Ulasan Buku : Tip Belajar Agama Di Waktu Sibuk

Nama buku: Tip Belajar Agama di Waktu Sibuk

Penulis: Syaikh Muhammad Shalih Al-Munajjud & Dr. Ubaid bin Salim Al-Amri

Muka surat: 160

Penerbit: Kiswah Media

Tahun terbit: 2013

Cetakan: Pertama

Perjalanan potret hidup para ulama salafussoleh yang amat bersemangat mendalami ilmu sangat mengagumkan kita sebagai pencinta ilmu. Kecintaan mereka kepada ilmu melebihi cinta kepada isi dunia sehingga menjadikan mereka insan yang lebih teguh dan serius membekalkan diri dengan ilmu.

Tidak cukup setakat itu, mereka juga gagah keluar berkelana ke seluruh kota demi mendengarkan hadis daripada para masyaikh meskipun perjalanan memakan masa berjam-jam dan terkena sinaran matahari yang menyengat. Allahuakbar. Bukankah ini benar-benar menginspirasikan kita?

Ulama juga seperti kita, Nabi Muhammad SAW juga manusia. Memenuhi keperluan makan, minum, dan menyiapkan urusan dunia. Namun, apa yang membezakan kita dengan mereka ialah mereka tidak pernah meninggalkan ilmu hingga ke hujung nyawa.

Sibuk macam mana sekalipun, ilmu tetap dikaut kerana tanpa cahaya ilmu, hidup kita akan gelap gelita.

Antara buku yang sesuai untuk membantu kita menguruskan masa mempelajari ilmu-ilmu agama ialah buku karangan Syaikh Muhammad Shalih Al-Munajjid dan Dr. Ubaid bin Salim Al-Amri yang berjudul Tip Belajar Agama di Waktu Sibuk.

Naskhah ini memuatkan tip dan cara bagaimana panduan menuntut ilmu dalam keadaan manusia sedang dibadai oleh kesibukan yang tidak pernah menemukan cuti panjang. Buku ini mengandungi dua bab penting bagi memastikan pembaca mendapatkan manfaat dan memantapkan keyakinan diri menuntut ilmu syar’i.

Pada bahagian pertama, penulis menyedarkan kita akan kelalaian yang mengganggu konsentrasi semasa belajar ilmu agama. Ada hal yang perlu dibaiki, ada hal yang perlu dijauhi. Selain itu, terdapat kisah hidup ulama seperti Syaikh Muhammad Nashiruddin yang dilakarkan untuk kita mendalami kisah hidup beliau begitu dahaga akan ilmu.

Walaupun sibuk bekerja sebagai tukang membaiki jam, beliau tidak pernah mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga dan ilmu. Malahan, kerana kesungguhan berulang alik ke Perpustakaan Azh-Zhahiriyah, beliau akhirnya berhasil melahirkan karya-karya agung yang menjadi rujukan di pelosok dunia.

Bukan itu sahaja, tekad dan niat yang lurus turut disentuh dalam bahagian ini serta pemilihan waktu yang tepat ketika menimba ilmu tanpa perlu meninggalkan perkerjaan dengan sistematik dan teratur ada diperincikan lebih lanjut.

Bahagian kedua inilah yang menjadikan kita sebagai penuntut ilmu yang sukses apabila kita berjaya mengamalkan empat langkah yang membantu kita bersabar mendaki puncak ilmu.

Disebutkan dalam buku ini bahawa ulama hadis Ibrahim al-Harabi tidak pernah meninggalkan majlis ilmu selama 50 tahun. Setiap hari, Imam Nawawi melazimi 12 majlis ilmu. Imam Ahmad belajar bab haid sahaja selama 9 tahun lamanya. Masya-Allah.

Kisah mereka ini sudah cukup membuktikan kewajipan mencari ilmu dalam pelbagai kaedah baik melalui majlis-majlis ilmu ataupun dengan gaya membaca. Banyak lagi kisah-kisah yang menonjolkan perjuangan ulama dalam menggapai ilmu dan semestinya kisah mereka ini meninggalkan iktibar yang amat dahsyat dan mencetuskan satu motivasi kepada kita.

Mencari ilmu adalah kewajipan kita sebagai umat Islam tidak kira lelaki ataupun wanita. Urusan dunia yang memenatkan tubuh dan fikiran, tidak sepatutnya menghakis keinginan kita meneguk ilmu di luar sana.

Kadang-kadang bukanlah kerana kita tidak mempunyai waktu meluangkan masa sedikit untuk memperkemaskan ilmu di dada. Tetapi kerana, kita sendiri yang bermalasan, tidak konsisten dan tiada kesedaran akan kewajipannya.

Buat yang masih tidak tahu apakah formula bernas untuk tetap kekal aktif mencari ilmu dalam keadaan kesibukan yang sering menjerat, buku ini hadir memberi jawapan.

Kendatipun kita berada dalam fasa-fasa sibuk senantiasa, pastikan sehari kita memperoleh sesuatu ilmu yang baharu untuk diamalkan. Rancanglah masa demi tuntutan agama, kerana orang yang menuntut ilmu Allah SWT akan permudahkan jalannya ke Syurga. Selamat mencuba.

“Imam Nawawi biasa membantu ayahnya di tokonya yang kecil. Namun hal ini tak membuatnya lalai dari membaca dan menghafal al-Quran dalam usia dini.” Nukilan dalam Tip Belajar Agama Di waktu Sibuk hal. 8.


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Syuhara Suriati
Syuhara Suriati

Penulis artikel, antologi dan anekdot.🌷Isteri suri membaca dan menulis 🌷

Articles: 67