Ulasan Buku : Sains Untuk Manusia

Buku yang ditulis oleh Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak terbitan IIUM Press dan MajalahSains.com ini saya dapat tahu kewujudannya daripada seorang rakan. Penjualannya tidak begitu dihebahkan, mungkin tiada di kedai buku terkenal. Saya sangat tertarik dengan tajuknya kerana inilah isu yang memang sentiasa bermain di fikiran saya.

Selaku seorang pensyarah Fakulti Kejuruteraan, istilah-istilah seperti Revolusi Perindustrian Keempat (RI4), kebolehpasaran berdasarkan keperluan industri, STEM (Science, Technology Engineering and Mathematics) sentiasa menjadi sebutan dan perhatian dalam penawaran program baharu, semakan kurikulum dan perancangan pengajian. Namun secara peribadi saya merasakan ia seperti digembar-gemburkan dan menjadi sekadar ikut-ikutan. Isu kerohanian dan kemanusiaan jarang sekali disentuh manakala jurang pemisah di antara sains dan kemanusiaan semakin melebar.

Tatkala menatap muka surat pertama, terus saya tahu buku ini memang menjawab segala persoalan dan keraguan di hati. Tidak pernah saya menggangguk begitu kerap mengiakan setiap pendapat penulis sewaktu membaca. Penulis yang juga merupakan Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berjaya mengupas pelbagai aspek tentang hubungan di antara sains dan manusia yang jarang dibincangkan umum.  

Daripada buku ini juga saya mengetahui rupanya RI4 mula menjadi perhatian rentetan saranan Forum Ekonomi Dunia 2016 di Davos. Sedangkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah melancarkan gerak kerja yang dikenali sebagai Matlamat Pembangunan Lestari (Sustainable Development Goals: MDGs) yang merangkumi lapan sasaran utama. Lapan sasaran utama ini lebih menyeluruh dan meliputi banyak aspek hidup seperti pembasmian kemiskinan, kesihatan dan pendidikan. Namun entah kenapa Malaysia lebih menyambut baik saranan RI4 dengan menghebahkan serta menerapkannya di pelbagai peringkat dan acara rasmi.

Penulis juga menyuarakan kebimbangan tentang sikap terburu-buru mengejar RI4 sedangkan  keperluan asas seperti bekalan elektrik masih belum dikecapi oleh sesetengah tempat. Penulis berpendapat, Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) lebih setara dan menepati perspektif UNESCO menerusi empat tiang pembelajaran: learning to know, learning to do, learning to be serta learning to live together. Dalam hal ini, keserasian di antara RI4 dan FPK dipersoalkan kerana kesan RI4 adalah berbeza dengan FPK. RI4 lebih dipacu oleh kepentingan ekonomi serta keuntungan kebendaan.

Sebenarnya, keperluan penerapan unsur kerohanian ke dalam sains sudah mula diperkatakan, namun masih belum popular dan diterima umum. Sebagaimana teori sains ditolak mentah-mentah oleh institusi gereja pada zaman dahulu, teori sains yang telah terbina kini juga sudah menjadi agak dogmatik di mana ia sukar untuk dipertikaikan.

Pengiktirafan pencapaian sains juga kini lebih cenderung berkiblatkan perspektif barat yang agak menjurus kepada kebendaan. Manusia yang perlu menguasai sains, bukan sains memacu manusia. Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence:AI) dan kehebatan mesin contohnya begitu dipuja-puja sedangkan penciptanya adalah manusia. AI beroperasi berdasarkan algoritma, berbanding manusia yang memiliki keistimewaan kebebasan berfikir serta pertimbangan etika dan kemanusiaan.

Di samping menjelaskan keperluan sains untuk keluar dari kepompong ekslusif dunia akademik dan industri bagi merakyatkan sains, penulis turut menyentuh tentang kepentingan barakah melalui sains. Barakah yang dimaksudkan ialah kepulangan kepada fitrah manusia dan penyucian jiwa. Pandemik Covid-19 juga diketengahkan sebagai bukti bahawa RI4 turut terjejas dengan lahirnya norma baru kehidupan.

Sesungguhnya buku ini sangat wajar dibaca terutamanya oleh ahli akademik, pendidik dan pembuat dasar negara. Keseimbangan rohani, jasmani, fizikal dan spiritual amatlah penting bagi mewujudkan dunia yang lestari menerusi sains yang tidak merosakkan alam dan tamadun manusia.


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


ida_zy
ida_zy

Berkhidmat sebagai pensyarah Fakulti Kejuruteraan Elektrik di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Terengganu sejak tahun 2008. Meminati penulisan kreatif dan sastera serta seorang pengumpul buku.

Articles: 1