Ulasan Buku : Anekdot Ku Seman Kayu Hulu Kapak

Judul: Anekdot Ku Seman: Kayu Hulu Kapak.

Penulis: Ku Seman Ku Hussain.

Tahun Penerbitan: 2018.

Penerbit: Institut Terjemahan & Buku Malaysia.

Jumlah Halaman: 266.

“Mengimbau ulang sejarah Si Kitol dan Raja Mendeliar seolah-olah memutar kompas masa ke dalam ingatan lampau rakyat kita hari ini. Ceritera klasik yang dirasuk cemburu dan agenda khianat seharusnya menjadi tamparan berbekas parut sehingga menyentuh akal budi agar dihindari akan sifat berdengki-dengkian sama sendiri”.

Inilah ulasan yang paling ringkas yang dapat saya petakan setelah memahami maksud tersirat daripada tajuk naskhah, ‘Kayu Hulu Kapak’ karya bekas pengarang Mingguan Malaysia. Sungguh, sekali singgah pada judul tidak dapat memahamkan saya akan erti tersirat di balik penamaan karya yang berjaya dinobatkan sebagai penerima Anugerah Buku Negara 2019 sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2019. Ternyata pendekatan kiasan amat dekat dengan pemikiran penulis dan jiwa Kemelayuan sehinggakan bukan sahaja berkenaan pemilihan tajuk buku, malahan lantunan madah kata di dalamnya juga sangat berat dengan bahasa dua makna atau ‘double meaning’.

Namun ini bukan lah pencipta alasan untuk tidak meneruskan lanjutan bacaan dek kerana kekaguman terhadap unsur bahasa dan keingintahuan yang tinggi mengenai pengalaman dalam dunia kewartawanan yang telah penulis kongsikan. Berbalik kepada makna tajuk bagi naskhah ini, kayu hulu kapak diumpamakan dengan peribahasa duri dalam daging atau gunting dalam lipatan. Sebermula salasilah kayu hulu kapak ialah ‘hulu kapak’ diperbuat daripada kayu yang mana kayu tersebut diambil daripada balak. Lantas kayu tersebut diukir rapi menjadi hulu kapak. Malangnya setelah siap menjadi kapak, kapak itu pula dimanfaatkan bagi tujuan menebang kayu atau balak yang lain pula. Bukankah yang sedemikian persis sifat si pengkhianat?

Malahan, memetik ujaran Ku Seman, kiasan hulu kapak juga digambarkan sebagai eksploitasi oleh pihak lain bagi menjatuhkan legasi milik bangsanya sendiri. Tepat sekali seperti dongeng Si Kitul yang turut dikisahkan dalam buku teks Sejarah bagi pelajar sekolah menengah untuk menjadi pengajaran akan bahana orang yang bersikap seperti talam dua muka, memaniskan senyuman di depan orang tetapi menjadi durjana di belakang semesta ramai. Kelak, orang seperti kacang lupakan kulit ini tidak akan lama dalam menyembunyikan muslihatnya kerana peribahasa mengatakan, “Bangkai gajah dapatkah dititup?”. Nah! menyisir persoalan tajuk buku saja sudah merantaikan satu demi satu inti ilmu, inikan pula kalau mengulas perihal kandungan karya hebat ini.

Curahan penuh kematangan penulis kian tergambar saat memberikan buah fikiran berkenaan isu politik dan sosial masyarakat setempat. Beliau merupakan sosok yang layak untuk berkongsi komentar lantaran pengalaman kerjaya dalam bidang kewartawanan yang melebihi tiga dekad lamanya. Antara perkongsian politik dan sosial yang dihidangkan oleh penulis ialah mengenai ibu kota metropolitan yang paling masyhur di Malaysia iaitu Kuala Lumpur. Ujar Ku Seman, “Betapa gambaran kehidupan malam di Kuala Lumpur ternyata tidak seperti di Jalan P. Ramlee atau di Bukit Bintang, Kuala Lumpur yang menjadi tumpuan kerana ada arah, wanita dan muzik”.

Antara lain, “Ada yang menganggap Putrajaya lesu dan mati kerana tidak ada pusat hiburan. Inilah roh Islam yang ditiupkan oleh Bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir yang bukan sahaja membina kemegahan Putrajaya, malahan menggariskan Pusat Pentadbiran Persekutuan ini bebas arak, pusat hiburan dan segala yang menjadi agen pembudayaan Barat”. Gabungjalin antara politik dan sosiobudaya jelas terpancar dari bait penulisan beliau sehingga berjaya menitipkan kefahaman buat para penulis agar tidak mudah dirasuk oleh kemodenan kerana ia merupakan ancaman kemusnahan kepada tatasusila akhlak Islam yang murni. Untuk apa bangga berfesyen ala Korea andai merendahkan maruah seumpama tiada perasaan malu? Walhal sifat malu itulah yang memuliakan manusia dan membuatkan syaitan merasa cemburu?

Sekiranya para pembaca ingin mengkhadamkan lebih lagi mengenai buah nasihat dan perjalanan pandangan serta sinis kritikan oleh Ku Seman, bolehlah menyelami kalam hikmah menerusi naskhah Kayu Hulu Kapak ini. Imbuhan yang diperoleh daripada pembacaan buku ini bukanlah khusus buat wartawan semata-semata, bahkan buat masyarakat berusia dewasa yang ingin membersihkan kekeruhan kesalahfahaman terhadap unsur retorik, isu momokan material dan berbagai konteks yang dikongsikan buat pembaca. Sekali gus, dapat meningkatkan dogma membaca agar hijau dan segar semula. Gemar membaca umpama selalu belajar dan rajin belajar, dengan begitu bermutulah insan. Bagai pantun;

Apa guna bercerah,

Kalau tidak bercahaya lagi.

Apa guna nyawa berserah,

Kalau tidak mahu belajar lagi.


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


.Atiqah Abd Rahim.
.Atiqah Abd Rahim.

Penuntut UKM Bangi, jurusan Usuluddin & Falsafah.

Articles: 20