Selamat Datang Ke Laman Web Konfess Buku
Ulasan Buku : The Return Of Tuan Guru Nik Abdul Aziz – Ustaz Nik Omar

Ulasan Buku : The Return Of Tuan Guru Nik Abdul Aziz – Ustaz Nik Omar

Judul Buku: The Return of Tuan Guru Nik Abdul Aziz : Ustaz Nik Omar
Penulis: Hazrul Azrie, Tengku Nurhusni dan Nordianah
Penerbit: Amazing Books Publication
ISBN: 978-967-16372-0-3
Harga: RN35.00

Buku yang berkonsepkan ala biografi ini mengupas dan mendedahkan kepada khalayak siapa individu yang bernama Nik Omar Nik Abd. Aziz. Umum mengetahui nama ini tidak begitu dikenali oleh majoriti rakyat Malaysia terutamanya di luar Kelantan sehinggalah secara tiba-tiba beliau muncul sebagai calon Pakatan Harapan (PH) mewakili Parti Amanah Negara (Amanah) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang lepas. Kemunculan beliau mencetuskan pelbagai persoalan, spekulasi dan kontroversi sekali gus menarik perhatian khalayak apabila tidak bertanding atas tiket Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengikut jejak langkah almarhum ayahandanya Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

Buku yang ditulis oleh Hazrul Azrie, Tengku Nurhusni dan Nordianah ini bukan saja mengupas latar belakang dan peribadi Ustaz Nik Omar tetapi lebih penting dari itu memberikan gambaran menyeluruh perbandingan antara beliau dan almarhum ayahandanya sehinggakan ramai yang menggelarnya sebagai penyambung legasi Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

Melalui buku ini pembaca dapat menghayati dan memahami secara lebih mendalam siapa itu Ustaz Nik Omar, kenapa beliau bersama PH dan bukannya PAS, kenapa secara tiba-tiba terjun ke medan politik, serta pandangan beliau tentang Tun Dr Mahathir Mohamad dan imej dan konsep Islam yang diketengahkan dalam era Malaysia Baharu.

Para penulis buku ini juga berjaya mengupas dengan baik isi hati Ustaz Nik Omar merangkumi pelbagai skop perbincangan terutamanya membabitkan isu semasa dan politik tanahair. Ini sekali gus membolehkan pembaca mengenali dengan lebih dekat sosok tubuh bernama Nik Omar yang digambarkan mengubati rindu rakyat Malaysia kepada almarhum ayahandanya. Apa yang jelas buku ini memberikan pengetahuan kepada pembaca tentang aura yang dimiliki oleh Ustaz Nik Omar yang dilihat tenang, lembut, sentiasa tersenyum dan mudah didekati. Buku ini juga boleh membuatkan pembaca jatuh hati dan ingin mengenali dengan lebih dekat tentang aura dan perwatakan yang dimiliki oleh Ustaz Nik Omar. Tahniah kepada barisan penulis!


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca