Ulasan Buku : Perangai Bergantung Pada Diri Sendiri

Tajuk: Perangai Bergantung Pada Diri Sendiri
Penulis: Za’ba
Penerbit: DBP
Halaman: 142 muka surat

Kekuatan seseorang itu terletak pada usaha diri sendiri tanpa mengharapkan orang lain bagi melakukan sesuatu dan bersedia menanggung segala baik buruknya apa-apa yang dikerjakannya itu. Sifir mudahnya; akal dan kekuatan yang diberi oleh Allah itu dipergunakan sepenuhnya dalam melakukan tiap-tiap perkara kecuali perkara yang memerlukan pertolongan orang lain.

Begitulah juga dalam hal agama, penulis menyeru orang Melayu (Islam) untuk berusaha sendiri sedaya mungkin dalam melakukan ibadat dan beramal tanpa bergantung pada doa orang lain sahaja, berharap pada sedekah tahlil setelah kita mati dan sebagainya. Jikalau kita sendiri tidak berusaha melakukan ibadat tersebut, melakukan kejahatan seperti iri hati, mungkir janji, mengumpat, tidak membayar hutang dan sebagainya, lalu mengharapkan doa orang alim ternyatalah teruk sungguh hidup kita.

Apatalah lagi mengharapkan syafaat Nabi s.a.w semata-mata untuk masuk ke syurga bukan dengan amal sendiri seolah-olah umat Nabi s.a.w bangsat belaka, tidak ada amal dan kelayakan sendiri.

Tambahan lagi, penulis mengkritik kebanyakan orang Melayu bertaklid buta dalam beragama. Malas berfikir, malas menuntut ilmu (membaca) sehinggakan mengikut dan menerima apa sahaja tanpa soal jawab dan mengerti hujung pangkal kecualilah jika kita jahil pekat tidak ada barang sedikit ilmu dan fikiran sendiri. Berfikir itu bukanlah bermaksud sehingga berselisih pada perkara yang asas, tetapi pada perkara yang sentiasa memerlukan perubahan, maka daya fikir inilah yang diperlukan. Sebagai contoh penulis meletakkan parti politik yang mempunyai ideologi dan fahaman tersendiri. Mereka berselisih hanya pada fahaman dan jalan, tetapi asas dan tujuannya satu iaitu hendak memberi kebajikan bagi rakyat dan negara.

Walaupun buku ini ditulis (sekitar 1974) untuk dirinya sendiri sementelah kandungannya sukar diterima orang Melayu ketika itu sebelum ditemui penerbit selepas kematiannya, namun idea yang dibawa oleh Pendeta Za’ba sangatlah meninggalkan kesan buat pembaca. Kritikan terhadap orang Melayu ketika itu bukanlah dilempar membuta tuli, sebaliknya ia adalah pemerhatian beliau ketika itu yang menyaksikan orang Melayu malas befikir, terlalu bergantung pada orang lain dan sebagainya. Tetapi itu bukanlah bermakna orang Melayu dewasa ini (tahun 2020) seperti sebelumnya, kerana banyak perubahan dan daya usaha yang telah dilakukan demi mencapai kemajuan masing-masing.


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Muhammad Syahiran Ramli
Muhammad Syahiran Ramli

Pecandu bauan buku.

Articles: 4