Ulasan Buku : Nasehat Ulama untuk Penguasa

Buku bertajuk “Nasehat Ulama untuk Penguasa” merupakan sebuah buku terbitan Pustaka Thariqul Izzah sangat menarik untuk dibaca. Judul asal buku ini adalah Al-Islam Baina Al-ulama wa Al- Hukkam yang ditulis oleh Syeikh Abdul Aziz Al-Badri tetapi telah diterjemah ke Bahasa Indonesia oleh Abu Fuad. Buku ini mengandungi 353 halaman bercetak. Melalui hasil pembacaan pengulas, buku ini menjadikan para penguasa (pemerintah) sebagai mad’u nya yang perlu selalu dinasihati agar tidak menyimpang daripada landasan Islam. Idea buku ini terhasil tatkala penulis masih dipenjarakan kerana menyatakan perkara yang benar dan menyampaikan tentang Islam. Sungguh berat ujian mereka yang menyatakan kebenaran, apatah lagi dihadapan pemimpin yang zalim. Bagaimana pula dengan kita? Bersediakah menghadapi ujian dalam dakwah?

Ulama dan ahli ilmuan laksana bulan yang menerangi gelapnya malam tatkala manusia dilanda kejahilan. Buku “Nasehat Ulama untuk Penguasa” ini adalah buku yang menjadi uslub dakwah dalam memastikan Islam dapat disampaikan dengan pelbagai cara. Terdapat lebih 20 subtopik yang ditulis penulis dalam menyampaikan ideanya dan memahamkan umat tentang Islam. Di antaranya merangkumi keadaan pemerintah di zaman kejayaan Islam, kedudukan ulama, ayat hukum berkaitan pemerintah, ulama-ulama yang menasihati pemerintah, ulama yang mengkritik pemerintah mahupun ujian yang dihadapi ulama tatkala menasihati pemerintah yang zalim. Buku ini sangat sesuai menjadi motivasi bagi para pendakwah dalam menjalani kehidupan sebagai dai’. Kesabaran dan kebijaksanaan ulama dalam menasihati pemerintah yang zalim bukti kecintaan mereka kepada Islam lebih daripada segalanya.

Sejarah kejayaan Islam telah membuktikan bahawa keamanan hanya tercapai di bawah pemerintahan seorang yang adil. Namun, pemerintah yang silih berganti semakin menampakkan ketamakan pada kekuasaan dan tidak lagi mahu menerapkan Islam. Setelah kewafatan rasulullah dan para sahabat yang dekat rasulullah, pelbagai kerosakan mula timbul dalam kalangan pemerintah. Meskipun kerosakan semakin berleluasa dalam kalangan pemerintah, ulama yang menjadi pewaris nabi dalam menyampaikan kebenaran tidak berdiam diri melihat kerosakan yang diciptakan manusia. Para ulama memahami dengan jelas akan hadis nabi yang bermaksud, “Tolonglah saudaramu yang zalim dan terzalimi, kami bertanya “Wahai rasulullah, kami boleh menolong orang yang teraniaya tetapi bagaimana pula kami menolong orang yang zalim”? Nabi berkata “Engkau mencegahnya daripada perbuatan zalim itulah bentuk pertolongan baginya”.

Penulis juga menukilkan tentang kisah-kisah para pemerintah yang zalim seperti pada akhir pemerintahan al-Makmun (218 H) yang memaksa para ulama untuk menerima pandangan bahawa al-quran adalah makhluk hingga ada ulama yang syahid kerana keengganan mereka menerima apa yang dinyatakan oleh al-Makmun bersama pengikutnya yang lain. Abu Hanifah juga tidak terkecuali menerima ujian daripada pemerintah Abu Ja’far al-Mansur. Ketegasan Abu Hanifah dalam mempertahankan fatwanya tidak disukai oleh pemerintah. Maka, pelbagai cara dilakukan bagi mendesaknya. Di antaranya adalah diangkat menjadi ketua qadi dalam negara dengan niat agar Abu Hanifah mengikuti kehendak pemerintah tetapi beliau menolak. Detik inilah yang menjadi alasan Abu Ja’far al-Mansur untuk menghukumnya dengan lebih kejam lagi.

Selain itu, turut dibawakan kisah Abdul Malik bin Marwan yang jelas mahu mendekati seorang tokoh tabi’in Sa’id bin Musayyab agar membenarkan tindakan zalim pemerintah di ikuti rakyat. Namun, jelaslah keilmuan ulama dan ketaqwaan mereka tidak mampu dibeli dengan tawaran dunia. Tidak berhenti disitu, penulis juga menukilkan kisah-kisah pemerintah yang mendapat kedudukan di sisi Allah kerana ketaqwaan mereka kepada Allah dan menjadikan ulama sebagai penasihat buat mereka dalam menjalankan pemerintahan negara dengan adil.

Penulis turut membawakan dalil quran mahupun hadis seperti sabda nabi, “Akan datang setelahku para penguasa yang berdusta dan bertindak zalim. Maka barangsiapa yang membenarkan kebohongannya dan membantunya dalam perbuatan zalim, ia tidak termasuk golonganku dan aku pun tidak termasuk darinya”. (HR Tirmidzi, Nasa’i dan Hakim).

Pada pendapat peribadi pengulas, buku “Nasehat Ulama untuk Penguasa” sangat menarik untuk dibaca. Buku tersebut jelas memfokuskan tentang kezaliman pemerintah terhadap rakyat yang perlu dirungkaikan. Penulis bukanlah bermaksud untuk mewujudkan suasana yang tidak harmoni dalam sesuatu masyarakat melainkan menimbulkan kesedaran kepada masyarakat betapa pentingnya mengambil tahu akan isu pemerintahan. Selain itu, penulis menampilkan kisah-kisah ulama yang di bunuh, penjara, dizalimi kerana lantang bersuara dalam menyatakan yang benar.

Pengulas merasakan buku tersebut sangat sesuai dibaca oleh pelbagai lapisan masyarakat kerana isu yang dibawa oleh penulis merangkumi pelbagai lapisan masyarakat seperti ahli cendekiawan, golongan pemerintah, golongan rakyat tanpa mengira agama. Penulis membawa pembaca untuk menyelami kejayaan dan kesejahteraan rakyat dibawah pemerintahan yang adil dalam menerapkan Islam. Ini akan membuka mata para pembaca untuk memahami bahawa Islam bukanlah agama yang tamakkan kekuasaan melainkan sebagai hamba yang perlu memakmurkan alam semesta dengan sebaiknya.

Buku ini ditulis sendiri oleh penulis yang mengalami situasi dimasukkan ke dalam penjara hanya kerana menyatakan kebenaran. Beliau juga syahid ditangan rezim Iraq pada tahun 1969 kerana siksaan yang dihadapinya. Hal ini pasti membuatkan para pembaca lebih dekat dengan isu yang ditampilkan oleh penulis di dalam karyanya “Nasihat Ulama untuk Penguasa”.


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Mariati Sali
Mariati Sali

Melanjutkan pendidikan di salah sebuah Universiti Awam dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Pendidikan.
Minat terhadap bidang penulisan dan pernah menyertai antologi terbitan Rumedia

Articles: 1