Selamat Datang Ke Laman Web Konfess Buku
Ulasan Buku : Pemuda Yang Dirindukan Syurga
“Pemuda hebat, dunia melamarnya, syurga merinduinya.”
Kalau perasan, tajuk buku ni sendiri dah terbalik. Sepatutnya pemuda yang merindui syurga. Bukannya syurga yang merindui pemuda. Analoginya, raja yang merindui istana tetapi tajuk buku ini umpama istana yang merindui raja. Pelik, bukan?
Itulah hakikat bahawa syurga pun merindui pemuda. Pemuda sahajakah? Bagaimana pula dengan pemudi? “Ini tidak adil!” (Dengan nada suara Abdul Wahub, filem 3 Abdul)
Sebelum mengulas lebih panjang, sebelum puak feminis mula menyerang, sebelum ramai yang tercengang, baiklah saya terangkan kenapa penulis menggunakan istilah pemuda.
Bahasa Arab penuh dengan balaghahnya atau gaya bahasa yang unik. Istilah pemuda itu bukan sahaja untuk kaum adam tetapi juga melingkungi kaum hawa. Samalah juga dengan Bahasa Melayu, apabila kita menggunakan istilah mahasiswa, ia juga merangkumi mahasiswi.
Secara ringkasnya, buku ni menonjolkan bagaimana para sahabat Rasulullah menyebarkan Islam di tengah-tengah masyarakat yang cukup-cukup jahil. Dengan Islamlah, masyarakat Arab berubah menjadi sebaik-baik tamadun sehingga pengaruhnya dihormati kawan dan disegani lawan. Menariknya, Islam tersebar luas dengan semangat orang muda yang berjuang bermati-matian demi menyebarkan agama Islam. Kata-kata pujangga Arab ada berbunyi, “Semangat anak muda boleh meruntuhkan gunung.” Dalam diri mereka hanya dua, hidup mulia dengan Islam atau syahid mendapat syurga.
Buku ini terbahagi kepada beberapa bab. Menariknya, penyusunan bab ini sangat berkait rapat antara satu sama lain. Bermula dengan bagaimana ingin menyuburkan iman dalam diri sehingga berdakwah kepada orang lain.
Dalam kita menempuhi hari-hari mendatang, iman kita sebagai manusia biasa ada pasang surutnya. Kadangkala kita tersungkur melakukan dosa. Penulis menyarankan kepada semua pemuda agar tidak menangguhkan taubat walaupun masih di usia muda kerana dua sebab, kemungkinan umur kita tidak sampai tua dan andai usia kita panjang, dosa itu sudah berakar di hati yang menyebabkan kita tak mahu bertaubat sehinggalah nyawa ditarik malaikat.
Akhirul kalam, pemuda-pemuda hari ini teladanilah pemuda-pemuda generasi awal Islam dahulu. Barulah syurga akan merindui anda untuk menjadi penghuninya.
Berminat untuk siarkan ulasan buku anda ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.
Jangan lupa untuk Like / Follow Konfess Buku di :
Facebook : Facebook.com/konfessbuku
Instagram : Instagram.com/konfessbuku
Twitter : Twitter.com/konfessbuku
#konfessbuku
#MalaysiaMembaca