Ulasan Buku : Hijrah Hati

BUKU : HIJRAH HATI

Setiap dari kita mempunyai pengalaman. Kadang kita merasa terlalu remeh dengan apa yang kita lalui. Boleh jadi dengan pena, kita membawa suara insan-insan seperti kita, yang dibelenggu masalah yang sama.

Buku ini aku beli dari Guru Penolong Kanan 1 di sekolahku iaitu Ustazah Zuria Aida yang merupakan salah seorang penulis di dalam buku ini.

Kali pertama aku baca tajuk dan bagaimana buku ini dihimpunkan dan boleh sampai kepadaku, aku teruja. Kesemua mereka merupakan peserta Bengkel Penulisan Akademi Bonda Nor, dan semua kisah di dalam buku ini adalah apa yang pernah dilalui dan dirasai oleh mereka. Buku ini diterbitkan sendiri oleh Bonda Nor Resources.

Keterujaan ini aku terjemahkan melalui ulasanku.

Buku ini mengangkat nilai hati sebagai tajuk utama. Tentang bagaimana mereka menyingkap setiap sesuatu yang terjadi. “Hijrah” disandarkan kepada perjalanan yang mereka lalui. Hijrah ke arah yang lebih baik.

Membaca buku ini, seperti berbagi pengalaman. Sepi dan diam. Tapi di dalam hati dan fikiranku seperti bermonolog antara satu sama lain. Kadang bertakung air mata ditahan. Aku mengusung buku ini ke mana sahaja aku pergi.

Terdapat 40 kisah dan aku bahagi kisah-kisah ini kepada 3 bahagian yang aku mahu ketengahkan. Untaian kata memujuk terus memenuhi buku ini seperti aku yang mengalaminya.

   Satu; kisah tentang ujian yang Allah beri berupa sakit samaada ditimpa kepada ahli keluarga atau diri sendiri.

Menulis bagi mereka, aku lihat seperti terapi. Terapi agar kekal positif. Terapi untuk mujahadah kekalkan kebaikan.

“Sampai bila mahu lemah begini. Berdamailah dengan takdir. Betapa semua yang telah terjadi adalah sebahagian daripada takdirku yang perlu aku imani setulus hati.”

Empati dapat dinilai bagaimana kita memahami kesusahan dan kelemahan orang lain.

   Kedua; kisah tentang ujian disebalik keinginan dan pilihan yang dipilih.

Pengajaran terhadap apa yang berlaku, menjadi titik perubahan dalam hidup. Setiap dari kita, persekitarannya berbeza dan membuatkan apa yang dilaluinya juga berbeza.

“Percayalah! Hijrah itu realitinya perlukan pengorbanan. Bergegar hidupmu nanti dengan benda yang tidak biasa kau lakukan.”

   Ketiga; diuji dengan sesuatu yang diusahakan tetapi tidak membuahkan hasil, atau tidak seperti yang diimpikan.

Penghijrahan kadang perlu mula dengan paksaan. Dengan nikmat, manusia mudah hanyut dan lupa. Bila diuji, mahu tidak mahu kita “dipaksa” untuk berhijrah. Demi masa depan diri, keluarga yang dicintai.

“Jika tidak terpaksa, manakan mahunya kita.”

“Hari ini kita berhijrah, jangan terus kita mimpikan laluan bahagia dan sempurna hari esok tanpa secebis pun ujian. Wahai teman, harus kita akui bahawa hidup ini adalah pergiliran antara suka dan duka.”

Kesimpulan : Ada orang, Allah beri kelebihan kepadanya mampu menarik orang lain melalui kata-kata. Tidak kurang juga, ada yang Allah beri kelebihan mampu menulis yang membuatkan manusia berhenti bicara. Bagi aku, kuasa pena lebih menusuk dan merentas zaman berbanding kata-kata. Syabas kepada para penulis di dalam buku “Hijrah Hati”. Teruskan usaha kalian mewarnai dunia penulisan.


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


AsmaAsri
AsmaAsri

Seorang guru sekolah agama di Kajang. Sangat meminati dunia buku.

Articles: 1