Selamat Datang Ke Laman Web Konfess Buku
Ulasan Buku : Eat That Frog

Ulasan Buku : Eat That Frog

“Begitu banyak yang perlu dilakukan dalam waktu begitu singkat. Namun, sangat sedikit masa yang kita ada. “Eat That Frog” adalah teknik terhebat bagi membunuh kemalasan dan membereskan lebih banyak kerja dalam masa yang singkat.”

Eat That Frog ialah salah sebuah Buku Bestseller Antarabangsa, karangan Brian Tracy. Buku ini mempunyai dua versi di pasaran Malaysia iaitu versi Bahasa Inggeris dan versi Bahasa Melayu (terjemahan dari karya asal). Saya membaca buku ini yang edisi Bahasa Melayu, diterjemahkan oleh Lathifa Ulfa Ismail melalui terbitan PTS.

Di dalam buku ini, penulis menggunakan katak sebagai simbol kepada tugasan. Kerana itu tajuknya “Eat That Frog” atau “Makan Katak Itu”. Saya kira penulis mengambil idea simbolik ini dari kata-kata Mark Twain yang dikongsikan di bahagian Pengenalan, “Sekiranya kamu perlu makan seekor katak pada setiap pagi, kamu perlu bersyukur kerana itulah perkara terburuk yang mungkin berlaku pada hari itu.” Tugasan yang paling susah digambarkan dengan katak yang paling hodoh, manakala tugasan sampingan dianggap seperti berudu.

Dua peraturan memakan katak (menyelesaikan tugasan), yang pertama ialah sekiranya kita perlu makan dua ekor katak, makanlah yang paling hodoh dahulu. Ia bermaksud sekiranya kita mempunyai dua tugasan penting, buatlah tugasan yang paling susah dahulu. Peraturan kedua ialah sekiranya kita perlu makan seekor katak hidup-hidup, makanlah dengan segera. Tiada gunanya sekadar duduk dan merenung katak itu lama-lama. Ia bermaksud jangan tangguhkan tugasan penting kita setiap hari. Kita perlu mendisiplinkan diri untuk menyelesaikan tugasan tersebut.

Ringkasnya, buku ini berkongsi 21 tips untuk mengurus kehidupan yang dilimpahi kerja yang banyak dengan masa yang terhad. Kita selalu mengeluh tentang masa yang tidak mencukupi untuk menyiapkan kerja, tidak kira sama ada sebagai pelajar atau pekerja ditambah pula tanggungjawab terhadap keluarga dalam memainkan peranan masing-masing. Masa sering dituduh mencemburui kita, benarkah? Atau manusia yang tidak bijak mengendalikan masa? Penulis mengatakan, sebenarnya kita mampu mengawal masa dan kehidupan dengan mengubah cara berfikir, cara bekerja dan mengubah cara kita melaksanakan tanggungjawab harian. Oleh itu, buku ini akan membantu kita mengawal masa supaya kita dapat menjalani kehidupan dengan lebih sihat dan bahagia.

Dalam pembacaan saya, 21 tips yang diberikan saya bahagi kepada dua kerangka fokus. Kerangka fokus yang pertama merangkumi 8 tips yang membantu pembaca untuk mengenali tugasan masing-masing. Ia berkisar tentang penentuan matlamat, membuat senarai tugasan, bagaimana menyusun perancangan dan memilih tugasan yang berimpak serta strategi penangguhan. Setelah mengenali matlamat dengan jelas dan tugasan-tugasan, kerangka fokus yang kedua ialah tentang bagaimana tugasan kita boleh dilakukan dengan lancar. Ia mengandungi 13 tips berikutnya. Antaranya ialah tingkatkan kemahiran utama, kembangkan bakat, kenalpasti halangan utama, beri tekanan kepada diri, selalu memotivasikan diri dan tips yang terakhir, iaitu tips ke 21 ialah Amalkan Kesemuanya!

Buku Eat That Frog ini perlu dibaca oleh orang yang selalu kata dirinya sibuk, juga sesiapa yang pernah mengeluh tidak cukup masa untuk menyelesaikan tugasan di tempat kerja dan di rumah. Jangan risau dan takut tidak dapat menghadam isi kandungannya kerana buku ini mesra pembaca awam. Terma-termanya mudah difahami, nipis sahaja; 125 muka surat tetapi bercerita tentang sesuatu yang besar – pengurusan kehidupan.

Selamat membaca ! Semoga bermanfaat.

#MalaysiaMembaca

 


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca