Selamat Datang Ke Laman Web Konfess Buku
Ulasan Buku : How To Win Friends And Influence People

Ulasan Buku : How To Win Friends And Influence People

“When dealing with people, let us remember we are not dealing with creatures of logic. We are dealing with creatures of emotion, creature bristling with prejudices and motivated by pride and vanity. “ – Dale Carnegie

Adakah anda mengalami masalah dalam berkomunikasi seperti berikut ;

  • Anda tidak tahu bagaimana untuk menjadikan seseorang yang baru kenal itu sebagai kawan ?
  • Anda mudah untuk bertegang urat dengan orang yang berbeza pandangan dengan anda ?
  • Anda rasakan anda mempunyai pandangan yang bagus tapi malangnya pandangan tersebut sukar sekali diterima orang lain ?
  • Anda cuba untuk mengubah seseorang menjadi lebih baik tapi selalunya anda gagal melakukannya ?
  • Anda mempunyai seorang anak ataupun kawan yang sangat sukar mendengar cakap dan menerima teguran anda ?

Saya yakin bahawa masalah-masalah yang dinyatakan diatas adalah masalah yang sering berlaku dalam perhubungan dan percakapan seharian samada antara keluarga, kawan-kawan atau juga dengan orang yang kita selalu berkomunikasi.  

How To Win Friends And Influence People merupakan sebuah buku kategori self-help yang ditulis bagi membantu pembaca tentang bagaimana untuk kita berurusan dengan manusia dari sudut kemahiran percakapan dengan cara yang betul. Buku ini ditulis oleh Dale Carnegie, seorang penulis Amerika yang terkenal dalam membangunkan nilai dan kemahiran manusia melalui penulisan, pengucapan awam dan juga latihan korporat. Buku ini telah berjaya dijual dengan jumlah 16 juta salinan dan sejurus itu menjadikan buku ini antara buku hangat di pasaran. Nasihat serta panduan yang ditunjukkan oleh penulis dalam buku ini sangat membantu banyak perkara yang berkaitan dengan perhubungan dan komunikasi. Antaranya bagaimana untuk menjadikan seseorang itu sebagai kawan dengan mudah dan cepat, bagaimana untuk menangkan cara fikir kita ke atas orang lain tanpa paksaan, serta bagaimana untuk tingkatkan kemahiran berkomunikasi dan jadikan kita lebih menarik.

Secara ringkasnya, buku ini dibahagikan kepada empat bahagian. Bahagian pertama menyentuh kepada teknik asas dalam menguruskan manusia. Bahagian kedua menceritakan teknik rahsia bagaimana untuk menjadikan orang suka terhadap kita. Bahagian ketiga memberikan panduan bagaimana untuk menangkan pemikiran kita ke atas orang lain. Akhir sekali bahagian keempat mengajarkan kita tentang bagaimana untuk mengubah manusia tanpa memberikan kesan ataupun membangkitkan kemarahan.

Apa yang menarik tentang buku ini ?

Sebolehnya saya mahu ulas setiap bab yang ada dalam buku ini kerana bagi saya, kesemua bab dalam buku ini sangat penting untuk difahami dan diambil manfaat daripadanya. Pada setiap bab yang ditulis itu, dihuraikan kemahiran penting dalam berkomunikasi terhadap manusia. Namun begitu untuk ulasan buku ini, saya hanya ingin menyentuh tiga sub tajuk daripada bahagian pertama buku ini mengenai teknik asas dalam menguruskan manusia. Selebihnya saya simpan untuk anda baca sendiri kerana apa yang anda akan dapat daripada pembacaan buku tersebut lebih banyak daripada apa yang saya ulas disini.

 

Prinsip 1 : Jangan mengkritik, mengutuk atau mengadu

Sub tajuk pertama ini menyentuh dalam tentang pentingnya untuk kita tidak mudah mengkritik, mengutuk atau mengadu tentang orang lain kerana hal ini sukar untuk mengubah seseorang menjadi lebih baik bahkan kadangkala bertambah buruk. Sebab apa ? Sebab apabila kita tidak bersetuju dengan seseorang dan kita mula mengkritik dan mengutuknya, kita telah meletakkan orang tersebut dalam kandang pesalah sebelum difahami keadaannya. Hal ini seterusnya akan menyebabkan individu tersebut cuba untuk mempertahankan dirinya daripada segala serangan menjatuhkan dirinya dan dia tidak mahu lagi mendengar, menerima pandangan kita dan membetulkan apa yang salah.

Dalam erti kata lain, kritikan adalah sia-sia kerana ia hanya akan meletakkan seseorang pada mod pertahanan dan biasanya akan membuatkan individu tersebut berusaha untuk membenarkan dirinya sendiri walaupun  dia tahu bahawa dia telah salah. Maka sebab itu penting untuk kita fahami keadaan seseorang terlebih dahulu supaya dengan itu akan menyebabkan dia berasa selesa untuk menerima nasihat dan teguran dan juga berasa dirinya dapat diterima semula meskipun telah melakukan kesalahan. Saya nukilkan disini beberapa petikan daripada tulisan Dale Carnegie dalam sub tajuk pertama ini. Katanya ;

“ Instead of condemning people, lets try to understand, them. Let’s try to figure out why they do what they do. That’s a lot more profitable and intriguing than critism; and it breeds sympathy, tolerance and kindness. ‘To know all is to fogive all.”

