rak kita di rumah. Selamat membaca.

“..mengapa para isteri baginda digelar sebagai ummahat al-mu’minin? Hal ini disebabkan ummahat al-mu’minin mempunyai hukum yang khusus, iaitu apabila baginda menikahi dan “bersama” dengan seseorang wanita itu dan kemudian baginda wafat, maka wanita tersebut tidak boleh dinikahi oleh mana-mana lelaki lain selepas baginda wafat. Isteri Nabi merupakan isteri baginda buat selama-lamanya hingga ke Syurga.” Mukaddimmah penulis, hal. 6.

 


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Syuhara Suriati
Syuhara Suriati

Penulis artikel, antologi dan anekdot.🌷Isteri suri membaca dan menulis 🌷

Articles: 67