Ulasan Buku : Ulu Yam di Liverpool

Ulu Yam di Liverpool karya Nazali Noor merupakan naskah pertama daripada sekuel berkenaan. Buku yang bercirikan travelog ini memaparkan kisah penulis sebagai seorang anak kampung yang bercita-cita untuk menginjakkan kaki di bumi ratu. Namun, terdapat pelbagai kisah suka dan duka yang memberikan inspirasi sepanjang perjalanan beliau untuk menggapai impiannya itu.

Permulaan kisah si penulis diceritakan iaitu sewaktu kehidupan zaman nakal kanak-kanaknya di sebuah perkampungan di Ulu Yam. Dengan berlatar belakangkan suasana kampung, para pembaca pastinya dapat membayangkan kasih sayang yang wujud dalam sesebuah keluarga. Entiti sosial seperti masyarakat di sesebuah desa benar-benar menggambarkan kehidupan harmoni di kawasan tersebut.

Penulis juga ada menceritakan pengalaman beliau dalam menjalani kehidupan sebagai seorang pelajar di sebuah universiti awam tanah air. Seterusnya sehingga beliau membina rumah tangga dan menetap di bandar metropolitan Liverpool di wilayah Merseyside.

Jika diamati kisah-kisah yang disusun oleh penulis, sudah semestinya ia seakan dekat dengan perjalanan hidup kebanyakkan orang. Kesemua daripada kita pernah menjalani fasa menjadi kanak-kanak yang periang, kemudian matang menjadi seorang pelajar dan begitulah seterusnya. Maka, penulis banyak mengetengahkan tips dalam kehidupan seperti kekeluargaan, pelajaran dan pekerjaan.

Sebagai seorang penyokong Kelab Bola Sepak Liverpool, sudah semestinya kata ‘Liverpool’ itu menarik perhatian dan menjadi punca keterujaan saya untuk membacanya. Saya membayangkan akan banyak diceritakan tentang pengalaman penulis sebagai seorang penyokong kelab tersebut. Namun, ia tidak banyak diceritakan. Oleh sebab itulah, tidak kira samada anda penyokong Manchester United, Chelsea atau Crystal Palace, buku ini sesuai untuk anda.

Buat pengetahuan semua, buku ini merupakan kompilasi coretan penulis di status laman sosisal Facebook dan blog. Sedikit kecacatan dapat dilihat apabila kesinambungan cerita agak caca marba apabila dihimpun dan diterbitkan menjadi satu naskah bercetak.

Ulasan diakhiri dengan satu kata yang cukup mendalam, “Kadangkala perjalanan kita mencapai impian tidak seperti denai yang kita harapkan. Tapi bersangka baiklah dengan Allah. Ada ketikanya Allah lewatkan sedikit kurniaanNya kerana Dia mahu berikan kita sesuatu yang berlipat kali ganda kejayaannya. Bersabarlah, sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi Maha Pemurah dan Mengasihani”.

 


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


ArifHai
ArifHai

Bibliofil, pelajar dan penulis artikel.

Articles: 4