Ulasan Buku : Kisah Malaysia Berkurung

Nama buku : Kisah Malaysia Berkurung

Penulis : Abdullah Bukhari Abdul Rahim Al-Hafiz

Penerbit :  Jejak Tarbiah

Tahun Terbit : 2020

Cetakan : Kedua

Muka surat :208

Pada bulan Mac 2020 negara digemparkan dengan penularan covid-19. Kenyataan ini sungguh membimbangkan ramai pihak malah, sehingga penghujung desember 2020 masih ramai lagi yang terkoban dek covid-19. Judul buku Kisah Malaysia Berkurung merupakan buku yang dikarang oleh Al-Fadhil Ustaz Abdullah Bukhari Abdul Rahim. Penulis bercerita mengenai kisah masyarakat di Malaysia sepanjang terkena covid-19.

Apa sebenarnya yang berlaku di saat negara ini dipanah oleh virus yang tidak dapat dilihat secara mata kasar ataupun zahir? Apa yang menyebabkan penulis menulis dan menegur situasi masyarakat yang tengah marak berhadapan dengan covid-19?

Ketika dunia sedang berhempas pulas mencari penawar covid-19, masyarakat di Malaysia dihujani berbagai-bagai rawatan Islami untuk mencegah virus ini. Bahkan hal ini sampai terkena tempiasnya pada mereka yang lebih alim dalam soal agama, bersepakat menilik covid-19 dengan andaian dan sangkaan yang tidak berasas. Jadi, apakah yang telah berlaku pada rakyat di Malaysia ketika wabak pandemik mengganas secara tiba-tiba?

Antara isu yang diketengahkan oleh penulis yang telah saya ringkaskan ialah :

1. Rakyat Malaysia diminta membaca Surah Yasin dan mengulang bacaan pada ayat 58.

2. Kononnya corona berasal daripada lafaz wa qarna dalam surah al-Ahzab ayat 33.

3. Mengaitkan bahawa covid-19 ada kaitan dengan 19 Malaikat penjaga neraka dalam Surah al-Muddathir ayat 26-30.

4. Ada sanitizer yang diruqyah oleh segelintir penunggang agama.

5. Angka akumulatif mangsa 3 333 dikatakan ada persamaan dalam Surah al-Ahzab : 33 ayat 33.

6. Penyebaran petua ubat-ubatan seperti herba begitu mujarab menyembuhkan covid-19.

7. Seorang wanita berasal dari Turki bermimpi berjumpa Nabi menyebutkan ramuan penyembuh corona virus daripada SUMAC sejenis herba.

8. Tersebar video mengenai seorang perawat mampu menangkap jin dalam botol dan mengatakan bahawa virus tersebut berpunca daripada haiwan.

Allahu akhbar. Rupa-rupanya masyarakat di Malaysia masih dipengaruhi dengan benda khurafat dan syirik. Sebetulnya, lapan perkara yang dinukilkan tersebut tidaklah benar menurut penulis. Malah, menyeleweng daripada kebenaran syariat dan agama. Isu ini wujud apabila terdapat sebahagian individu yang mengaku sebagai agamawan menafsirkan ayat Al-Qur’an dan hadith mengikut logik serta hawa nafsu. Saya juga setuju pada pendapat penulis bahawa Islam itu ada cara tersendiri dalam merawat penyakit.

Penulis juga meminta pada masyarakat agar menggali hikmah di sebalik penyakit ini dan terus memanjatkan doa kepada-Nya dan sentiasa mendengar arahan pemerintah.

Saya amat menyarankan agar buku ini dibaca dan setelah itu menjauhi segala bentuk pemujaan ataupun perkara yang dilarang dalam agama supaya hidup dalam keadaan berkat dan diredha Allah ta’ala.

Corona virus diturunkan bukan untuk membuat masyarakat semakin sibuk menyelidik tentang sifat dan ciri-cirinya, akan tetapi ia diturunkan untuk mengajak manusia berfikir dan semakin mahu mendekatkan diri kepada-Nya.

Berniagalah dengan ikhlas tanpa mengaitkan ia dengan unsur-unsur agama. Siasatlah setiap maklumat yang disebarkan baik di media atau di mana pun agar kita tidak termasuk dalam kalangan yang berdusta atas Nama baginda.

Bersama-samalah kita berganding bahu memutuskan rangkaian covid-19. Kita masih belum menang.

“Oleh hal itu, ketika PKP berlangsung, pelbagai “isu panas, sejuk dan rasa manis, pahit, masak dan payau” melimpah ruah membanjiri media sosial. Ada yang baik dan ada yang buruk.”- Kisah Malaysia Berkurung, hal. 175.

 


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Syuhara Suriati
Syuhara Suriati

Penulis artikel, antologi dan anekdot.🌷Isteri suri membaca dan menulis 🌷

Articles: 67