As Dr Johnson said : ‘God himself, sir, does not propose to judge until the end of his day.’ Why should you and I ?

 

Prinsip 2 : Berikan penghargaan yang jujur dan ikhlas

Pada bab yang kedua in, Dale Carnegie menyebutkan bahawa untuk membuatkan seseorang itu berbuat sesuatu untuk kita, kita harus beri apa yang dia sebagai seorang manusia mahu. Secara asasnya, duit dan makanan merupakan antara perkara yang manusia mahukan. Akan tetapi terdapat satu perkara lagi yang lebih manusia perlukan dalam berurusan sesama manusia iaitu dengan menjadikan individu tersebut merasakan bahawa dirinya sangat penting dan diperlukan. Dalam urusan seharian, tanpa kita sedari kita telah banyak mengambil kesempatan terhadap orang lain tanpa memberikan penghargaan kepadanya. Kata Dale Carnegie ;

“One of the most neglected virtues of our daily existence is appreciation. Somehow we neglet to praise our son or daughter when he or she brings home a good report card, and we fail to encourage our children when they first succeed in baking a cake or building a bird house. Nothing pleases children more than this kind of parental interest and approval.”

Namun begitu, dalam masa yang sama kita juga harus tahu bahawa terdapat perbezaan antara memberikan penghargaan dan memberikan pujian. Pujian itu datangnya daripada lidah sedangkan penghargaan itu datangnya daripada hati. Penghargaan yang datang daripada hati akan membuatkan orang lain juga menghargai apa kita berikan kepadanya samada dalam bentuk kata-kata, hadiah atau juga kebaikan yang kita lakukan terhadapnya. Saya masih ingat lagi akan satu kata-kata yang menarik ini ;

People will forget what you said, people will forget what you did, but people will never forget how you made them feel.”

 

Prinsip 3 : Berikan apa yang orang lain mahukan bukan apa yang kita mahukan

Buku ini menjadi lebih menarik apabila masuk kepada perbincangan bab ketiga iaitu tentang bagaimana untuk mempengaruhi orang lain iaitu berikan kepadanya apa yang dia mahukan bukan apa yang kita mahukan. Cuba anda perhatikan ungkapan ini “If there is any one secret of success, it lies in the ability to get  the other person’s point of view and see things from that person’s angle as well as from own.”

Contoh yang mudah untuk difahami adalah melihat kepada situasi apabila kita cuba untuk menjual sesuatu barang atau produk. Untuk menjadikan sesuatu barang itu laku, kita tidak boleh menceritakan apa yang kita mahu dan perlu, tapi kita harus menceritakan apa yang pelanggan itu perlu, mahu dan bagaimana sesuatu barang itu dapat memberikan manfaat kepadanya. Dengan cara ini, ia dapat menarik perhatian individu tersebut seolah-olah kita memahami akan keperluannya sedangkan apa yang kita lakukan cuma melihat keperluan daripada kaca mata individu tersebut. Saya nukilkan disini beberapa tulisan daripada penulis buku ini ;

“The world is full of people who are grabbing and self-seeking. So the rare individual who unselfishly tries to serve others has an enormous advantage. He has little competition.”

 

“Of course, you are interested in what you want. But no one else is. The rest of us are just like you: we are interested in what we want.”

Sisi Pandang Peribadi

Pertama kali saya melihat kulit buku ini, saya rasakan bahawa buku ini cuma penting untuk orang yang ingin mendalami pengetahuan tentang kepimpinan dalam sosial. Setelah saya mulai baca dengan bab yang pertama, ternyata ia lebih daripada apa yang saya sangkakan. Dalam keadaan kita seharian yang banyak berkomunikasi, berhujah dan bersosial sama ada secara berdepan ataupun di alam maya, kita seringkali mudah terjatuh dalam pertelingkahan dan pergaduhan sehinggakan kadangkala keluar kata-kata yang kesat yang akhirnya menjadikan seseorang atau sesuatu keadaan itu semakin buruk. Buku ini saya kira sudah patut dibaca oleh setiap rakyat Malaysia dalam membaiki kemahiran berkomunikasi dengan lebih baik, terutama dalam hidup berkeluarga, berkawan dan bekerja.

Saranan

Sapa yang perlu baca buku ini ? Buku ni saya kira sangat bagus dibaca oleh orang yang mahukan perubahan dalam berkomunikasi terhadap orang lain lebih baik terutamanya apabila melibatkan kita dengan kawan, ibu bapa dengan anak, guru dengan anak murid, majikan dengan pekerja, atau juga kita dengan sesiapa sahaja yang kita sering berkomunikasi termasuk di media sosial. Sebuah buku yang saya kira sarat dan padat dengan pelbagai tips dan teknik yang sangat membantu kita untuk berkomunikasi dengan lebih baik.

Saya juga ingin sarankan buku ini kepada institusi atau individu yang melakukan gerak kerja dakwah kerana buku ini sangat membantu dalam menyampaikan sesuatu mesej itu dengan lebih baik dan supaya mudah diterima oleh orang lain. Saya kira segala kemahiran dan tunjuk ajar yang dihuraikan dalam buku ini sangat penting kepada seorang pendakwah dalam mendepani cabaran berkomunikasi dan pemikiran yang pelbagai. Moga dengan membaca buku ini kita dapat bersama memanfaatkannya dan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang lebih baik. Selamat membaca !

Diulas oleh : Syafiyullah Yahya


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca