Ulasan Buku : Seni Bercakap-cakap & Berbual-bual

Nama buku: Seni Bercakap-cakap & Berbual-bual
Penulis: Abdullah Hassan & Ainon Mohd
Muka surat: 384
Penerbit: PTS
Tahun terbit: 2019
Cetakan: Kedua

Pernahkah maksud anda sering disalah ertikan ketika sedang bercakap-cakap? Bagaimana respon mereka? Adakah mereka menunjukkan tindak balas yang kurang menyenangkan dek pertuturan kita yang seolah-olah lantang ataupun lembab lalu menyebabkan mereka mulai menjauhkan diri daripada kita?

Kerana sikap dan lisan kita, barangkali kita mulai dipinggirkan. Tidak lagi disanjung kerana perbualan kita yang dilihat menimbulkan stigma negatif kepada para mendengar, terutama sekali kepada rakan-rakan.

Disalah fahami, ia selalunya berlaku hatta di era globalisasi ini kerana tidak semua mampu menangkap dengan betul terhadap apa yang sedang kita ingin cuba sampaikan.

Walau bagaimanapun, adalah penting bagi setiap individu menjaga pertuturan kerana ia membawa kepada imej yang membolehkan orang di persekitaran selesa dan menghormati kerana tutur kata yang penuh kesopanan dan bebas daripada sindiran.

Oleh sebab itu, menjadi satu kebaikan besar bagi menjaga gaya bahasa setiap kali ingin berbicara kerana ia adalah seni yang wajib dikuasai supaya manusia memilih untuk mendekati kita.

Antara buku yang sangat tepat untuk mendidik lisan ketika sedang berinteraksi sesama manusia ialah buku Seni Bercakap-cakap & Berbual-bual. Gabungan dua penulis yang amat diyakini ketinggian ilmunya, Abdullah Hassan dan Puan Ainon Mahmud akan memandu pembaca menjadi individu yang amat menarik dan disukai orang ramai dari segi komunikasi yang cekap.

Sebanyak 55 bab dikemukakan secara jelas bagi membantu teknik percakapan yang berkesan. Dalam buku ini memuatkan banyak panduan dan tip untuk melatih kemahiran bercakap. Sebahagiannya, sangat dipengaruhi oleh mimik muka, bahasa sikap, bahasa suara, bahasa sentuhan dan penampilan oleh seseorang.

Menurut kajian yang ditampilkan oleh para penulis, seseorang boleh menilai personaliti orang lain melalui gaya percakapan mahupun pergerakkan oleh anggota badan. Sebagai contoh, gerak geri badan ataupun diistilahkan dengan makna ‘kinesik’ ini, membolehkan kita membaca pergerakan bahasa badan seseorang. Dengan ini, kita dapat mengubah pola bicara jikalau terdapat perubahan yang tidak memberikan kesan yang positif.

Hal ini kerana, untuk memastikan perbualan kita tidak menimbulkan kesan yang negatif ataupun kurang digemari sehingga mereka terpaksa melarikan diri dan tidak lagi menaruh kepercayaan kepada kita.

Dalam sesi pembacaan ini juga, perbualan manusia disebutkan sangat dipengaruhi besar oleh emosi yang dibiaskan. Tidak hairanlah jikalau karya ini turut membedah kelainan emosi wanita dan lelaki kerana dalam soal perbualan juga selalunya wanita juara berbanding lelaki yang lebih memilih untuk kurang bercakap.

Pada separuh bab yang lain juga, penulis banyak menyentuh kepentingan komunikasi dalam rumah tangga. Keintiman dalam sesuatu hubungan itu sebenarnya sangat berkait rapat dengan cara pertuturan kita kepada pasangan. Mungkin inilah, sebab mengapa hal ini turut diselitkan sebagai topik perbincangan kerana banyak sekali perkahwinan retak dan berakhir dengan penceraian disebabkan tiada komunikasi sihat antara kedua belah pihak.

Masa yang agak terhad kerana kekangan kerja dan sebagainya, boleh menjadi punca kepada sunyinya rumah tangga yang didiami. Maka, layaklah bagi suami dan isteri mendalami karakter perangai pasangan masing-masing sekiranya tiba-tiba keadaan rumah berubah menjadi tegang.

Berpuluh-puluh rujukan digunakan dalam buku ini bagi menolong memperbaiki perbualan dan percakapan kita dengan lebih baik. Justeru ini, buku ini elok dipelajari panduannya kerana,

Tidak semua orang, kita perlu menggunakan teknik percakapan yang serupa. Adakah waktunya kita perlu bercakap, ada waktunya kita berdiam untuk menjaga keamanan hati kerana ini juga termasuk tanda menghormati antara satu sama lain.

Untuk mengetahui seseorang itu sangat sensitif, bijak dalam bercampur gaul, pembersih, lebih mementingkan diri sendiri ataupun faktor-faktor yang menyebabkan seseorang itu juga diminati berbanding orang lain ada didedahkan rahsianya oleh penulis.

Jangan juga menggunakan ayat-ayat yang kurang sopan ataupun buruk yang boleh meruntuhkan peribadi diri sendiri. Jika sedang bercakap dengan orang yang lebih tua, ada cara halusnya. Jika sedang menurunkan arahan kepada para pekerja misalnya, juga ada tatatertibnya. Bahkan banyak lagi contoh-contoh yang diutarakan bagi memastikan layanan kita kepada manusia menyeronokkan.

Secara kesimpulannya, buku ini disarankan kepada semua golongan baik lelaki ataupun perempuan kerana anggapan ataupun cara fikir manusia kepada kita sangat berkait rapat dengan pembicaraan kita.

Pernyataan dalam halaman 4,

“Hasil kajian-kajian yang dibuat oleh pakar-pakar psikologi dan komunikasi menunjukkan orang-orang yang pandai berkomunikasi adalah orang-orang yang dipandang sebagai orang-orang yang memiliki daya tarikan tinggi. Oleh yang demikian, mereka disukai oleh orang-orang yang berinteraksi dengan mereka.”

Selamat membaca.

 


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Syuhara Suriati
Syuhara Suriati

Penulis artikel, antologi dan anekdot.🌷Isteri suri membaca dan menulis 🌷

Articles: 67