Ulasan Buku : Ratu-Ratu Patani

Hai, Assalamualaikum dan salam sejahtera! Alhamdulillah setelah beberapa bulan tak menulis di sini, kali ini dapat menyempatkan masa menulis 1 lagi resensi untuk 1 lagi buku. Setelah beberapa bulan tertangguh-tangguh bacaan, akhirnya habis juga 😆. Baik, buku yang aku nak resensikan pada kali ini bertajuk ‘Ratu-Ratu Patani’. Sekali imbas pada tajuk, kita akan beranggapan bahawa buku ini menceritakan tentang ratu-ratu yang terkehadapan di sepanjang pemerintahan negeri Patani. Secara umumnya, minda kita akan terbayang ratu-ratu yang menonjolkan dirinya dalam pemerintahan di samping seorang raja sebagai suaminya. Ya, itulah apa yang aku bayangkan sebelum membaca buku ini. Setelah membaca, lain pula ceritanya.

Terdapat 2 perkara yang menarik di fikiran aku sewaktu membeli dan sebelum membaca buku ini. Pertamanya, tentang ilustrasi buku ini sendiri yang memaparkan perhiasan diraja bagi seorang ratu di alam Melayu. Ia bermula dengan mahkotanya yang berwarna hijau, diikuti dengan kalung-kalung diraja yang berwarna biru, ungu dan kuning. Umumnya, aku pernah mendengar tentang ratu-ratu pelangi melalui tontonan cerita bertajuk Queens of Langkasuka (2008) tetapi cuma sebatas itu sahaja. Jadi, ilustrasi ini telah mengujakan aku untuk mengetahui apa istimewanya ratu-ratu ini berbanding ratu-ratu yang lain. Setelah membaca, ketahuilah wahai pembaca-pembaca sekalian, inilah 4 ratu terawal dan terakhir yang memerintah Patani dengan memecahkan tradisi pada zaman itu yang lebih bersifat patriarki (sepanjang pembacaan aku pada buku ini). Kedua, sewaktu membeli buku ini dahulu, aku lebih tertarik dengan nilai sejarah Melayunya apalagi melibatkan negeri Melayu di negara jiran kita, Thailand. Tetapi apa yang membuatkan aku membacanya kali ini adalah kerana munculnya 1 pandangan yang aku dengar dari 1 forum melalui seorang pembicaranya. Beliau menyebutkan bahawa sudah tiba masanya untuk masyarakat memikirkan tentang perlunya wanita diberikan peluang untuk memegang tampuk pemerintahan tertinggi di Malaysia. Dan aku terus terbayang buku ‘Ratu-Ratu Patani’ ketika pandangan itu dilontarkan buat dijadikan batu loncatan untuk aku mulakan pembacaan buku ini. Cukup sekadar itu sahaja ya 😁.

Buku ‘Ratu-Ratu Patani’ ini telah ditulis oleh Isma Ae Mohamad, seorang penulis yang berasal dari Patani, Thailand itu sendiri. Walaupun dilahirkan di Thailand, tetapi beliau bersekolah di Malaysia sehingga memperoleh Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Jadi bagi aku, penulisnya memang telah memahami sejarah negeri Patani dengan baik dan juga turut mahir dengan lenggok penulisan bahasa Melayu di Malaysia. Ia adalah 1 nilai tambah yang baik untuk aku pilih dan baca buku ini. Buku ini telah diterbitkan oleh Institut Terjemahan & Buku Malaysia Berhad (ITBM). Cetakan pertamanya dibuat pada tahun 2015 iaitu kira-kira 7 tahun yang lalu. Oh ya, buku ini ditulis dalam bentuk novel ya! Melalui pembacaan, bahkan di awal-awal tajuknya sendiri telah dinyatakan bahawa buku ini adalah bertemakan sejarah berkenaan kisah cinta dan perang. Jadi proses penulisannya banyak berkisar tentang cinta dan pengorbanan pemerintah kepada tanah air selain turut diperkenalkan asal usul wujudnya Patani dan kaitannya dengan waris yang pernah memerintah kerajaan Langkasuka pada suatu masa dahulu. Ya, ratu-ratu pelangi yang 4 ini berketurunan pemerintah yang pernah mentadbir kerajaan Melayu Langkasuka dan mereka jugalah waris terakhir kepada keturunan tersebut. Menarik untuk diketahui, ratu-ratu pelangi ini bernama Ratu Ijau dengan 2 adindanya; Ratu Biru dan Ratu Ungu. Manakala Ratu Kuning yang terakhir ialah anakanda kepada Ratu Ungu. 2 ratu yang tidak berkahwin dan 2 ratu yang berkahwin. Kesemuanya beragama Islam.

Jika ditinjau dari sudut pembawakan setiap ratu-ratu tersebut, terdapat perbezaan penekanan yang agak jelas dalam cara mereka memerintah. Ratu Ijau misalnya yang mula diangkat selepas kemangkatan kekandanya Sultan Bahadur akibat pembunuhan sesama kerabat. Aku melihat Ratu Ijau sebagai seorang yang telah sedia terbina jati dirinya sebagai pemerintah akibat dari gemarnya meneliti tinggalan-tinggalan atau kisah-kisah dari moyang keturunannya. Baginda Ratu Ijau bijak mengambil iktibar dari sejarah-sejarah yang pernah dilalui oleh waris-waris pemerintah yang terdahulu. Ratu Biru pula sebagai ratu yang kedua selepas kemangkatan Ratu Ijau. Baginda Ratu Biru ialah seorang yang tegas dalam memerintah. Prinsip dirinya jelas dan kuat dalam membina negeri Patani untuk kelangsungan pada masa akan datang. Baginda jugalah yang bertekad tidak akan berkahwin bagi menemani dan membantu kekandanya Ratu Ijau semasa mentadbir negeri Patani. Ratu Ijau juga tidak berkahwin ya kalau anda nak tahu! Walaupun begitu, mereka peka dengan keadaan semasa Patani dan telah mengahwinkan adinda mereka Ratu Ungu dengan seorang Sultan dari semenanjung tanah Melayu pada ketika itu. Mereka yang meminta kepada Sultan tersebut tau! Women’s power! 😆. Ratu Ungu pula seorang yang kuat semangat keMelayuannya akibat lama berada di tanah Semenanjung bersama suaminya. Setelah kemangkatan suaminya, barulah Ratu Ungu pulang bersama-sama anakandanya Ratu Kuning bagi membantu Ratu Biru memerintah Patani. Semangat keMelayuan yang kuat pada Ratu Ungu telah diterapkannya ke Patani sewaktu zaman pemerintahannya. Manakala Ratu Kuning pula dilihat sebagai seorang yang bijak dalam berdiplomasi dan tidak gemarkan keganasan dan peperangan. Sewaktu kemuncak kegemilangan Ratu Kuning, Patani telah bermandiri dengan syarikat perkapalannya sendiri sehingga negeri dilimpahi dengan harta yang sangat banyak. Penamat kejatuhan ratu-ratu pelangi? Anda perlulah membaca buku ini bagi memahami dan merasainya sendiri.

Antara isi yang mengesankan aku pada buku ini ialah, kebanyakan masalah yang timbul semasa pemerintahan ratu-ratu pelangi ini datangnya dari unsur dalaman Patani sendiri. Dalam erti kata lain, sikap orang Melayu itu sendiri! Dan aku merasakan masalah yang sama masih berlaku dalam pemerintahan orang Melayu hingga ke hari ini. Selain itu, aku turut tertarik dengan penjelasan penulis tentang konsep raja yang diguna pakai oleh kerajaan Siam dari awal penggunaannya hingga ke zaman pemerintahan ratu-ratu pelangi ini. Betapa besarnya perubahan yang dilakukan bagi menjaga kedaulatan institusi diraja. Ia perubahan yang bersifat keras tetapi itulah pemangkin yang mereka gunakan bagi meluaskan tanah jajahan mereka sehingga mampu menakluk negeri-negeri Melayu di utara Patani. Ketika membaca buku ‘Ratu-Ratu Patani’ ini juga, aku merasakan seperti terdapat sedikit kontradiksi berkenaan teknologi  persenjataan dan kemahiran orang Melayu dalam ilmu Maritim. Ini kerana aku pernah membaca sebelum ini bahawa kerajaan Melayu Melaka dahulu sewaktu berperang dengan Portugis tidak hanya sekadar menggunakan senjata tradisional seperti keris dan lembing sahaja tetapi telah maju dan mengguna pakai senjata seperti terkul, pemuras, istinggar, lela, rentaka, meriam dan sebagainya. Manakala ilmu Maritim pula, aku selalu mendengar bahawa orang Melayu ialah satu bangsa yang amat mahir di laut pada suatu ketika dahulu. Tetapi di dalam buku ini, diceritakan bahawa orang Melayu Melaka dahulu terkejut ketika dibedil oleh Portugis semasa perang dan sekali gus baru diperkenalkan oleh penjajah tentang teknologi persenjataan moden. Berkenaan ilmu Maritim pula, diceritakan di dalam buku ini bahawa Ratu Biru sendiri mangakui ilmu Maritim bangsa asing lebih hebat daripada kepunyaan Patani yang memang diketahui kedudukannya di pinggir laut. Kontradiksi ini menjadikan pembacaan aku sedikit keliru dan terganggu kerana terasa seperti dimomokkan dengan stigma bahawa orang Melayu itu mundur dan lemah. Berkenaan susunan ayat dan bahasa pula, tiada apa-apa masalah kerana susunan ayat penulis memang baik dan bahasanya juga mudah difahami.

Mengakhiri penulisan resensi ini, aku berpandangan bahawa buku ‘Ratu-Ratu Patani’ ini adalah sebuah kisah yang penuh dengan naik turun dan suka duka 4 orang pemerintah perempuan dalam memecah tradisi pemerintahan di Patani, selatan Thailand pada abad-abad yang terdahulu. Ia berlaku sewaktu Patani masih lagi bergelar negeri Melayu yang bebas tanpa taklukan mana-mana pihak. Mungkin ia tidaklah 100% berdasarkan fakta yang berlaku, namun sepertimana kata-kata Syeikh Daud Abdullah al-Fatani (diletakkan penulis di muka surat awal buku ini) dalam Muqaddimah, ‘Tarikh Patani’ mengatakan;

“Maka tiap-tiap tarikh zaman dahulu payah tahu kebenaran yang sahih kerana zaman jahil tiada tahu menulis dan membaca, bahkan dengan riwayat sahaja. Tetapi sesungguhnya mesti ada juga dalam riwayat itu yang betul dan yang bohong pun ada juga. Dan janganlah kita jadi hairan akan mana yang bohong dan mana yang betul. Hanya kita boleh tahu sahaja banyak-banyak hendak mengenal asal-usul daripada masa zaman dahulu dan perkara sungguh atau bohong.”

Jadi, aku meletakkan nilai buku ini lebih kepada nilai hikayat dan sastera melebihi nilai fakta sejarahnya. Membacanya membuatkan aku berfikir mana yang perlu disanjung dan mana yang perlu disanggah pada sikap juga sistem pemerintahan dan barisan kepimpinan yang ada pada hari ini walaupun dengan selemah-lemah niat di hati. Sungguhpun kita tak mampu melawan kuasa yang lebih besar, setidak-tidaknya kita mampu membina jati diri sendiri dan memperkembangkannya dalam jangka masa panjang.

Sekian.


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Khairul Anuar Abdul Razak
Khairul Anuar Abdul Razak

a noob reader, therefore a noob writer ✌🏼

facebook: https://www.facebook.com/profile.php?id=100001328036465

Articles: 10