Selamat Datang Ke Laman Web Konfess Buku
Ulasan Buku : Nasi Lemak Kacang Lebih
“Insan hebat bahagia dalam hidup kerana mereka mempunyai matlamat. Tanpa matlamat yang jelas, anda hanya melalui hidup seperti biasa sahaja, sekadar menghabiskan waktu, sampai masanya, mati.”
Suka saya berkongsi dengan semua pembaca sebuah karya yang sangat bagus menurut pandangan saya, secara jujurnya genre buku ini bukanlah genre pilihan bacaan saya. Tetapi entah mengapa tajuk buku ini menarik perhatian saya ketika melihatnya buat pertama kali. Dan selepas membaca sinopsis buku ini saya berfikir perlu untuk saya miliki nashkah ini!
“Mulakan langkah anda satu per satu. Perjalanan beribu batu bermula dengan langkah satu. Si anak kecil belajar berjalan bukan dengan berjalan, apatah lagi berlari tetapi bertatih. Pilihlah satu dan amalkan sehingga berjaya.
Dalam anda berusaha meningkatkan kualiti tabiat diri, mungkin anda juga akan menemui kegagalan. Ia perkara biasa. Jangan bimbang kalau ia berlaku kepada anda. Kegagalan adalah petunjuk bahawa anda sedang berusaha. Teruskan.
Kejayaan bukanlah bermakna anda tidak pernah gagal. Tetapi, kesungguhan anda mendepani kegagalanlah yang akan menjadikan anda berjaya. Lebih berani anda menghadapi kegagalan, lebih dekat anda dengan kejayaan. Anda lebih menghargai manis jika pernah merasai pahit.”
Sebuah buku motivasi yang sangat bermanfaat, tidak rugi bahkan berbaloi-baloi “nilai” didalamnya! Penulis mendedahkan beberape rahsia penting untuk menjadi insan yang berjaya dalam membina tahap percaya diri yang tinggi. Sedikit saya kongsikan tajuk-tajuk yang menarik dalam buku ini adalah :
1) Seronoklah menjadi diri sendiri
2) Apa ada dengan nama
3) Pi mai pi mai tang tu
4) Saya bukan punat lif
5) Talian hayat 60 inchi
6) Name tag halimunan
7) Jadilah khalifah dalam kerja
8) Mengapa kura-kura menang?
Ini adalah tajuk yang saya baca berulang-ulang kerana bagi saya mesej yang disampaikan penulis sangat mendalam dan bermakna buat diri saya, rasanya naskhah ini akan menjadi salah satu koleksi kekal dalam rak buku saya! Ianya benar-benar seperti teman yang hadir ketika diperlukan.
Buku ini terbitan Mustread Sdn Bhd dengan harga asal rm22 untuk semenanjung dan rm25 untuk sabah dan sarawak tetapi pihak terbitan bermurah hati dengan membuat promosi di aplikasi shoppe serendah rm2 sahaja dapatkan sementara stok masih ada!
Biodata ringkas penulis
Nama sebenar penulis adalah Muhammad Khairi Fuad bin Haji Che Ab.Razak atau lebih dikenali dengan Che E. Berasal dari Sandakan, Sabah. Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan mendapat pendidikan menengah di Sekolah Menengah Agama Kota Kinabalu (SMAKK), Sabah.
Merupakan perunding motivasi berpengalaman di AsasInsan Resources & Training, Bangi iaitu sebuah syarikat perundingan latihan motivasi dan kaunseling yang diasaskannya pada tahun 2004. Beliau juga pernah bertugas sebagai peguam bela dan peguam cara, peguam syarie, eksekutif undang-undang dan tutor sambilan.
Tulisan-tulisan kritis beliau juga pernah tersiar di dalam akhbar dan majalah seperti Utusan Malaysia, Berita Harian, Majalah Al Islam, dan Majalah I. Beliau juga menulis dalam blog klinikmotivasi.blogspot.com.
Berminat untuk siarkan ulasan buku anda ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.
Jangan lupa untuk Like / Follow Konfess Buku di :
Facebook : Facebook.com/konfessbuku
Instagram : Instagram.com/konfessbuku
Twitter : Twitter.com/konfessbuku
#konfessbuku
#MalaysiaMembaca