Ulasan Buku : Merantau Ke Deli

Buku ini mengisahkan sepasang suami isteri Leman dan Poniem. Leman seorang lelaki dari suku Padang beradatkan Minangkabau manakala Poniem seorang perempuan berasal dari suku Jawa. Sebelum berkahwin, Leman hanyalah seorang kuli perkebunan di Deli. Poniem pula hanya perempuan yang dijaga oleh mandur besar di perkebunan tanpa dikahwini.

Leman mengajak Poniem berkahwin dan memulakan perniagaan sendiri. Perniagaan mereka perlahan-lahan maju atas kerja keras Leman dan Poniem ditambah pula bantuan dari pekerjanya, Suyono.

Orang-orang kampung menyuruh Leman berkahwin sekali lagi dengan orang yang sama asal keturunannya dari Padang, kerana Poniem perempuan berasal dari tanah jawa dan tidak disukai oleh orang kampung Leman walaupun Poniem kaya dengan budi bahasa. Akhirnya, Leman berkahwin dengan Mariatun, isteri keduanya.

Poniem dan Mariatun terpaksa tinggal sebumbung kerana perniagaan Leman mulai jatuh. Mariatun hanya pandai mengurus diri dan berhias untuk Leman. Kerja-kerja memasak dilakukan oleh Poniem. Suatu ketika, perang berkecamuk terjadi antara Mariatun dan Poniem. Leman lebih membela Mariatun dan Poniem akhirnya diceraikan talak 3. Poniem dihalau dengan rasa begitu sedih. Suyono pula turut mengikuti jejak Poniem ke Medan.

Setelah beberapa tahun, dia berkahwin dengan Suyono bekas pekerjanya. Mereka mengambil anak angkat, Mariam kerana Poniem tidak boleh mengandung. Leman dan Mariatun dikurniakan seorang anak perempuan. Peniagaan Leman telah merosot dan dia menjadi miskin. Leman tidak lagi mempunyai kedai dan terpaksa menjual barang dagangannya dengan berbasikal. Manakala, Suyono dan Poniem perniagaan mereka sukses dan maju. Leman meminta maaf kepada Poniem dan memutuskan untuk tidak lagi datang ke Deli, dan  tinggal saja di kampung bersama anak dan isterinya Mariatun.

Masyarakat Minangkabau beranggapan bahawa wanita adalah perempuan berkuasa yang perlu diangkat lebih utama berbanding lelaki. Padahal dalam ajaran islam yang syumul kedudukan lelaki sangatlah tinggi dari wanita. Selepas berkahwin, perempuan atau isteri perlu dibelikan sebidang tanah, rumah dan sawah. Anak perempuan walaupun belum menginjak umur dua tahun seorang bapa perlu memberikan gelang tangan, subang dan perhiasan lain. Pengakhirannya, lelaki atau suami hanyalah bekerja memenuhi kehendak anak dan isteri. Harta tidak tinggal sedikit pun melainkan semuanya diturunkan kepada anak dan isteri.

Prof Hamka sebenarnya tidaklah sambil lewa menuliskan buku ini. Tentu, ada mesej berharga yang hendak disampaikan khususnya buat anak-anak muda di Negara Indonesia. Antara mesej yang berjaya disimpulkan dari naskhah bersastera ini ialah :

1- Adat Yang Menyusahkan. Perkahwinan dua suku yang berbeza tidaklah membebankan kedua belah pihak dalam ajaran Islam. Adat hanyalah simbol perkauman yang banyak bercanggah dengan moral kehidupan manusia.

2- Sikap Leman Yang Menyelamatkan Poniem. Poniem hidup dalam kesengsaraan sebelum berkahwin dengan Leman. Poniem pernah berkahwin dengan lelaki yang hanyalah merebutkan harta, wang dan emasnya. Leman memilih jalan terbaik dengan mengajak Poniem berkahwin.

3- Nasihat Yang Baik Dari Baginda Kayo. Baginda Kayo seorang sahabat yang sentiasa inginkan terbaik buat Leman. Bagindo Kayo menasihati Leman yang mahu berkahwin dengan Poniem dan Mariatun agar tidak tersilap langkah membuat keputusan.

4- Ketabahan Seorang Isteri. Selepas berkahwin, Poniem menggadaikan emasnya untuk membantu perniagaan suaminya. Poniem rela bermadu kerana usianya lebih tua dan tidak mampu melahirkan anak. Poniem juga bimbang jika diceraikan dan bersetuju Leman berkahwin lagi, walaupun Leman pada mulanya cuba merahsiakan hajatnya.

5- Ujian Ketika Dalam Kesenangan. Perniagaan Leman mulai maju. Hartanya bertambah. Leman merasakan tidak salah berkahwin lagi. Dia juga mengiyakan kata-kata orang kampung. Leman juga tidak mampu menahan hatinya dari melihat Mariatun yang lebih muda dari Poniem. Walhal Leman sudah berjanji akan setia bersama Poniem hingga ke akhir hayat.

6- Madu Yang Kejam. Tidak semua isteri memiliki madu yang kejam. Tetapi tidak pada rumah tangga Poniem. Mariatun seorang yang pentingkan diri. Tidak pandai masak dan hanya tahu pergunakan duit suaminya Leman. Dia pandai berpura-pura dihadapan Leman untuk meminta belas kasihan. Kerana Mariatun juga, Poniem diceraikan talak 3.

7- Kelakuan Orang-orang Kampung Yang Buruk. Dahulu, Leman yang miskin mereka tidak memandang Leman sebagai lelaki Minangkabau. Apabila Leman pulang ke Kampung dan kaya raya membawa longgokan harta, mereka memuji dan menghasut Leman agar berkahwin lagi.

8-  Saranan Suyono Mengajak Poniem Berkahwin. Suyono malu dan segan kerana sentiasa bersama Poniem tanpa ada ikatan. Suyono membuat keputusan menjadikan Poniem sebagai isteri yang sah.

Watak dalam Novel ini memainkan peranan masing-masing dan menjiwai hati pembaca. Prof Hamka cuba membetulkan adat dan pemikiran kaum yang taksub melalui Novel yang dituliskan.

Harapan saya dalam buku ini pada mulanya, agar Leman dan Poniem dapat bersatu semula. Namun, keduanya bersatu dalam kedamaian, bersahabat dan melepas dendam kesumat.

Kesudahahan penuh penghayatan dan keamanan berakhir di Stesen Kereta Api ketika Suyono dan Poniem menemui Leman dan Mariatun dan anaknya yang hendak pulang ke Kampung.


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Syuhara Suriati
Syuhara Suriati

Penulis artikel, antologi dan anekdot.🌷Isteri suri membaca dan menulis 🌷

Articles: 67