Selamat Datang Ke Laman Web Konfess Buku
Ulasan Buku : Nikmat Taman Syurga
Konfess Buku
“Walaupun ramai manusia berhimpun Di Padang Mahsyar dengan tidak terkira jumlahnya, namun mereka bagaikan tidak berteman kerana masing-masing dengan urusan yang hendak diselesaikan. Hanya mereka yang membanyakkan zikir لا إله إلا الله dengan hati yang penuh ikhlas semasa hidup, akan memperoleh fadilat yang dijanjikan Allah SWT iaitu tidak kesunyian dan dukacita pada hari Mahsyar kelak”.
“Orang Mukmin tidak mendedahkan rahsia, sama ada ketika berkawan baik atau ketika bersengketa atau berselisih faham. Membuka rahsia seseorang walaupun setelah berbalah dengannya, menjadi bukti bahawa hakikat peribadi yang berkenaan terlalu hodoh dan kotor”.
– Nikmat Taman Syurga
Pengenalan Buku
Buku Nikmat Taman Syurga antara buku pertama yang berjaya memupuk rasa cinta pada bau dan isi buku pada diri saya. Buku ini hasil tulisan Allahyarham Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat. Sesiapa yang terbiasa dengan bahan ceramah beliau pasti mengenali gaya penyampaian Tuan Guru yang tidak meleret dan banyak menggunakan ilmu mantik di dalam menghuraikan isi-isi ceramah agar mudah diterima oleh semua peringkat umur. Buku tulisan Allahyarham Tuan Guru yang mengandungi 472 muka surat dan di dalamnya terdapat pecahan tajuk sebanyak 114 tajuk terbitan Kemilau Publika. Di setiap tajuk yang dipilih umpama naskah nasihat daripada Tok Guru kepada kita untuk menjadikan kita insan yang berilmu dan beramal dengan ilmuNya. Sehinggakan pada akhirnya, saya yakin dan percaya kita tidak hanya menghabiskan buku ini sehingga di helaian yang terakhir semata, melainkan kita juga berusaha untuk beramal dengan ilmuNya demi meraih Cinta dan Nikmat Taman Syurga!
Isi dan Ulasan Buku
Sajian pertama buku ini seputar kisah kita dan Al-Quran, interaksi dan adab kita dengan Kitabullah dan bagaimana mampu Al-Quran bisa menjadi syafaat untuk kita di akhirat sana. Kemudian diteruskan dengan tajuk-tajuk yang berkaitan dengan zikrullah, di mana zikir ini mampu untuk membantu memberatkan timbangan kita di Mahsyar di sertakan dengan kisah-kisah, fadilat berserta dalil penguat amalan kita diterima Allah. Benarlah, hanya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang.
Dibeberapa bab, dinyatakan waktu afdal untuk berdoa agar waktu-waktu mustajab ini tidak kita abaikan bahkan menghargai setiap detik untuk beramal dengan ilmuNya. Susunan isi yang digarap indah menimbulkan rasa keterujaan kita untuk beramal bersama-sama adab ketika berdoa. Antara waktu mustajab doa adalah di sebahagian malam sepertimana dinyatakan di dalam Al-Quran dan disebutkan perangai orang Mukmin adalah yang sedikit tidurnya di waktu malam dan di penghujung malam mereka bangun untuk memohon ampun kepada Allah. Perumpamaan orang yang bangun pada waktu malam berdoa dan beristighfar kepada Allah seperti orang yang sedang bercakap dengan kekasihnya, berasa asyik walupun tidak dapat menatapnya. Subhanallah, terasa lazat di hati apabila dapat mencurahkan segala hal kepada Nya, kekasih kita.
Dua kunci utama yang perlu kita jaga untuk menjamin kebahagian di dunia dan akhirat adalah hubungan kita dengan Allah dan hubungan kita dengan manusia. Buku ini benar-benar buat saya jatuh cinta. Susunan tajuk yang bermula dengan makanan jiwa dan ubat segala penyakit; Al Quran kemudian disajikan dengan hidangan ubat penenang resah dunia; Zikrullah dan kunci mustajab segala doa; Qiamullail. Tuan Guru juga menyentuh bab-bab yang berkaitan dengan perhubungan dengan manusia. Hakikatnya hidup kita di dunia ini umpama pentas lakonan yang di setiap episod kehidupan watak dan wajah manusia silih berganti berbeza hati dan budi. Namun yang demikian susunan tajuk mungkin lebih cantik dan kemas jika tajuk-tajuk kecil ini boleh dikategorikan di beberapa tajuk utama.
Di dalam buku ini Tuan Guru mengajak kita untuk cuba menghiasi diri kita dengan sifat mahmudah berlandaskan sunnah dari sekecil-kecil perkara sehingga yang paling utama, mentauhidkan Allah Azza Wajalla. Lantas, peranan kita sebagai hamba, sahabat dan ahli masyarakat perlulah mengikut aturan syariat kerana akhir kita bukan berhenti di dunia bahkan yang kekal abadi di akhirat nanti. Terdapat beberapa perkara yang dianggap biasa tetapi di ambil berat oleh agama contohnya, adab dan tatacara menghidang makanan kepada tetamu, sebelum tetamu habis makan jangan dikemaskan sajian dan banyak lagi.
Disertakan juga bab-bab yang menyentuh isu muamalat harian yang berkaitan dengan jual beli, hukum berkenaan dengan sorok barang keperluan pengguna serta berkaitan dengan harta haram dan wajib untuk kita bertaubat dan mengasingkannya. Dan di helaian terakhir disebutkan kepentingan menjaga silaturrahim sesama kita. Dakwah santai biar sampai karya Tuan Guru memberi kesan positif dalam diri saya untuk dikongsi bersama.
Akhirnya, kalam nasihat indah ini harus dimiliki oleh setiap daripada kita. Buku Nikmat Taman Syurga buat kita yakin dan percaya, bahawa jika ingin merasa nikmat di Syurga kita terlebih dahulu perlu berusaha membayar dengan amalan kita di dunia kerana Syurga itu bukan percuma! Rasailah nikmat ini bersama, sebahagian daripada satu rahmat Allah kepada kita di dunia. 99 lagi tersimpan di sisiNya.
Selamat memiliki dan membaca buku ini!
Wan Aina Mardhiyah bt Wan Abdul Aziz
26 September 2018
Kota Bharu, Kelantan
Blog : https://bertemankancinta.blogspot.com/
Berminat untuk siarkan ulasan buku anda ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.
Jangan lupa untuk Like / Follow Konfess Buku di :
Facebook : Facebook.com/konfessbuku
Instagram : Instagram.com/konfessbuku
Twitter : Twitter.com/konfessbuku
#konfessbuku
#MalaysiaMembaca