Selamat Datang Ke Laman Web Konfess Buku
Ulasan Buku : Di Tepi Sungai Dajlah
“Bertafakur di tepi Sungai Dajlah, melihat sejarah mengalir, menghidupkan kenangan pujangga pada masa yang silam, kini dan nanti.” – Pak Hamka
Pak Hamka telah melalui satu pengembaraan yang sangat mengujakan. Banyak yang beliau ketahui melalui pembacaan, akhirnya bertentang mata melihat sendiri lokasi dan manusia-manusia yang selama ini hanya dikenali lewat buku dan kertas.
Buku ini menceritakan tentang sejarah Baghdad yang suatu ketika dahulu menjadi pusat pemerintahan Bani Abbasiyah, kehebatan kepercayaan mazhab, salasilah keturunan Bani Hashim dan struktur masyarakat Iraq selepas mendapat kebebasan dari Turki.
Keterbukaan Pak Hamka terbukti ketika beliau melakukan ziarah ke kubur tokoh Syiah, wakil mutawif ada mengajar doa dan beliau menurut kecuali pada ayat-ayat yang mencela para sahabat, beliau mendiamkan diri.
Juga ketika beliau dijemput menziarahi kota Karbala, beliau mengulas bagaimana kaum Syiah mengangkat kota itu menjadi kota dan tanah suci. Di kota itulah, Saidina Hussin, cucu kesayangan Rasulullah SAW dipenggal pada 10 Muharram.
Oleh sebab itu juga pada setiap 10 Muharram, kota Baghdad akan dipenuhi dengan golongan Syiah. Mereka akan mengadakan upacara yang sangat mengerikan dengan memukul tubuh badan mereka sebagai tanda cinta pada keturunan Rasulullah SAW.
Sekaligus menghuraikan sebab mengapa segelintir golongan Syiah menunaikan sembahyang dengan mencalit tanah Karbala di kening mereka, sebagai suatu simbolik penyucian diri.
Selain itu, Pak Hamka turut menulis serba sedikit tentang sejarah ketika mana kota yang pernah menjadi dunia peradaban Islam itu diserang.
Kota Baghdad diserang dan ‘dihalalkan’ selama 40 hari. Setelah membunuh rakyat jelata, Hulagu Khan mula bertindak membunuh barisan khalifah dan pegawai di dalam tampuk pimpinan.
Jatuhnya Kota Baghdad merupakan permulaan kepada kejatuhan umat Islam. Ahli sejarah mengatakan hampir 1.8 juta penduduk kota itu terbunuh setelah diserang oleh tentera Monggol, bersamaan 80 peratus daripada jumlah penduduk setempat.
Menurut Pak Hamka, dalam politik bangsa Monggol dan Tartar, mereka berjaya menundukkan rakyat. Tetapi dari segi kepercayaan, ternyata rakyat berjaya menundukkan mereka hasil dari pegangan yang teguh pada Al-Quran. Hingga akhirnya golongan penjajah ini sendiri yang memilih memeluk Islam.
Penjajah pada ketika itu adalah anak Hulagu Khan sendiri, Tekudar. Tekudar telah menukar namanya kepada Ahmad dan membawa bersama-sama 10,000 orang pengikut mengangkat sumpah setia untuk menjadi kepada pembela agama Islam.
Catatan yang ditulis begitu halus Pak Hamka ini sangat sesuai dibaca oleh mereka yang mencintai sejarah, terutamanya sejarah dunia Islam di Kota Baghdad.
10/10 👍✨
#MembinaLegasiIqra’
Berminat untuk siarkan ulasan buku anda ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.
Jangan lupa untuk Like / Follow Konfess Buku di :
Facebook : Facebook.com/konfessbuku
Instagram : Instagram.com/konfessbuku
Twitter : Twitter.com/konfessbuku
#konfessbuku
#MalaysiaMembaca