Selamat Datang Ke Laman Web Konfess Buku
Ulasan Buku : Mencapai Keluhuran Budi
Tajuk: Mencapai Keluhuran Budi
Penulis: Za’ba
Penerbit: DBP
Halaman: 91 muka surat
Tiga topik besar dibincangkan di dalam buku ini iaitu (1) Agama dan tujuannya, (2) Peranan ibu bapa dalam mendidik anak-anak dan (3) Kewajipan berjimat cermat dan faedahnya. Ramai yang beranggapan bahawa agama ini diturunkan untuk menyelamatkan kita daripada seksaan neraka dan ada pula yang untuk mencapai redha Allah. Tetapi itu bukanlah tujuan utama agama diturunkan.
Agama diturunkan adalah bertujuan memperelokkan akhlak manusia (kemuliaan perangai), berkelakuan baik dan menjalani kehidupan yang betul. Daripada sifat terpuji inilah barulah datang keredhaan Allah dan nikmat selamat dunia akhirat (yang kerap kali disangka-sangka tujuan agama padahal kehasilan bukan). Disebut oleh Za’ba bahawa (selamat dunia akhirat) yang tersebut ini hanyalah sebagai buah daripada sempurnanya tujuan yang pertama itu, dan tiadalah akan diperoleh “buah” itu jika sekiranya perjalanan hidup di dunia tidak mementingkan akhlak yang mulia.
Sepertimana Rasulullah s.a.w mempunyai sifat-sifat yang terpuji untuk diikuti, akhlak yang luar biasa, dan sebab utamanya Nabi s.a.w diturunkan; “Bahawasanya aku ini telah dibangkitkan membawa agama tidaklah kerana lain, melainkan dengan tujuan hendak menyempurnakan kemuliaan laku perangai (pada orang yang mahu mengikut aku)” (Ibnu Hanbal). Disebut dalam hadith yang lain juga, “Tidak ada satu benda pun neraca timbangan hari kiamat kelak yang lebih berat daripada baik laku perangai” (Abu Daud & al-Tarmizi).
Topik besar kedua yang dibincangkan adalah berkenaan peranan ibu bapa terhadap anak-anak. Semua maklum bahawa tanggungjawab ibu bapa merupakan satu tugas yang cukup besar. Mereka merupakan barisan hadapan yang akan mencorakkan anak-anak mereka sama ada menjadi yang lebih baik atau sebaliknya. Makan minum, pakaian, tempat tinggal, pendidikan merupakan perkara asas yang perlu diberikan oleh ibu bapa tetapi satu hal yang seringkali dipandang remeh atau barangkali alpa, iaitu memperelokkan keperibadian (akhlak).
Ibu yang terlalu sibuk mencantikkan diri, berpakaian lawa, bapa pula sibuk mencari nafkah, sehinggakan lupa bahawa peranan mereka itu tersangatlah besar. Apabila didikan hati tidak diberikan seeloknya, maka lahirlah anak yang kurang ajar, degil, tidak menghormati orang tuanya, tidak membalas budi orang tuanya, sekalipun anak-anak itu berjaya suatu masa nanti. Kata Za’ba, “jika ibu bapa tiada cukup menyempurnakan kewajipan kepada anaknya, patutkah ia dapat hak yang secukupnya daripada anaknya itu? Ia patut mendapat haknya sekadar mana yang ia telah sempurnakan kewajipannya memelihara dan mendidik anaknya itu. Jika cukup baik bela pelihara dan didikan yang telah diberinya masa anak itu masih kecil nescaya bolehlah cukup diperoleh haknya daripada anaknya itu kelak; jika kurang, maka kuranglah pula”.
Kesimpulannya, buku ini sangatlah menuntut ajaran akhlak dan budi pekerti mulia, melakukan perkara yang baik, dan sebagainya, sebelum datangnya redha Allah dan selamat dunia akhirat kelak.
Berminat untuk siarkan ulasan buku anda ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.
Jangan lupa untuk Like / Follow Konfess Buku di :
Facebook : Facebook.com/konfessbuku
Instagram : Instagram.com/konfessbuku
Twitter : Twitter.com/konfessbuku
#konfessbuku
#MalaysiaMembaca