Ulasan Buku : Bermain di Fikiran

Tajuk : Bermain di Fikiran
Penulis : Qisya Maisarah
Penerbit : Graphicube Solutions
Tahun Penerbitan : 2012
Jumlah Halaman : 140

“Harga diri manusia terutamanya wanita hanyalah pada ilmu pengetahuannya. Meskipun jelita bak bidadari sekalipun wanita itu, andai cetek akalnya, maka malanglah yang menempah hidupnya kerana dibuli oleh orang lain”-Pakcik Teksi Bekas Kapten Tentera.

“Bermain di fikiran”, merupakan karya ketiga daripada penulis Qisya Maisarah yang telah berjaya saya lunaskan pembacaannya sehingga ke halaman terakhir. Naskhah ini memecahkan setiap siri baru dengan 10 bab yang diberi julukan Veronica 1 sehingga Veronica 10. “Veronica Eng” merupakan watak utama yang berusia 17 tahun dan bakal menduduki peperiksaan besar yakni SPM. Veronica Eng yang berbangsa Cina bersekolah di sebuah sekolah yang berbilang kaum dan turut bercampur akrab dengan rakan daripada ras agama dan bangsa yang berbeza. Secara konklusinya buku ini sememangnya menceritakan mengenai watak Veronica Eng dengan sikap kekerasan hatinya yang enggan bersungguh-sungguh dalam mempersiapkan minda bagi menghadapi ombak deras yang digeruni rata-rata pelajar yakni SPM. Perihal akademik dan ujian kekeluargaan inilah yang sering bergentayangan dan bermain di fikirannya.

            Sekilas mengenai profil diri Veronica Eng, dia merupakan anak kedua Encik Antoni Lee dan Puan Nie Oii. Ibu bapa Veronica Eng bekerja sebagai seorang usahawan yang berjaya, malah memiliki aset yang agak besar dan lantaran itu mereka mampu menyediakan rumah banglo mewah buat keluarga Veronica Eng. Namun, sebuah rumah agam yang indah dan luas tidak mampu membeli kediaman hati yang tenang dan nyaman buat Veronica Eng sewaktu berada di rumah. Hati Veronica Eng setiasa gundah dan stres acap kali berpusar di kepala fikirnya tatkala menghabiskan sisa waktu di dalam rumah ibu bapanya. Hal ini lantaran kerana teratak tersebut bukan sahaja dihuni oleh keluarga Veronica Eng, malah turut ditumpangi oleh adik perempuan ibunya dan adik lelaki ayahnya serta keluarga mereka. Bukan setakat itu sahaja, anak-anak ibu bapa saudaranya yang kecil sangat nakal dan suara gegak gempita mereka sering memecah kesunyian rumah tersebut. Sesungguhnya, pencemaran bunyi yang hinggap di cuping telinga Veronica Eng saban hari amat mengganggu rutin hariannya sebagai seorang pelajar.

            Impak daripada gangguan seumpama inilah yang mendesak batinnya untuk memasang niat agar menamatkan pengajiannya sehingga SPM sahaja. Veronica Eng sering merengus mengenai masalah yang dihadapinya lantaran ibu bapanya telah bertegas agar adik-adik mereka tetap menetap sebumbung dengan keluarga Veronica Eng dalam tempoh yang lebih lama lagi. Kesungguhan Veronica Eng dalam pelajaran telah terbenam dan hilang sejak keluarga ibu bapa saudaranya tingga bersama mereka. Malahan Veronica Eng bercadang untuk tinggal dengan kakaknya di Jakarta sebaik selesai menduduki SPM kelak. Namun, pelbagai kejadian berlaku yang berjaya melenturkan hatinya yang degil, sekali gus menyemarakkan lagi semangat Veronica Eng agar belajar dengan gigih meskipun pelbagai masalah bertandang dalam diari hidupnya. Salah satunya setelah mendengar perkongsian daripada pemandu teksi sewaktu dalam perjalanan pulang ke rumah bersama rakannya, Norbaina. Bingkisan nasihat daripada seorang bekas Kapten Tentera itu telah berjaya mengubah penilaiannya tentang ketinggian ilmu pengetahuan dan peluang memburu pengetahuan di bangku sekolah yang tidak harus disia-siakan.

            Pesanan dan titipan nasihat daripada pemandu teksi yang juga merupakan seorang bekas Kapten Tentera yang telah lama bersara itu begitu mendalam dan mengandungi banyak hikmah mengenai getirnya hari muka tanpa ilmu pengetahuan. Demikian juga dengan perkongsian kisah peribadi Norbaina kepada Veronica Eng tentang nasib hidupnya yang hampir musnah setelah kedua ibu bapanya bercerai. Segala galau dan resah hatinya lebih perit jika ingin dibandingkan dengan masalah yang dihadapi oleh Veronica Eng. Namun segulung ijazah dalam bidang Sains Aktuari yang dimiliki oleh ibu Norbaina berjaya mengheret nasib yang cerah agar menyebelahinya. Ibu Norbaina berjaya bangkit daripada tangisan kegagalan perceraian dengan terlibat dalam urus niaga saham. Ternyata konflik ibu bapa Norbaina tidak menghenyakkan semangat belajarnya, malah menjadikan Norbaina seorang yang memandang musibah sebagai batu lonjatan untuk mengecapi kecemerlangan dalam akademik. Norbaina meminta Veronica Eng membayangkan akan kemungkinan sekiranya ibunya tidak memiliki apa-apa kelulusan dalam pendidikan, keberangkalian yang besar adalah ibu Norbaina serta anak-anak di bawah tanggungannya akan kebulur setelah diceraikan ayahnya.

            Benarlah pusingan roda kehidupan setiap dari manusia adalah berbeza. Ada ketika tinggi di atas dan ada kala dipijak di bawah. Itu jugalah nasihat daripada Norbaina kepada Veronica Eng agar direnungi oleh sahabatnya itu. Usah jadikan ibu bapa saudaranya musuh gara-gara mereka telah menumpang teduh di kediaman serba lengkap milik ibu bapanya. Ada kemungkinan suatu saat nanti Veronica Eng pula yang terpaksa mengaduh nasib kepada ibu bapanya suatu hari nanti. Bayangkanlah kesusahan yang dipikul di bahu orang lain dipindah milik kepada diri kita pula. Begitulah sebaliknya. Dengan demikian, pundak syukur kita sentiasa mendepani setiap gerak kita dalam bertindak. Nah, inilah antara nilai murni yang disisipkan kepada pembaca daripad karya oleh Qisya Maisarah. Galakan saya kepada pelajar yang bakal menduduki SPM atau peringkat usia yang lebih daripada itu untuk sama-sama menelaah naskhah ini kerana pembaca bakal menemui ramuan tunas bangsa, nostalgia zaman persekolahan, pengalaman berkhemah mengandar bekas air dan gejolak kekeluargaan yang tergaul sebati. Tentunya pembaca tidak muak dengan kisah yang dihidangkan oleh penulis. Cukup rasa buat santapan emosi dan mengisi tong ilmu di dada.


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


.Atiqah Abd Rahim.
.Atiqah Abd Rahim.

Penuntut UKM Bangi, jurusan Usuluddin & Falsafah.

Articles: 20