Ulasan Buku : Murka Lautan

Judul: Murka Lautan.

Penulis: Zurinah Hassan.

Penerbit: Institut Terjemahan & Buku Malaysia

Tahun Penerbitan: 2016

Jumlah Halaman: 166

“Impulsif dan kompulsif tidak seharusnya berpatisipasi, sebagaimana air dan minyak yang tidak sesekali bersebati”.

Karya ini telah menempatkan letaknya nilai kesusasteraan sebuah naskhah yang begitu baik, kerana menerusinya tersembur limpahan idea bagi menggambarkan keseluruhan cerita dengan menggunakan satu ayat sahaja sebagaimana mukaddimah di atas. Meskipun frasa pembukaan di atas tidak terdapat di dalam naskhah ‘Murka lautan’, namun secara jujurnya ia diperoleh menerusi bacaan karya yang unggul ini. Begitulah manfaat buku cerita, bila mana pembaca dapat mengolah dengan gaya penceritaan yang berbeza dengan sinonim maksud yang sama. Perlu diketahui bahawa, cerita pendek atau singkatannya cerpen yang ditulis oleh Zurinah Hassan bukanlah sekadar genre fiksyen yang diulit imaginasi penulis semata-mata. Walhal menurut penulis, ia merupakan watak ciptaan yang dipersembahkan daripada kepelbagaian isu yang berlegar daripada masyarakat. Mengapa penulis memilih cerpen dan bukan puisi atau madah pujangga? Kerana impak cerpen yang memberi ruang perbincangan  dan mengalukan diskusi yang lebih luas.

            Meninjau halaman dengan dakwat tebal, ‘Kandungan’ mempamerkan 10 nama cerpen yang bakal dihadam oleh pembaca, yang mana berjaya memaku tumpuan pembaca untuk terus berteleku menghadap buku. Kesemua cerita pendek atau cerpen ini tiada kaitan hubungan antara satu sama lain, melainkan dikumpulkan bersama dalam satu naskhah. Kisah pertama berjudul ‘Cerita berangkai hulu negeri’, diiukuti oleh ‘Kaduk, ayam dan raja’, ‘Menara impian’, ‘Murka lautan’, ‘Tangisan peragut’, ‘Kecurian di kedai ayah’, ‘Kerongsang berlian Wan Tempawan, ‘Nenek Blogger 1 dan 2’ dan ceritera terakhir ialah ‘Sumpah Kuala Kedah’. Sesuai dengan nama judul buku yakni ‘Murka Lautan, suka saya kongsikan salah satu cerpen yang terkandung dalam sebungkus cerpen ini iaitu cerpen ‘Murka Lautan’ itu sendiri. Sedari awal sudah melintas lalu persoalan mengenai makna tersirat daripada tajuk buku yang telah menggabungkun unsur perasaan iaitu ‘Murka’ dengan metafora alam, yakni ‘Lautan’. Setelah menghabiskan bacaan dalam cerpen ini, rupanya ia mengisahkan mengenai sebuah pantai yang termasyhur sebagai tumpuan kemaksiatan. Lautan alam yang disimbolikkan sebagai sumber ketenangan telah dilencongkan fungsinya ke arah murka Tuhan.

            Phuket, Thailand yang disebut-sebut kerana pantainya putih bersih dengan butir pepasir yang terhampar meluas dipagari lambaian kelapa yang melayang dan menari-nari menyenangkan hati yang sunyi dengan hidonisme. Namun, kedapatan aktiviti lain yang berselindung dibalik tarikan keindahan alam yang disediakan oleh Tuhan kepada seisi semesta bumi. Inilah yang dimanfaatkan oleh Srinaga untuk menghancurkan reputasi Zahid demi keuntungan perniagaannya iaitu My Ayam dan bisnes tambahan lain yang menjurus ke arah kerosakan pemikiran anak muda. Angkara menyelamatkan kegiatannya yang menyajikan cakera pornografi namun berselindung di bawah nama perkhidmatan internet, Srinaga sanggup berpakat dengan Bing Jim dan Joe untuk memperdayakan Zahid bagi merakam video lucah Zahid dengan model upahan. Bagai yang dikata oleh Srinaga, termakan umpan dan terjerat mata pancingnya.

            Zahid yang menyandang jawatan sebagai  Pegawai Tinggi Pembangunan Generasi Muda dan menjadi teraju utama serta pemikir penting dalam merancang pelbagai pembaharuan kepada rakyat menjadi sasaran Srinaga dalam prospek kerjayanya. Namun, hubungan yang dijalinkan dengan orang besar dalam kementerian seperti Zahid, rupanya ada udang di sebalik batu. Muslihat Srinaga yang berkomplot dengan Bing Jim dan Joe bukan sekadar melibatkan pangkat Zahid, namun turut mengaitkan Su yang merupakan gadis desa yang berbunga hasrat menjadi seorang model dalam majalah berprestij. Intisari majalah keluaran syarikat Bing Jim yang ingin mencemarkan agama Islam melalui sesi fotografi berunsur pornografi. Ini kerana Bing Jim merancang agar model melakukan aksi membuka tudung setelah tiba di masjid kerana tertarik dengan lelaki Inggeris yang menggodanya di masjid tersebut. Setelah itu, model Islam tersebut pula diperdaya untuk sebuah rakaman lagi agar Zahid difitnah sebagai seorang ternama yang jelek perilakunya.

Umpama sambil menyelam minum air, Bing Jim memperoleh untung menerusi jualan majalah tersebut, manakala Srinaga dapat menggeksploitasi rakaman video sulit Zahid untuk memeras ugut Zahid, isteri Zahid atau pihak penyokong Zahid. Maka, bagaimanakah epilog kisah mereka? Agak tersentak untuk memerihalkan pengakhiran Srinaga dan Bing Jim yang menjadi korban kemurkaan Tuhan akibat tsunami yang melandan Phuket. Manakala butir keinsafan yang merayap ke salur Iman Joe berjaya menyedarkannya sehingga membatalkan niatnya untuk menjadi tali barut Bing Jim dan Srinaga bagi melacurkan Sue. Begitu juga dengan Zahid yang terselamat daripada nahas ditelan laut apabila diuji sakit sehingga menyebabkannya ke kampung Haji Deraman yang tidak jauh dari hotel Phuket.

Demikianlah tanda-tanda kekuasaan Allah s.w.t sama ada menimpakan bala atau menyelamatkan nyawa manusia. Buat gadis muda dan beragama Islam seperti Su dan pembaca yang wanita sebaya Sue, mengejar angan-angan jangan la sampai hilang pedoman. Buat Zahid dan ahli korporat yang lain, mempercayai orang, jangan la tiada sebarang pantang larang. Buat Srinaga dan Bing Jim, mencipata perangkap, janganlah sampai tidak membayangkan yang mungkin kita sendiri yang terjerat. Manakala buat Joe, jangan kerana mata duitan, terus setuju berpakat hanya kerana bayarannya memikat. Inilah antara simpulan pengajaran buat pembaca untuk diambil pengajaran.

 Perkembangan pesat pusat permainan yang menggamit para remaja dan melalaikan orang dewasa.

Sentuhan perasaan yang indah membawa rangsangan berfikir yang berfaedah.

Ramainya hartawan dan multi jutawan tanpa hati yang Budiman

Membiarkan bangsa rosak binasa hanya sedikit upah keseronokan. Balasannya adalah sentiasa digigit kekesalan yang menyesakkan dada.


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


.Atiqah Abd Rahim.
.Atiqah Abd Rahim.

Penuntut UKM Bangi, jurusan Usuluddin & Falsafah.

Articles: 20