Ulasan Buku : Aku, Buku dan Kota Kaherah

Nama buku : Aku, Buku dan Kota Kaherah

Penulis : Shahriman Jamalullayl

Penerbit :  Toko Buku Azbakia Enterprise

Tahun Terbit : 2020

Cetakan : Kedua

Muka surat : 244

Judul buku Aku, Buku dan Kota Kaherah ialah buku yang merakamkan pengalaman penulis sepanjang berkelana di bumi Mesir. Bumi yang diberkati kerana menempatkan para anbiya, alim ulama dan para syuhada. Buku ini membawa kita kembali ke zaman era 90-an di saat penulis sedang bergelar penuntut di Universiti al-Azhar dan terjebak menjadi seorang pencinta buku yang mengkhayalkan.

Di sebalik kehancingan bau dan sikap segelintir masyarakat yang dikatakan kurang beradab di sana, siapa menyangka bahawa Kota Kaherah pernah melahirkan ramai cendikiawan dan menjadi Kota Buku terbesar yang diiktiraf di Asia Tenggara.

Pengembaraan penulis sebagai pemburu buku dan ilmu membawa kita berkenalan dengan keistimewaan, budaya masyarakat dan latar belakang Kota Kaherah. Di antaranya :

1. Rakyat Mesir tidak menggunakan bahasa arab fusha semasa berkomunikasi termasuklah dalam sistem pembelajaran. Sebaliknya, bertutur dalam bahasa ‘ammiyah atau lebih tepatnya bahasa pasar.

2. Berlaku perebutan buku dalam kalangan pembeli. Buku yang tidak diulang cetak dan penulisnya telah wafat dijual pada harga yang mahal seperti buku karangan seorang tokoh falsafah Mesir, Dr. Abd Rahman Badawi. Kesannya, berlaku proses tawar menawar untuk mendapatkan harga buku yang berpatutan.

3. Terdapat banyak kedai buku yang menjual buku-buku terpakai yang masih elok dan berkualiti. Antara yang disebutkan, pasar buku Sur Al-Azbakiyah di Pekan Atabah, Kota Kaherah dan lorong Darb Al-Atrak di Jalan Muhammad Abduh yang meniagakan buku-buku agama di kaki lima.

4. Tempat kelahiran penulis-penulis veteran. Pengikut Hasan Al-Banna iaitu Anwar Al-Jundi salah seorang penulis buku terkemuka pada zaman 40-an di Mesir. Beliau turut mendapat gelaran sebagai ensiklopedia bergerak kerana tahap pembacaan yang meluas dan menulis buku lebih daripada 100 buah tajuk.

Sheikh Muhammad Idris bin Abdul Rauf Al-Marbawi penulis dan pengarang Kamus Marbawi (Arab-Melayu) yang berasal dari negeri Perak amat dikenali kerana pernah menetap lama di Mesir. Di sinilah juga terbit karya dan subjek falsafah yang pertama kali diperkenalkan oleh Sheikh Mustafa Abd Al-Raziq.

Di Kota Kosmopolitan penuh bunyi kenderaan memekikkan telinga, penulis mengagihkan waktu mengikuti kelas-kelas talaqqi dan berguru dengan Sheikh Dr. Toha Rayyan, Sheikh Dr. ‘Iwad Hijazi, Sheikh Barakat dan Sheikh Ali Jumaah dan lain-lain. Tambahan pula, penulis berkesempatan mengasah bakat menjadi kartunis dan menyumbangkan artikel untuk dimuatkan dalam majalah.

Orang-orang Mesir memiliki satu tahap kegilaan terhadap buku-buku yang mereka baca. Menurut penulis, ada Pak Supir atau pemandu teksi yang tidak membaca buku, namun setelah pulang ke rumah mereka menghidu bau buku sebagai terapi untuk melegakan badan yang kelelahan. Kejadian mencuri buku juga berlaku kerana saling bersaing mendapatkan buku yang sama.

Di samping itu, ada sebahagian peniaga buku menjual buku-buku yang diharamkan pengedarannya seperti Majalah Al-Muslimun yang diasaskan oleh pergerakan Ikhwan, satu pertubuhan yang diharamkan kegiatannya di tanah Mesir. Buku-buku karangan Sayyid Qutub yang diharamkan turut dijual secara senyap-senyap. Namun sebagai pelahap buku, penulis tetap membelinya kerana ingin mengetahui sebab-sebab diharamkan dan kerana ianya juga tidak akan diulang cetak semula.

Bagi penulis, tinggal di negara asing dan terpisah daripada pelukan ahli keluarga tetap akan ada cabarannya. Jauh dari sudut ketinggian binaan piramid yang menjadi lambang kemegahan Mesir, keperluan hidup seperti makanan dan minum harus ditanggung. Pun begitu, buku menjadi penawar apabila hati mulai dijengah perasaan sunyi dan sugul.

Kota Kaherah disebutkan juga kota yang terawal menghasilkan mesin percetakan buku pada tahun 1819. Tidak hairanlah, jika negara Mesir yang dikatakan gemar bercakap sound direct itu serba maju dan ke hadapan dari segi penguasaan ilmu.

Butir-butir bicara oleh sang penulis membawa kita termasuklah saya mengelamun seketika membayangkan kehebatan negara Mesir. Bahasa yang sempoi dan kadang kala ditambah rencah lelucon. Pengalaman penulis tidak ternilai harganya. Saya menyarankan buku ini perlu berada dalam genggaman para pencinta buku supaya kita dapat menikmati keindahan Kota Kaherah dan merasai sendiri ketagihan penulis dalam membeli buku dan membaca. Buku baharu namun mampu diangkat menjadi buku malar segar di Pasaran.

Selamat membaca. Selamat menjadi bibliofil.

“Sepanjang berada di bumi Mesir, sekitar pertengahan tahun 90-an hingga awal tahun 2000, aku terjebak dalam dunia ‘percintaan’. Bercinta tidak hanya dengan benda hidup. Dengan benda tidak hidup pun seseorang boleh menjalin hubungan dan kasih sayang. Ya, aku jatuh cinta kepada buku!.”. -Prolog Shahriman Jamalullayl, Aku Buku dan Kota Kaherah.


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Syuhara Suriati
Syuhara Suriati

Penulis artikel, antologi dan anekdot.🌷Isteri suri membaca dan menulis 🌷

Articles: 67