Ulasan Buku : Mudahnya Menulis

Bagi pemula seperti saya, membaca dan mengumpul buku-buku berkaitan penulisan adalah satu keperluan. Pada pendapat saya menulis bukanlah satu pekerjaan yang mudah dan boleh di anggap remeh. Ini kerana sesebuah penulisan mampu mempengaruhi pembaca, mendorong, memberi inspirasi dan memotivasi. Baik ia penulisan bersifat ilmiah, fiksyen dan bukan fiksyen. Masing-masing genre mempunyai sisi istimewa dan kelebihan bergantung kepada corak sebuah penulisan.

Mudahnya menulis karya Umi Kalthum Ngah ini, membantu saya memahami serba sedikit tentang dunia penulisan. Walaupun sebenarnya ini bukanlah karya pertama yang saya baca yang membincangkan kaedah dan kreativiti menulis yang perlu diketahui oleh sesiapa sahaja yang berkeinginan menjadi seorang penulis.

Timbulnya ilham penulis untuk menghasilkan naskhah ini adalah disebabkan pengalaman beliau ketika menghadiri dan mengendalikan bengkel-bengkel penulisan. Dapat pembaca fahami, bahawa beberapa kaedah yang dikongsikan dalam naskhah ini diserap langsung daripada perkongsian bengkel penulisan beliau yang lepas.

Dengan adanya naskhah ini di tangan mudah bagi saya mendalami dengan lebih detail ilmu-ilmu penulisan yang pastinya menjadi rujukan dari semasa ke semasa.

“Sekiranya kita mahu menjadi penulis, kita perlu menyelami hati kita sedalam-dalamnya. Kemudian, setelah diselami hati masing-masing, kita akan dapati bahawa jiwa kita akan lebih terbuka…” (halaman 8)

Bakat menulis boleh digilap dan dilatih melalui bimbingan dan latihan berterusan. Kerana itu pentingnya memiliki guru yang dapat mengasah dan memberi panduan secara langsung, di samping usaha diri membaca bagi meluaskan ilmu pengetahuan.

Perkara pertama yang harus dibetulkan adalah berkaitan niat, apa yang mendorong dan mengapa kita menulis. Kerana tujuan itu memfokuskan jalan yang akan ditempuh. Tahukah, menulis boleh dinilai ibadah dan mengalirkan pahala berterusan sekiranya mampu memberi manfaat kepada pembaca. Begitu juga jika yang terjadi sebaliknya, kerana itu sentiasalah berhati-hati dalam apapun penulisan yang dihasilkan.

Beberapa kaedah yang penulis kongsikan, di sini saya nukilkan tiga antaranya adalah ;

1. Menyediakan draf.

Proses mendraf ini adalah proses menjana idea dengan mengumpulkan hasil tulisan tanpa membuat sebarang pembetulan. Hanya tulis dan tulis.

2. ‘Mengeram’ karya dan kemudian edit.

Proses ini dipanggil ‘cooling off period’ di mana karya perlu di peram sebelum mulai proses mengedit yang perlu dilakukan berulang kali. Simpan seketika, dan kemudian edit secara bertahap. Ianya perlu dilakukan berulang kali, bagi meminimamkan sebarang kesalahan dalam menghasilkan penulisan karya.

3. Memperhalusi karya.

Dalam proses ketiga ini pula, penulis memerlukan kesabaran dan sikap lebih prihatin, dalam masa yang sama mendidik hati seorang penulis untuk lebih sensetif dan peka, kerana proses ini adalah yang terakhir di mana penulis perlu memperhalusi dan mengolah setiap karya hingga ke garis penamat.

Keterampilan sebagai penulis adalah satu bentuk komunikasi antara pembaca dengan penulis, kerana itu penggunaan bahasa perlu diolah bersesuaian dengan pendekatan yang dapat memberi kefahaman yang jelas kepada pembaca.

Francois Rene De Chateaubriand ada menyebutkan,

“Seorang penulis asli itu bukan seseorang yang meniru orang lain tetapi adalah seseorang yang orang lain tidak mampu menirunya.”

Yang terakhir, penulis mencadangkan agar membuat jadual untuk menulis, sebagai satu kaedah ataupun cara agar dapat mengurus dan membahagi waktu dengan sebaiknya.

Sebenarnya banyak lagi yang pembaca boleh ‘gali’ dalam naskhah ini, kerana itu milikilah sendiri dan temui bagaimana cara memotivasi diri untuk terus menulis dengan pelbagai tip dan kaedah yang dikongsikan oleh penulis. Naskhah yang cuma berharga rm15 ini boleh didapati di kedai buku berhampiran atau di aplikasi shoppe atau terus ke agen buku Iman Publications.

Selamat belajar dan selamat berkarya!


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Aishah Nerina
Aishah Nerina

لا يشكر الله من لا يشكر الناس

Articles: 47