Ulasan Buku : Margaretta Gauthier

Sedihnya ketika membaca  novel berjudul Margaretta Gauthier ini, perjalanan hidup seorang perempuan yang penuh dengan ujian. 

Di atas muka bumi ini, tidak ada seorangpun yang ingin terlahir dengan segala kekurangan, setiap insan pastinya menginginkan segenap kebahagiaan dalam kehidupan. 

Benar Margaretta seorang wanita rendahan, kerana memilih jalan kehinaan tetapi kehidupan sisi gelap  itu bukanlah suatu yang di impikannya.

Begitu perit dan siksanya, menghambakan diri kepada kehidupan yang penuh dengan kemaksiatan dan penuh dengan kepalsuan, tetapi bagi seorang wanita yang tidak berkeberuntungan, kadangkala wajah yang cantik buatnya adalah titik kehancuran. 

Mengecapi kebahagian, dengan mengenal orang yang tepat yang dapat menerima semua kisah gelap adalah impian, tetapi untuk merealisasikan butuh perjuangan yang teguh kerana sangat mudah bermimpi tetapi tidak semudah itu menjalani. Begitulah perumpamaan kisah Margareta dalam novel ini. 

Melepaskan kebahagian yang baru dikecapi hanya untuk membahagiakan orang lain, menghancurkan hati sendiri dan memusnahkan segala impian bahagia bersama orang yang dicintai itu adalah suatu pengorbanan yang besar. 

Pada sisi kehidupan seorang Margaretta, tidak mudah  mencintai dan dicintai oleh seorang bangsawan yang berketurunan dan ada nama. Hakikatnya, segala tindak tanduk menjadi asbab kritikan terhadap dirinya. Kerana sejarah silam akan selalu menjadi bayang-bayang yang menghantui dan membelenggu dirinya, seolah-olah tidak ada ruang untuk keluar dari titik hitam itu untuk mengecapi kehidupan yang bahagia.

Dua perkara yang boleh dipelajari dari kisah ini adalah terkait, mentaliti masyarakat yang seharusnya di ubah.

1. Tidak terlalu mudah menilai seseorang hanya berdasarkan kisah silam dan keturunan. Seharusnya masyarakat membuka ruang bagi wanita seperti Margareta untuk bertaubat dan berpaling dari kehidupan lampau, agar di masa akan datang tidak terlahir generasi yang terbuang ke lembah kehinaan meskipun dalam keadaan terpaksa. 

2. Tolak ukur keikhlasan hati bukanlah boleh di nilai melalui luaran sahaja, hati yang tulus dan bersih boleh dimiliki tanpa mengenal status dan keturunan, tidak semua yang hidup dengan cara menghinakan diri itu hitam hatinya, begitu juga sebaliknya bagi kalangan bangsawan tidak semua memiliki impati dan kejernihan hati, sungguh selayaknya yang menilai itu mutlak hak Tuhan yang Esa semata.

Semoga ada ikhtibar yang mampu pembaca petik dari kisah hidup seorang wanita bernama Margaretta Gauthier. Kerana tidak semena-mena seorang ulama Nusantara seperti Prof. Hamka menterjemahkan novel ini untuk tatapan para pembaca, kecuali ada agenda besar bagi mendidik masyarakat tentang nilai-nilai insani.


Berminat untuk siarkan ulasan buku anda  ? Hantarkan kepada Konfess Buku melalui link ini. Artikel anda akan disiarkan di laman web dan media sosial Konfess Buku.

Jangan lupa untuk Like / Follow  Konfess Buku di :

Facebook  : Facebook.com/konfessbuku
Instagram  : Instagram.com/konfessbuku
Twitter       : Twitter.com/konfessbuku

#konfessbuku
#MalaysiaMembaca


Aishah Nerina
Aishah Nerina

لا يشكر الله من لا يشكر الناس

Articles: 47