Selamat Datang Ke Laman Web Konfess Buku
Ulasan Buku : Tenang Ada Di Sini

Ulasan Buku : Tenang Ada Di Sini

Tajuk buku: Tenang Ada Di Sini

Tahun Terbit: 2016

Pengarang: Ustaz Pahrol Mohd Juoi

“Ketenangan adalah sesuatu yang mahal harganya apatah lagi di akhir zaman ini.”- Ustaz Pahrol Mohd Juoi

Pertama kali membelek buku ini sekitar 2017 lalu membuat diriku tertanya-tanya tentang isi buku ini. Akhirnya, perasaan ingin tahu yang menebal membuatkan aku bertindak membeli buku ini akhirnya. Melihat isi kandungannya yang ‘ranum’ dan mantap menjadikan aku semakin bersemangat untuk membacanya.

            Ustaz Pahrol Mohd Juoi adalah satu nama yang tidak asing lagi untuk diperkenalkan. Buah fikiran dan lantunan nasihatnya yang penuh berhikmah menyebabkan audiens semakin berminat dan berhajat untuk mengutip seberapa mungkin mutiara ilmu dari beliau. Buku Tenang Ada Di Sini ini satu daripada buah fikiran dan mutiara ilmu beliau.

            Tenang. Satu kalimah yang mudah dilafaz dari bibir namun sukar diterjemah dari fizikal. Dari mana datangnya tenang? Mengapa tenang? Berfungsikah tenang dalam kehidupan manusia? Semua itu diulas dengan cukup mantap oleh pengarang apatah lagi dipadankan pula dengan hujah-hujah naqli, iaitu al-Quran dan al-Sunnah dan hujah aqli, iaitu  pemikiran dan pengamatan. Ustaz Pahrol juga sering membawa hujah-hujah yang membuatkan pembaca buku ini tersedar tentang hakikat dan falsafah tenang itu sendiri.

            Bahagian yang aku rasa menarik untuk diulas dalam buku ini ialah tentang tenang dan kaitannya dengan revolusi ketamadunan. Ustaz Pahrol sekali lagi memukau dan membawa pembacanya berfikir sejenak tentang isu-isu dan perubahan dalam struktur ketamadunan itu menurut perilaku dan pemikiran penghuninya. Jika penghuninya tenang, maka tamadunnya dilihat akan melalui proses revolusi dengan tenang dan bersahaja.Begitulah pula sebaliknya.

            Satu lagi bahagian yang mencuri tumpuan aku ialah tentang cinta dunia dan akhirat. Ustaz Pahrol menegaskan bahawa mencintai akhirat adalah penting namun ini tidak bermakna kita meminggirkan dunia. Dunialah tempat untuk para manusia menanam amalan dan akhlaknya agar dapat dituai di akhirat kelak. Ringkasnya, cintakan akhirat tetapi jangan pinggirkan dunia sementara cintakan dunia tetapi jangan lupakan akhirat.

            Aku sangat mencadangkan kepada sesiapa yang masih mencari bahan bacaan kerohanian untuk membaca buku ini. Sangat membantu dalam proses mencari ketenangan.

Tenang Ada Di Sini…… Di hatiku yang tulus murni……

Diulas oleh Muhamad Fariz bin Azmi


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca