Selamat Datang Ke Laman Web Konfess Buku
Ulasan Buku : Yang Singgah Dan Pergi

Ulasan Buku : Yang Singgah Dan Pergi

“Pengalaman akan menyebabkan fikiran teruja, emosi terusik dan hati merasa. Anak muda ini berjaya menarik aku ke zaman mudanya. Zaman yang darah dan tenaga masih membara dan menyala-nyala. Sungguh, Hafizul Faiz bukan sekadar menulis, tetapi dia berjaya menata satu rasa hingga kita sendiri ‘dipaksa’ membaca diri sendiri ketika membaca dirinya!”

Itu adalah antara sisipan prakata oleh Ustaz Pahrol Mohd Juoi. Macam menarik bukan ? Tapi apa yang menarik, sehinggakan membaca tulisannya seperti membaca diri kita sendiri ? Hampir tidak logik, bagaimana dua cerita kehidupan yang berbeza boleh difahami oleh cerita yang sama. Atau kita sebenarnya lupa, bahawa mesikpun cerita antara kita sedikit berbeza, tapi kita tetap berteduh di bawah langit yang sama, disuluh oleh matahari yang sama dan dibayangi oleh bulan yang sama?

Yang Singgah Dan Pergi.

Sebuah buku tentang perjalanan kehidupan Hafizul Faiz, penulis buku ini ketika beliau masih menuntut di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Saya mula mendapatkan dan membaca buku ini apabila dicadangkan oleh seorang pembaca buku. Katanya, buku ini mengisahkan tentang perjalanan kehidupan Hafizul Faiz semasa beliau belajar di kampus dulu. Pada mulanya saya jadi ragu, apa yang menarik cerita tentang kehidupan orang di kampus ini ? Semua orang yang pernah melalui zaman kampus, tentu tahu bagaimana perasaan dan suasananya. Lalu apa bezanya cerita antara kita ? Saya jadi buntu sesaat, mahu beli atau tidak. Sambil membelek buku ini, saya terbaca prakata Ustaz Pahrol Mohd Juoi seperti yang saya mulakan di atas, ditulis pada kulit belakang buku ini.

Selepas membacanya, saja jadi rela memberikan jawapan pada diri sendiri. Tentu ada kelainannya. Maka saya pun beli dan baca dengan permulaan nada yang bersahaja. Ternyata, ia bukan tulisan yang biasa. Bahasanya tidak kaku seperti kebiasaan buku travelog atau buku yang menceritakan tentang pengalaman. 60 bab telah dimuatkan dalam buku ini, akan tetapi setiap penceritaannya ada makna tersurat yang cuba disampaikan oleh penulis. Jalinan makna yang tersurat itu menghasilkan tafsiran kehidupan yang tersirat yang boleh kita refleksi pada perjalanan kehidupan kita. Maka tidak salah lagi buku ini diberi nama Yang Singgah Dan Pergi kerana itulah mesej umum yang penulis cuba sampaikan.

Tentang Penulis

Memetik daripada blog beliau, Hafizul Faiz atau nama penuhnya Mohd Hafizul Faiz Bin Hashim merupakan seorang penulis kelahiran Sik, Kedah. Beliau telah menamatkan pengajian  Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan Bahasa & Susastera Arab di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Setakat ini beliau telah menulis enam buah buku dan buku Yang Singgah Dan Pergi ini adalah antara buku best seller beliau.  Penulis juga aktif menulis di blog hafizulfaiz.com dan juga di Facebook. Beliau juga berkhidmat sebagai felo Jejak Tarbiah yang menjadi penerbit buku ini.

 Tentang Buku

Bagi saya penyampaian buku ini amat santai dan mudah difahami. Dalam relung masa dan tempat yang penulis cuba bawakan kepada pembaca, seringkali ada peristiwa yang cuba dicuri ibrah daripadanya. Penulis juga sempat menyelitkan citra penulisan yang berbagai seperti tafsir, sajak, kembara, suka, duka, sejarah dan pastinya sastera kerana itulah yang menjadi penambah rencah dalam penceritaan penulis. Lihatlah betapa mendalamnya rasa cinta penulis terhadap sastera, sehinggakan beliau berani menumpahkan ia dalam bentuk kata-kata yang mengharukan perasaan. Kata beliau :

“Keindahan itu leceh. Ia tidak datang kalau kita tidak mahu. Hati yang mahu kering tak akan pernah basah. Sukar untuk memindahkan perasaan cinta ini kepada orang. Keindahan itu ada dalam sastera. Dan sayang, ia bukan senang untuk dipindahkan. Hanya yang rasa sahaja tahu bagaimana sastera mengubah air mata menjadi ketawa. Dan sebaliknya. Kita akan tersenyum sendiri sambil berjalan, dan berhenti melihat. Betapa birunya langit  dan memerhatikan kapas awan yang indah, dan dengarlah, tiba-tiba jiwa kita bersuara menyusun kata-kata. Kita asyik mendengarnya sehinggalah kita menulisnya, dan menghantarnya kepada yang teristimewa. Tanyalah pada yang istimewa itu, berapa banyakkah kata-kata yang kita telah hantar padanya ? Dan lihatlah, dia sering gagal untuk membilang. Jawabnya cuma “Banyak!”

Saranan Membaca

Ada orang kata buku ini bagus untuk sesiapa yang hendak “Move On”. Ada juga orang kata buku ini bagus untuk sesiapa yang hendak melupakan kepahitan masa silam. Bagi saya, buku ini bagus kepada sesiapa yang cuba untuk memahami diri dan memaknai kehidupan melalui sela baris dan selang kata pada penceritaan oleh penulis. Meskipun penulis menceritakan tentang dirinya dan apa yang ditempuhinya, akan tetapi pembaca juga mampu memahaminya dengan makna dan tafsiran sendiri pada kehidupan yang dijalani.

Bagi menumbuhkan niat dan menarik minat anda untuk membaca buku ini, saya tinggalkan anda belayar bersama ulasan ini dengan beberapa perenggan daripada bab “Catatan Hujung Tahun : Pertemuan”. Selamat membaca !

“Hari ini datang dengan bukti-bukti. Kita mesti sedar bahawa kebebasan itu milik setiap insan. Kita tidak boleh terlalu memberi harapan kerana itulah bermulanya suatu kesakitan.

Mereka, insan-insan yang pernah hadir di dalam kamar keistimewaan dalam hati kita, suatu hari akan meninggalkan kita. Aturan itu pasti berlaku. Mereka akan pergi kerana mereka ada kehidupan sendiri. Dan hati kita bukan kehidupan mereka. Kita pun akan mula menghitung diri. Perlahan-lahan kita berundur. Langkah demi langkah. Kita belajar merelakan (atau sebenarnya kita belajar untuk tidak menunjukkan sebarang luka). Kita cuba menggunakan cara yang sama. Jika mereka lebih banyak diam daripada berbicara, kita pun cuba mengikut rentaknya. Jika mereka lebih banyak bersendiri dari bersama, kita pun sudah tidak mengajak lagi mereka bersemuka.

Kalau hari ini tiba-tiba mereka datang dan mengatakan kita sudah mencari ganti bagi tempat mereka selama ini, kita hanya mampu tersenyum sambil berkata dalam diri, mereka tidak pernah tahu betapa dasarnya tempat mereka dalam hati ini sehingga tak ada sesiapapun yang pernah sampai disitu lagi, melainkan mereka. Tak perlu kita menjawab secara berterus terang kerana hal itu tidak mengubah apa-apa. Biar kita dituduh dan dipersalahkan. Lebih baik kita dibenci kerana kejujuran dari disukai kerana penipuan.

Perjuangan yang paling perit adalah untuk menerima kenyataan bahawa mereka tidak pernah sedar betapa mereka sudah memiliki tempat yang paling dasar itu. Bermulanya tahun baru nanti, tempat itu bukan lagi kenyataan, tetapi hanya kenangan. Kenangan yang kita pegang untuk meneruskan gelora kehidupan. Kita tak mahu lagi berkawan dengan ‘tak mengapa’ kerana ia hanya meneruskan sakit dijiwa.

Selamat tahun baru. Berterima kasihlah kepada kebetulan yang tersusun indah ini. Dalam banyak sirat selirat kemungkinan, pertemuan adalah suatu persilangan. Dan di persilangan itu, ada kita, ada mereka. Persilangan itu barangkali hanya sekali dalam kehidupan ini.” – Hafizul Faiz, Yang Singgah Dan Pergi


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca