Ulasan Buku : Mak Cik Bawang Positif

Nama buku: Mak Cik Bawang Positif

Penulis: Aishah Abdul Rahman

Muka surat: 136

Penerbit: Galeri Ilmu

Tahun terbit: 2019

Cetakan: Pertama

Apabila lisan sudah terbiasa membawang cerita-cerita yang tular, manusia akan sentiasa mahu menjamahnya. Tidak sabar mendengarkan babak-babak jelik seseorang. Sentiasa dahagakan aib ataupun kisah-kisah sensasi untuk diadaptasi sebagai bahan gosip.

Menanti teman membawakan sedulang cerita untuk beramai-ramai menikmatinya tanpa mengira ada dosa yang terselindung kerana mengumpat mengenai hidup seseorang.

Membawang yang negatif dan menjajah cerita-cerita yang tidak baik memang antara perkara yang diharamkan dalam Islam dan kita sendiri mengakui akan larangannya. Ketika kita menularkan ia dalam satu kumpulan, kita tidak pasti sama ada ia benar ataupun tidak sehingga membolehkan kita sebenarnya sedang memfitnah.

Karangan Puan Aishah Abdul Rahman berjudul Mak Cik Bawang Positif ialah buku yang membawa masyarakat membawang secara sihat tanpa kemestian membawang sesuatu yang negatif. Membawang, takrif yang sering didefinisikan kepada yang gemar bercakap keburukan orang lain.

Ini adalah buku yang memimpin lisan kita daripada asyik gemar menyibuk tepi kain orang lain dan kecanduan menelan cerita-cerita yang tidak mampu disahihkan kebenarannya, penulis mengajak kita mempergunakan lisan dengan cara yang dibenarkan dalam agama.

Saya percaya, tiada manusia suka dijadikan topik perbincangan dalam meja perbualan lagha. Oleh sebab itu, buku ini adalah solusi yang membuka jalan keluar kepada kita untuk berlatih daripada bersembang sesuatu hal yang tidak mendatangkan faedah.

Karya ini dihasilkan mengikut beberapa situasi yang sedang dihadapi di persekitaran penulis. Ada cerita lucu, sedih, ragam anak-anak, asam garam rumah tangga dan ada kalanya membuatkan kita tergelak. Di samping itu pula, terdapat kisah yang mengandungi iktibar di sebalik situasi yang berlaku digarap cukup matang oleh penulis buku ini.

Buku ini bukan memuatkan gosip-gosip panas untuk kita saling membawang berjemaah. Tetapi, sebenarnya menghimpunkan nasihat dan teguran yang perlu kita aplikasikan berbanding berbicara mengenai keburukan seseorang.

Penulis cuba membentuk hobi masyarakat yang kian marak dengan menukarkan aktiviti membawang mengikut cara yang halus. Lisan yang Allah Taala kurniakan ini, sewajarnya digunakan untuk saling mengingatkan kesilapan antara satu sama lain.

Saling mengambil hikmah dan pelajaran atas peristiwa ataupun kejadian di hadapan mata tanpa perlu mengutuk yang bukan-bukan seperti yang disarankan oleh penulis.

Justeru itu, naskhah ini sangat layak berada dalam genggaman pembaca yang hidup dalam keadaan yang sangat dekat dengan dunia membawang pada setiap hari kerana,

1. Buku yang sangat santai. Membacanya cukup sekadar bersahaja sambil menggali ibrah dalam keseluruhan isu-isu baik yang ditinggalkan.

2. Kerana dosa mengumpat ini adalah berbahaya. Dosa mengumpat hanya antara manusia dan manusia. Dosanya akan terhapus apabila hanya meminta maaf kepada orang yang telah dijadikan mangsa umpatannya.

3. Nabi Muhammad SAW memperingatkan dalam sebuah hadis sahih yang memberikan pilihan kepada kita untuk bercakap perkataan-perkataan yang baik, atau diamlah yang akan menjadi penyelamat terakhir.

4. Secara tidak sedar, kita juga mungkin pernah termasuk dalam kumpulan yang gemar memakan daging saudara seakidah kita. Lantaran itulah, buku ini menjentik kita untuk bermuhasabah dan menginsafi ke atas seluruh tindakan lisan yang tidak disengajakan.

Gunakan fungsi lisan untuk menyumbang sesuatu kebaikan buat negara, agama dan masyarakat. Nikmat lisan ini hanyalah pinjaman sementara daripada Pencipta. Oleh sebab demikian, manfaatkan fungsi lisan kita dengan sebaik-baiknya.

Akhirul kalam, buku ini menitipkan banyak kelebihan dan mendorong kita untuk bersembang dengan cara yang sihat mengikut metode yang disediakan oleh penulis tanpa harus mengundang tafsiran buruk. Membawang, biarlah yang positif-positif sahaja.

Nota hati Mak Cik Bawang, tutur penulis,

“Bersembang memberi ibrah, berborak mencari hikmah, bermujahadah menuju syurga Allah.” Mak Cik Bawang Positif, hal. 191.


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Syuhara Suriati
Syuhara Suriati

Penulis artikel, antologi dan anekdot.🌷Isteri suri membaca dan menulis 🌷

Articles: 67