Ulasan Buku : Goodbye Sedih & Kecewa

Nama buku: Goodbye Sedih & Kecewa

Penulis: Ririn Rahayu

Muka surat: 416

Penerbit: Puteh Press

Tahun terbit: 2021

Cetakan: Pertama

Disirami oleh pelbagai masalah dalam hidup, sudah menjadi lumrah dan peneman setia bagi seorang manusia yang  telah diciptakan di dunia. Malahan, kita tidak mampu mengelak dan menepis masalah yang datang secara tiba-tiba.

Kita tidak dapat membuang keserabutan dan menjamin hati senantiasa berasa tenteram selepas melepasi fasa-fasa yang merunsingkan dan melemaskan. Pun begitu kita boleh mengawal supaya pukulan masalah ini tidak berterusan dan berkembang biak mematikan akal dan iman.

Judul buku Goodbye Sedih & Kecewa, nukilan penulis wanita Ririn Rahayu ialah panduan bagi merawat seluruh serangan permasalahan yang berlaku dalam kalangan wanita muslimah. Ya, buku ini adalah jawapan khusus yang dihadirkan buat para wanita agar bijak mengendalikan kesesakan jiwa.

Hal-hal yang berada di persekitaran kita boleh menjadi faktor utama dan pencetus terhadap kemunculan masalah-masalah yang memenatkan fikiran. Sehingga kita adakalanya tidak menemukan jalan yang tepat bagi membantu diri sendiri keluar mendapatkan penyelesaian yang tuntas.

Buku ini sangat terbaik kerana penulis membahagikan masalah-masalah yang berlaku kepada diri sendiri dan juga orang lain. Membawakan pula, langkah-langkah yang perlu dilakukan apabila berhadapan dengan situasi-situasi yang disebutkan. Antara pembahagian berikut,

Pertama, masalah dengan diri sendiri. Kebarangkalian masalah yang berlaku kepada diri sendiri ialah tidak mampu menjadi wanita yang terbaik. Dalam bahagian ini terdapat banyak kelemahan yang perlu kita perbaiki dan belajar bagaimana menguruskan ia dengan lebih baik.

Kedua, masalah dengan suami. Peperangan suara yang berpunca daripada suami telah menzahirkan emosi yang keterlaluan. Oleh itu, penulis memuatkan berbagai-bagai masalah yang kerap berlaku kepada pasangan dan memberikan sekali solusi bagi membantu kita menjadi isteri yang solehah.

Ketiga, masalah dengan anak. Anak-anak ialah anugerah daripada Allah SWT. Namun, menjaga amanah Allah ini terkadang membuatkan kita tewas sebagai pendidik. Justeru, terdapat tip yang mampu menjadikan kita sebagai ibu yang penyayang sekali gus bertanggungjawab.

Keempat, masalah dengan jiran. Hidup berjiran juga sememangnya kita sendiri gagal menunaikan hak-hak tetangga. Penyakit bergosip, mengintip dan lain-lain yang wajib kita jauhi, dihuraikan dalam bahagian ini.

Kelima, masalah dengan rakan. Sering berkhianat, mengajak ke jalan yang diharamkan misalnya, sudah tentu kita mengenal sikap rakan-rakan seperti ini. Justeru itu, penulis menekankan kepada kita untuk berhati-hati dalam menerima rakan-rakan yang tidak menunjukkan contoh teladan.

Keenam, masalah dengan alan sekitar. Alam sekitar turut menjadi sebahagian besar dalam masalah kita. Terdapat catatan penting oleh penulis bagi memakmurkan kecintaan kita kepada alam.

Dalam buku ini juga dipenuhi dengan pengalaman penulis sebagai wanita yang turut dibadai oleh masalah yang berlipat ganda. Namun, kerana semangat penulis yang cekal dan tabah ini, mendesak kita sebagai hamba yang diuji mempelajari cara penulis menguruskan ujian ini.

Pengalaman orang lain ada ketikanya mematangkan kita dalam membuat perhitungan. Mendidik kita untuk tidak terleka dalam meletakkan sesuatu keputusan yang boleh membawa kepada penyesalan.

Karya yang penuh dengan deretan tip-tip berharga ini mengajak kita mengaut sesuatu pelajaran yang sangat bermakna. Tambahan pula, banyak kisah wanita-wanita hebat dan para sahabat serta cerita lain yang menginspirasikan untuk kita mencontohi kehebatan, kesederhanaan dan keberanian melepasi satu-satu permasalahan.

Kesimpulan ringkas, buku ini bertindak sebagai sebagai ubat merawat kekurangan, kekalahan, kesulitan dan kesakitan yang telah lama melarat. Untuk itu, tinggalkan segala sedih dan kecewa. Ucaplah, selamat datang bahagia yang telah dinanti sekian lama. Selamat membaca.

“Tidak mudah untuk menjadi Muslimah Cekal yang mampu menguruskan semua masalah dengan sempurna. Kadangkala kita sebagai manusia biasa berasa penat, sesak, keliru dan mungkin bosan. Kadang kala, hati kita dirundung sepi sehingga tidak mampu melihat jalan keluar dengan lebih jelas.” Blurb buku, Goodbye Sedih & Kecewa.


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Syuhara Suriati
Syuhara Suriati

Penulis artikel, antologi dan anekdot.🌷Isteri suri membaca dan menulis 🌷

Articles: 67