Ulasan Buku : Dekor-Dekor Cinta

Setiap individu tentu menginginkan sebuah rumah yang cantik dan kemas seperti sebuah hotel yang luas dan indah. Ini adalah impian tiap-tiap penghuni untuk memiliki rumah sendiri dan mendekorasikannya apabila terbina nanti.

Dekor-dekor Cinta ditulis oleh seorang mantan arkitek, Puan Khairunnisa Hamzah dan kini memberikan khidmat dekorasi dan make-over di kediaman sekitar lembah Klang dan Melaka. Perkhidmatan beliau boleh didapati melalui facebook Mommy Daddy Decor atau berhubung dengan fb penulis sendiri, Khairunnisa Hamzah.

Buku ini mempunyai 276 halaman, cetakan pertama 2020 dan diterbitkan oleh Galeri Ilmu Sdn. Bhd.

Penulis bukan hanya menampilkan tatacara menghiasi rumah yang diidam-idamkan tetapi penulis menyentuh sekali perihal akhlak dan peribadi seseorang yang amat berkait rapat dengan keadaan dan situasi dalam rumah. Bagaimanakah ?

Cuba bayangkan kita tinggal bersama suami, isteri dan anak-anak. Keadaan rumah bersepah, kotor dan tidak tersusun. Sikap marah kita tercetus dek kerana tidak tertahan melihat ruang berselerakkan. Pergaduhan terjadi antara suami dan isteri kerana tidak saling membantu. Bayangkan kerana hal-hal pekerjaan di dalam rumah kita telah menjemput bala dan malapetaka. Akhir sekali, mencalar maruah dan akhlak.

Suasana dan keadaan rumah jika diamati lebih mendalam mempengaruhi perjalanan hubungan kita dengan pasangan kita. Jika rumah bersih dan menitikberatkan soal kerja sama, pasti hubungan itu tadi bertukar aman dan damai. Tidak wujud api pertelingkahan.

Oleh sebab itu, buku ini membawa kita memahami betapa peri pentingnya keelokan moral, akhlak, perangai, sikap seseorang itu terhadap kediaman yang dihiasinya kerana rumah bukan sekadar tempat berteduh tetapi juga tempat manusia beribadah kepada Allah ta’ala.

Penulis membawakan mesejnya dalam bentuk story telling. Ini membuatkan kita terasa sekali gus terkena suntikan motivasi. Penting atau tidak mendekorasi umah ? Berikut sedikit pulangan ilmu yang saya perolehi akan kebaikan mendekorasi rumah :

1- Setiap ruang rumah mempunyai fungsi dan kegunaan masing-masing.

2- Rumah akan jadi lebih teratur dan kemas kerana susunan yang betul.

3- Tenang dan segar apabila memandang sekeliling rumah yang telah didekor.

4- Selesa dan tidak sempit.

5- Menaikkan seri mood kerana pilihan warna yang tepat.

6- Menambahkan keharmonian dalam keluarga.

Kita tidak memerlukan banyak bilik dan juga ruang yang besar di dalam rumah. Cukup jika ia muat untuk seisi keluarga dan tetamu berkunjung. Namun, satu perkara yang saya tertarik, penulis menyenaraikan beberapa ruang khas perlu disediakan untuk dikongsi bersama ahli keluarga. Antaranya :

1. Perpustakaan mini.

2. Wayang keluarga.

3. Meja belajar.

4. Ruang bermain.

Bermula daripada rumah kita dapat menubuhkan keluarga bahagia. Di sinilah kita dapat mengeratkan lagi hubungan bersama anak-anak. Kita dapat mendidik anak-anak dan menarik hobi mereka jikalau kita juga turut membekalkan buku yang banyak dirumah.

Finland, satu negara yang dicontohkan oleh penulis, negara yang dinobatkan paling baik dari sudut pendidikan kanak-kanak di dunia kerana mereka membudayakan aktiviti membaca sejak dari rumah. Banyaknya buku kanak-kanak hingga wujud perpustakaan mini di kediaman masing-masing.

Penulis kelihatan begitu gigih menuangkan pelbagai pengalaman sepanjang berada dalam kerjayanya dan sangat berlainan dengan buku berkaitan dekorasi yang pernah saya baca sebelum ini. Ceritera sedih, gembira, dan bermacam lagi untuk kita cungkil sedikit ibrah. Moga-moga ia dapat memberi kesan padu dan berkualiti kepada kita.

“Membina Kediaman itu seperti membina masa depan. Rumah yang baik perancangannya membawa kepada keselesaan. Yang baik itu tidak semestinya mahal. Tetapi cukup dengan mengikut syarat dan syariat.”   – Dekor-dekor Cinta, hal. 121.

Selamat membaca.


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Syuhara Suriati
Syuhara Suriati

Penulis artikel, antologi dan anekdot.🌷Isteri suri membaca dan menulis 🌷

Articles: 67