Ulasan Buku : Sementara Ku Di Sini

Ulasan Buku : Sementara Ku Di Sini

Pernah dengar nama Uncle Kentang? Pernah, tapi tak pasti siapa beliau dan apa yang beliau lakukan? Nah, inilah buku yang tepat untuk mengetahui dengan lebih mendalam mengenai beliau.

Uncle Kentang atau nama sebenarnya Kuan Chee Heng, pada mulanya bergerak sendiri untuk membantu orang-orang miskin dengan memberikan mereka keperluan asas seperti beras, garam, gula dan kicap. Uncle Kentang mula mendapat namanya setelah aktif mengagihkan kentang kepada pihak yang memerlukan. Ya, kentang. Sebab ianya boleh dimasak pelbagai cara. Sup, goreng, kukus, bakar dan lain-lain.

Selain itu, beliau juga ada menyediakan perkhidmatan van jenazah percuma, ambulans percuma, teksi percuma dan makan percuma. Bunyi macam seorang jutawan, kan? Hakikatnya, Uncle Kentang berasal daripada sebuah keluarga yang sangat miskin. Adik-beradiknya ramai, sepuluh orang.

Sewaktu zaman persekolahannya, beliau hanya memakai pakaian lusuh abangnya. Rumah keluarganya tiada elektrik, sumber air hanya daripada telaga. Mereka hidup sangat susah, sehinggakan waktu bapanya meninggal dunia, mereka tidak mempunyai wang untuk menguruskan jenazah bapa mereka. Hal ini jugalah yang mencetuskan idea buat beliau menyediakan perkhidmatan van jenazah secara percuma.

Namun, dek kerana kemiskinannya dahulu, Uncle Kentang nekad untuk membantu orang lain yang senasib dengannya. Prinsipnya cuma satu, “kita tidak akan pernah jatuh miskin dengan bersedekah dan sentiasa memberi kepada orang lain. Kita bantu orang, Tuhan akan bantu kita.”

Uncle Kentang banyak meminjam ‘falsafah’ dan ajaran agama Islam serta mengamalkannya di dalam kehidupannya khususnya konsep bersedekah menjaga aib sesama manusia. Ketika sering ditanya, apakah rahsia untuk menjadi kaya, nasihatnya cuma satu, banyakkan sedekah. Beliau juga tidak akan sesekali membuka aib orang yang dibantunya.

Adakah Uncle Kentang hanya membantu kaum Cina dan bukan Islam sahaja? Bahkan, tidak! Beliau bukanlah seorang yang rasis, malahan rakan-rakannya ramai daripada golongan Melayu Muslim. Maka, bantuan yang dihulurkan terbuka kepada semua bangsa dan agama.

Cuma satu pesan Uncle Kentang, untuk kita membantu orang lain, kita perlu ada dana sendiri pada mulanya tanpa perlu meminta-minta pada orang ramai. Dan dana paling mudah untuk diperoleh melalui perniagaan. Berniagalah dan perbanyakkan sedekah. Mulakan dengan membantu ahli keluarga terdekat terlebih dahulu, kemudian jiran, barulah masyarakat.

Jika kita tiada kemampuan wang pula bagaimana? Bantuan tidak semestinya dengan wang, kawan-kawan. Kita punya masa dan tenaga. Manfaatkan sepenuhnya. Jika kita benar-benar ingin membantu saudara kita, Tuhan akan permudahkan jalan.

Kesimpulannya, gaya pemikiran dan peribadi Uncle Kentang banyak mengaplikasikan ajaran Islam yang jarang diamalkan penganutnya sendiri. Jika semua orang mempunyai pemikiran seperti beliau, dunia pasti akan jadi lebih aman dan statistik kemiskinan dapat dikurangkan dengan lebih drastik.

Bacalah buku ini dan ambillah pengajaran untuk diamalkan di dalam kehidupan kita. Setiap pembelian buku ini, sebahagian jumlahnya akan disumbangkan untuk dana van jenazah dan ambulans.


Dapatkan buku-buku yang terkini dan beinspirasi daripada Kafe Konfess Buku dengan melayari kafe.konfessbuku.com.

Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca